APA YANG MENIMPA UMNO DAN BN HARI INI, ADALAH TANDA MUSTAJABNYA DOA MUSTADHAFIN PAS SEBELUM INI...
____________________________________
Sejak AidilAdha yang lalu heboh mengenai kenyataan Tok Guru Mursyidul Am yang bercadang "berdoa" kepada Allah agar masadepan PM gelap dan musnah. Maka kecohlah juak-juak UMNO bersama "Pak lebai-pak lebai" mereka memberikan pandangan. Serta merta Pak lebai yang "di pelihara" UMNO membelek-belek kitab untuk mencari hujjah, bagi menyalahkan tindakkan Tok Guru. Maka berkokoklah mereka laksana baru dikejutkan daripada tidur, tanpa mengetahui "hujung pangkal" mengapa Tok Guru ajak rakyat kelantan berdoa. Mereka semacam tak tahu apa-apa mengenai "kezaliman" kerajaan Pusat yang menyekat hak rakyat Kelantan atas Royalti minyak diperairan negeri Kelantan. Mereka semacam buta untuk melihat bagaimana "permainan" jahat kerajaan Pusat yang menarik royalti minyak di Terengganu ketika negeri itu ditadbir oleh Pas, dan kemudian diberikan kembali selepas UMNO memerintah Terengganu. Apa sebenarnya kitab yang ditelaah oleh pak lebai Umno ini saya pun tak tahu. Nak kata mereka mentalaah kitab ulama silam, tiada pula keluar fatwa agama untuk membetulkan kezaliman Umno dan kejahatannya selama ini. Nak kata mereka membaca akhbar dan mengikuti perkembangan politik tanahair, tak pula nampak mereka arif tentang peristiwa-peristiwa politik negara.
Tok Guru baru ajak rakyat Kelantan berdoa agar masadepan politik PM binasa, jika hak rakyat kelantan di nafikan oleh PM yang menerajui kerajaan Pusat. Walaupun cuma "ajakan", namun pelaku-pelaku kezaliman telah merasa cemas. Pak-pak lebai Umno sudah bimbang kalau-kalau dahan tempat mereka berpaut patah dan binasa. Lalu Tok Guru dianggap tidak beramal dengan sunnah, Tok Guru bukan ulama sebenar, Tok Guru sudah keterlaluan dan macam-macam lagi. Pada mereka Tok Guru "keterlaluan". Apakah kejahatan UMNO selama ini terhadap pimpinan dan ahli-ahli Pas tidak keterlaluan?. Pimpinan Pas yang ditahan dibawah akta puaka ISA yang seterusnya turut dideritai oleh keluarga dan anak-anak mereka itu tidak keterlaluan?. Syuhada' Memali yang dibunuh dengan alasan yang diada-adakan itu tidak keterlaluan?. Tindakan kerajaan Pusat yang sentiasa menekan dan menyusahkan kerajaan Kelantan yang ditadbir Pas itu tidak keterlaluan?. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan itu tidak keterlaluan?, Dan Merampas kerajaan Perak secara haram itu tidak keterlaluan?.
Wanita Umno Kelantan membandingkan Tok Guru dengan Rasulullah saw. Katanya Rasulullah mendoakan kebaikan kepada penduduk Ta'aif walaupun penduduk Ta'aif berlaku zalim kepada Baginda. Manakala Tok Guru Nik Aziz pula mendoakan keburukan kepada PM. "Kita nak ikut Rasulullah atau Nik Aziz?..kalau saya, saya ikut Rasulullah"..tegas wanita tersebut dengan sinis sambil kelihatan agak bangga dengan "kejahilannya". UMNO membawa dasar Nasionalisme Sakular. Apakah dasar perjuangan Rasulullah juga Nasionalisme? Nasionalis Sakular kah Rasulullah saw?. Rasulullah saw mendoakan kebaikan kepada penduduk Ta'if kerana mereka sememangnya "kaum yang tidak mengetahui ( benar-benar Jahil mengenai Rasulullah saw)". Kejahiliyyahan Arab Taif tidak sama dengan Kejahiliyahan Arab Makkah. Arab Jahiliyyah Taif tidak pernah mengenal keturunan, zaman kanak-kanak Baginda dan mereka tidak pernah bergaul dengan Baginda. Ini berbeza dengan Arab Jahiliyyah Makkah. Justeru itu penentangan Arab Jahiliyyah Taif dan perlakukan kasar mereka kepada Baginda masih boleh dimaafkan. Manakala penentangan kasar Arab Makkah bukan kerana kejahilan mereka, tetapi disebabkan kejahatan dan kesumat yang berakar umbi dalam dada mereka. Justeru itu Rasulullah pernah berdoa agar Allah membinasakan Pimpinan Quryish, antaranya Abi jahal bin Hisyam , Utbah bin Rabia'h , Syaibah bin Rabia'h , al Walid bin Utbah , Umaiyyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abi Mui't,( ternyata semuanya mati dalam keadaan hina dalam Perang Badar). Apakah UMNO "sejahil Arab Jahiliyyah Ta'if"?, sehingga Pas hanya perlu bersabar atas apa-apa perlakuan zalim dan jahat mereka kepada rakyat Kelantan (termasuk ahli-ahli Umno)".
Sebenarnya UMNO tidak perasan, bahawa mangsa-mangsa kezaliman UMNO dikalangan Pimpinan Pas dan Ahli-ahli Pas telah berpuluh tahun berdoa dan berkunut Nazilah agar UMNO dan BN porak peranda, saling berantakan dan seterusnya kecundang dengan penuh keaiban. Sejak dulu lagi mereka berdoa, sejak dulu lagi airmata mereka telah tumpah dalam tadahan tapak tangan mereka, sejak Umno memulakan kezaliman mereka terhadap Pas dan Perjuangan Islam, sejak itulah UMNO telah didoakan dengan kehancuran. Hasilnya..lihat lah rentetan nasib UMNO dan BN. Berantakan, porak puranda, lemah, kalah dengan penuh kehinaan dalam siri-siri Pilihanraya Umum atau kecil, disamping rakan-rakan UMNO dalam BN tercungap-cungap mencari nafas...itu semua kesan dan berkatnya doa "mustadhafin" yang ditindas selama ini.
Sesungguhnya saat seorang mukmin menadah tangannya dan sebelum titisan airmatanya mencecah telapak tangannya, syaitan bergegas melarikan diri, lantaran takut tertimpa balasan Allah swt. Bila ketiadaan syaitan maka hati-hati orang yang durhaka dan zalim sangat merasa gerun dan takut. Tiada lagi penolong buat mereka.
Tiada senjata yang lebih hebat daripada "DOA" golongan Mazlum dan Mustadhafin...
No comments:
Post a Comment