Dua minggu kebelakangan ini saya terpaksa melalui aktiviti harian yang agak kurang tersusun. Biasanya saya akan susun jadual dan aktiviti sebulan atau dua bulan sebelumnya. Dengan itu saya dapat membuat persediaan lebih awal bagi satu-satu program. Namun disebabkan dalam saat menunggu kelahiran "orang baru", menjadikan jadual saya agak kelam kabut. Program jauh-jauh terpaksa ditangguhnkan dan program dekat pula terpaksa disusun secara sepontan. Isteri saya sepatutnya melahirkan cahayamata kami yang ke 10 seminggu yang lalu, namun hingga kini hanya terdapat tanda-tanda kecil sahaja yang menunjukkan akan bersalin.
Anak ketiga kami,Hasyimi Rafsanjani ( gambar di atas) yang pada asalnya menangguhkan jadual kembali ke Pesantren Langitan di Surabaya kerana mahu menunggu kelahiran adik baru, akhirnya terpaksa juga kembali kerana sudah terlewat mengakhiri cuti. Sambil-sambil mengisi program kuliah di Masjid dan Pejabat-pejabat, baru-baru ini sempat jugak saya menghadiri kursus blog yang dikendalikan oleh bloger pahang "cucu Mat Kilau". Banyak perkara baru yang saya dapat daripada kursus santai yang dikendalikan oleh beliau. Alhamdulillah.
Minggu ini jugak saya cuba selesaikan urusan yang berkaitan dengan cyber cafe dan bilik Komputer An-Nuur, Projek Ikan dagangan An-Nuur bersama LKIM. Sambil-sambil itu menyelia pembinaan Chalet An-Nuur yang dah pun hampir siap dibina,keseluruhannya 29 pintu. Dalam pada itu membuat hantaran ( Pos Laju) tempahan telefon Al-Quraan digital. Dengan pemasaran Talifon Al-Quraan ini dapatlah saya dahulukan mana-mana perbelanjaan An-Nuur yang tersangkut. Tak perlulah tercari-cari sana-sini. Alhamdulillah.
Hati memang melonjak-lonjak untuk menyertai teman-teman di Bukit Gantang. Tapi memandangkan Isteri dah "over due" dan bila-bila masa akan bersalin maka terpaksalah saya dengar cerita Bukit Gantang dan Selembau dari jauh. Kalau nak tinggalkan isteri tu boleh jugak. Namun memandangkan 9 kali isteri bersalin sebelum ini, hanya baru sekali ( ketika melahirkan anak yang keempat, 14 tahun yang lalu) saya ada disamping beliau saat penentuan hidup dan mati itu. 8 kali isteri saya melahirkan baby ketika saya berceramah dan berkuliah diluar. Kini masuk kali yang kesepuluh, maka tidak sampai hati pula untuk saya meninggalkan beliau sendirian.
Memandangkan 4 April nanti saya akan berangkat menunaikan Umrah, maka dua hari lepas ( Sabtu) kami berbincang dengan pihak "Pusat Rawatan Keluarga Al-Farabi" untuk mengambil langkah kelahiran paksa. Lagipun isteri saya telah melepasi tempoh jangkaan. Alhamdulillah pagi tadi ( Isnin), awal-awal pagi lagi kami ke Al-Farabi. Jam 8.30 isteri saya mula dimasukkan ke bilik bersalin, dan Jam 1.31 Tengah hari isteri saya selamat melahirkan baby perempuan seberat 3.3 kg. Petangnya saya menjemput anak-anak yang lain untuk melawat adik baru mereka. Anak saya yang ke 9 ( Kiswah Syaheedah Az-Zahrah) kelihatan sangat gembira dengan kehadiran adik baru yang sekian lama ditunggu-tunggunya. Alhamdulillah...bertambah lagi rezki dan amanah Allah untuk kami. Itulah perjalanan kehidupan. Kesedihan dan kegembiraan silih berganti. Dalam perjalanan usia yang jauh itu, pastinya kita akan tersungkur dan rebah berkali-kali. Namun yang penting setiap kali kita rebah dan tergelincir, kita bangun dan meneruskan perjalanan dengan sabar dan istiqamah. Melakukan kesilapan dalam kehidupan adalah perkara lumrah. Tetapi yang penting setiap kali tersasar, kita segera kembali kepada landasannya. Beruntunglah mereka-mereka yang ada "guru" dan "Sahabat" yang dapat memapah mereka untuk bangun setiap kali mereka rebah tersungkur.
4 comments:
Assalamualaikum,
tahniah atas anugerah ahli kluarga yang baru.
Assalaamualaikum
Tahniah dan Alhamdulillah..sebenarnya ana sekeluarga juga turut berdebar menunggu kelahiran warga baru An Nuur ini...
salam..
tahniah atas kelahiran puteri ustaz..semoga menjadi mujahidah sejati..amin
Assalamualaikum.. Tahniah Ustaz atas pemberian amanah yang baru dari Allah semuga kehadirannya akan bertambah keberkatan keatas keluarga ustaz
Post a Comment