08 March 2009

SEORANG "ISTERI" DENGAN 2 PANGGILAN.(siri 2 )


Program "membina Masjid baru" hari itu berjalan dengan baik. Ayah si gadis kelihatan ceria, mungkin kerana telah terungkai sebuah bebanan yang selama ini terbelenggu dilehernya. Si pengantin perempuan juga demikian. Namun wajah "pengantin" lelaki (Hj) seolah-olah berbaur antara gembira dan sedih. Gembira mungkin kerana berjaya melepaskan diri dari kehendak Syaitan dan sedih mungkin kerana memikirkan keluarga dan isteri yang pertama. Itu hanya telahan hati saya. Namun hakikatnya saya tidak tahu. Apa yang saya harapkan hanyalah kebaikan buat semua.

Sampai di Kota Bharu, Haji meminta saya kebilik beliau di Hotel Ansar. Untuk tidak membiarkan tandatanya bergayut lebih lama dihati, saya segera kebilik beliau dengan meninggalkan teman haji yang sebilik dengan saya melayan tidurnya. Bila pintu bilik saya ketuk dan pintu sudah terbuka, saya dapati semua keluarga isteri baru Haji ada di dalam. Selepas bersalam saya pun dipersilakan duduk disebuah kerusi yang kosong dopenjuru bilik. "Begini... ustaz" ..Haji memulakan bicara sambil membetulkan duduknya dibirai katil disebelah bapa mertua barunya. "Sebenarnya saya dan isteri saya ni dah lama kawin, ayah ni lah yang jadi walinya" kata Haji sambil menepuk peha ayah mertuanya. "Tapi oleh kerana akad nikah tu hanya untuk sah pada syarak saja, maka sebab itu sekali lagi kami datang hari ini untuk dapatkan surat nikah resmi dari Thailand dan saya akan tukar kepada surat nikah malaysia"... Lancar sekali Hj bercakap semacam cuba melepaskan suatu bebanan dengan secepat mungkin. "saya tahu,mungkin ustaz ada dengar macam-macam tentang saya dan isteri saya ni sebelum ini. Saya taknak ustaz syak bukan-bukan, sebab itu saya ceritakan kat ustaz hari ni dengan saksi ayah saya ni"..ujar Haji dan sekali lagi menyentuh peha ayah mertuanya. Saya angguk saja. Apa lagi saya nak cakap selain bersyukur kepada Allah kerana menghalang lidah saya dari berkata apa-apa kepada beliau sebelum ini. "Baguslah kalau macam tu"...kata saya dengan perasaan syukur yang tidak terhingga kepada Allah atas perkara sebenar yang berlaku.

Seminggu selepas itu, disatu petang yang agak sibuk, kerana saya terpaksa bergegas ke Masjid Balok selepas melayan kehadiran tetamu dari Johor, tiba-tiba satu deringan dari handset saya. Baru saja saya tekan butang "menerima panggilan", tiba-tiba satu suara garang dari seorang perempuan berdesing menusuk telinga saya. "Ustaz ni, ustaz jenis apa ha!, pemecah rumahtangga orang. Ingatkan Ustaz ni semuanya baik, rupanya ada jugak yang jahat macam perompak, aku benci ustaz macam engkau ni", tempik suara yang saya dah jangka akan dapat saya dengar selepas upacara perkahwinan haji selesai. "Begini..." kata saya..tapi saya terhenti disitu saja apabila sekali lagi suara nyaring disana memaki saya semahu-mahunya. Mula-mula saya bercadang mahu letakkan saja telefon. Tapi bila saya teringat kata seorang ulama'; salah satu sumber ketenangan manusia ialah bila dapat meluahkan perasaannya, walaupun hanya kepada seorang kanak-kanak yang tidak boleh berbuat apa-apa. Justeru itu saya fikir mungkin dengan saya mendengar segala makiannya itu akan membuatkan perempuan tersebut reda dan tenang, maka saya dengar apa saja yang dia nak kata. Rupa-rupanya seronok jugak sesekali kena maki dan kutuk. Tak silap saya hampir sepuluh minit dia memaki saya tanpa henti. Ala pengulas bolasepak layaknya. Akhirnya suara itu reda. Bila saya merasakan perasaanya dah reda, maka saya pun ucap terima kasih dan sayapun tekan butang "mengakhiri panggilan". Panggilan petang itu saya diamkan saja dari pengetahuan sesiapa, termasuk haji yang baru kawin itu.


bersambung siri 3

No comments: