09 January 2010

Dairi Awal Tahun Baru Hijri.


Selepas Himpunan keluarga Lambury pada Hari Raya Qurban yang lalu, saya hanya berkesempatan menulis satu tajuk atikel sahaja. Ini disebabkan kebanyakan masa, saya habiskan diatas kereta atau program luar yang tidak banyak memberikan saya ruang menulis. Walaupun asalnya niat saya mahu menulis sedikit berkaitan "Dedalu dalam Jamaah Islam", dengan harapan menjadi sedikit renungan kepada saya dan sahabat-sahabat yang menjengguk blog ini. Namun nampakkan terpaksalah saya tunda hasrat tersebut.

Mulai 5 Dec hingga 18 Dec,kami tenaga pengajar dan pentadbiran An-Nuur terpaksa menumpukan banyak masa kepada persiapan peperiksaan akhir tahun dan Kem Ibadah pelajar. Manakala saya dan Setiausaha pentadbiran sibuk membuat persiapan kemasukan pelajar An-Nuur sessi 2010 yang akan bermula pada 10 Jan nanti (insyallah).

Kem Ibadah kali ini dirasmikan oleh Ustaz Zuridan ( Pensyarah UMP ), manakala program penutup disempurnakan oleh Ustaz Mahmud Mat ( Pakar Motivasi ). Alhamdulillah..sambutan Kem siri 4 ( 2009) ini telah disertai oleh seramai 147 orang pelajar dalam lingkungan usia 10 th hingga 15 tahun. Walaupun pihak urusetia Kem pada asalnya hanya menghadkan kepada 100 orang peserta sahaja, namun atas permintaan ibu-bapa, kami terpaksa merombak had jumlah yang ditetapkan. Peserta telah didedahkan dengan berbagai pengisian. Antaranya Fardhu Ain,Amali Fardhu 'Ain,Asas Hafalan Al-Quraan,Uji Minda, Latihan kepimpinan dan keterampilan, pencernaan fikrah dan Akhlak serta kesenian. Program ini telah dikendalikan oleh seramai 10 orang Fasilitator dan pembantu. Alhamdulillah program ini telah berjaya dikendalikan dengan baik. Dua hari selepas program tersebut, satu mesyuarat Post Mortem telah diadakan, bagi menambahbaik program yang akan datang ( Insyallah December tahun ini program kem akan di adakan selama 3 minggu).

29 Dec..Warga An-Nuur ( Guru-guru,pentadbir dan pekerja Am) berlepas ke Tasek Kenyir di Hulu Trengganu. Program ini disertai oleh Ustaz Ishak ( pengerusi Tabungan Amal) bersama dengan menantu beliau dan dua orang sahabat dari Bukit Sagu 2. Urusan sewaan Boat telah diurus oleh Abang Weil ( Bekas YB Kemaman) bersama Dr Mat Kuala berang. Walaupun ikan yang berjaya di pancing dan dipukat agak berkurangan, namun rata-rata kami merasa seronok. Mengharungi kejernihan air Tasek yang dihiasi pulau-pulau yang menghijau cukup mendamaikan. Pengalaman bermalam dan makan bersama di atas Boat dua Tingkat milik Sdr Abdul Latif ini memberikan satu pengalaman yang mendamaikan. Mandi di air terjun yang dingin sangat menyegarkan. Sesekali berada jauh dari kesibukan jadual harian memberikan kita kesedaran akan betapa indahnya bumi Tuhan. Tambahan pula kedudukan kami tidak berjaya dicapai oleh panggilan telefon. Dalam kesempatan tersebut kami tetap mengadakan kuliah ringkas sebagai tambatan hati agar keseronokan tidak melupakan kita kepada tugas perjuangan.

Balik dari Tasek Kenyir, saya dan Ustaz fadli ( Mudir An-Nuur) berserta En Hassan ( sahabat dari Beserah) berlepas ke GuangZhou pada 3 Januari. Lawatan ke GuanZhou ini lebih kepada meninjau laluan program Ziarah An-Nuur dan melihat barangan yang boleh dipasarkan oleh "Muslim Tijaary". Alhamdulillah lawatan 4 hari ini berjalanan dengan baik, walaupun cuaca di GuanZhou agak sejuk. Kami telah menziarahi Masjid Saad bin Abi Waqas yang berusia 1300 tahun yang terletak di Jalan Jie Fang Bei. Kami juga dibawa oleh Adik Safuan ( Pelajar tajaan HPA di GuanZhou) menziarahi Masjid Huai Sheng yang terletak di Jalan Guan Ta. Masjid ini telah dibina di zaman Dinasti Tang, kerana menghargai sumbangan Orang Islam ketika Dinasti Tang menghadapi serangan puak pemberontak. Masjid yang terdapat di GuangZhaou ialah Masjid Huai Sheng,Masjid Haopan,Masjid Dongying dan Masjid Abi Waqqas.

Guang Zhou yang merupakan bandar ketiga terbesar dan tersibuk diChina ( selepas Beaijing dan Sanghai). Kami telah dibawa menyusuri Sungai ditengah-tengah Kotaraya GuanZhou dengan pemandangan malam yang indah. Kota yang sunyi dari jeritan motosikal ( motosikal tidak dibenarkan di GuanZhou) ini bergerak pantas dengan urusan perniagaan. Pak-pak Arab dan Awang Afrika kelihatan memenuhi Rastoran-rastoran Muslim bersama rakan-rakan niaga Cina. Siaran berita Al-Jazira yang disiarkan dikaca Tv nampaknya kurang menarik minat mereka berbanding berbual soal-soal Bussiness. Peristiwa pembandu teksi yang berpatah kembali mencari kami kerana mahu memulangkan Handphone yang tertinggal didalam teksinya, mengetuk hati saya. Rata-rata peniaga di GuangZhou lebih ramah dan mesra.

Malam 6 Jan kami meningankan lapangan terbang Baiyun GuangZhou untuk kembali membuka dairi tugas dan taklif yang sedang menanti.
_____________________________
Keterangan Gambar:
1. Peserta Kem sedang mengikuti program.
2. Sedang melabuhkan pancing dari atas Boat.
3. Staf An-Nuur bergambar selepas mendarat di Empangan Kenyir.
4. Menyedut udara segar sambil disapa oleh percikan air.
5. Ust Fadli, saya dan En Hassan dipintu masuk ke Masjid Saad Abi Waqqas di GuanZhou.
6. Di tengah bandar GuanZhou.
7. Di dataran tebingan sungai yang membelah kotaraya GuanZhou.

2 comments:

Unknown said...

masha Allah..
china.

MOHD NOR HIDAYAT said...

ust, mhon jasa baik,
kalu dapat ust update program bulanan ust bg 2010. kalu g k an-nuur x lah tertanya2 kuliah umumi ust ada ke tak ada.
Jazakulummullahu khairan jaza'