29 January 2010

KEMATIAN YANG DEKAT...



Minggu ini, disamping memenuhi jadual kelas Tahfiz dan 'Aaliyyah saya disibukkan pula dengan urusan Umrah yang dijangka bermula pada pertengahan Mac. Alhamdulillah penyertaan jamaah umrah bersama Ukhuwwah Group agak menggalakkan. Boleh dikatakan jadual setiap bulan telah ada pesertannya.

Ahad lepas ( 24.Jan) saya ke Surabaya semalaman. Tujuannya untuk memperkemaskan urusan ziarah An-Nuur ke Surabaya dan Madura, yang dijadualkan akan di adakan sebanyak 3 kali setahun. Program "Jelajah Pesantren dan Menjejak wali Songo" ini juga mendapat permintaan yang baik dari pencinta sejarah pendidikan Islam dan perjuangan wali Songo. Di samping itu saya mengambil kesempatan menziarahi putera ketiga saya yang sedang belajar di Pesantren Langitan, Tuban. Dalam ziarah singkat tersebut secara kebetulan saya bersua dengan Ustaz Sobri Arshad ( calon Pas yang lawan Pak Lah ). Sudah agak lama kami tidak bersua. Beliau datang ke Surabaya atas urusan pelajar-pelajar beliau yang melanjutkan pengajian di Pesantren Habib Zain. Saya juga sempat bersua muka dengan Ustaz Halim Din ( pegawai Zakat Jais) bersama sahabat saya Razak ( bilal Masjid Lapangan Terbang Subang).

Sekembali dari Surabaya saya dipilukan pula dengan pemergian dua orang yang saya kenal sangat gigih perjuangannya saat hidup mereka. Yang pertama Allahyarham Wak Safar, bekas ketua Cawangan Pas Lepar Utara. Yang kedua Allah Allahyarham Ustaz Aziz, Imam 1 Masjid Al-Fatah.

Wak Safar mula-mula saya kenali ketika beliau mendaftarkan anak beliau belajar di Pondok saya ketika pengambilan pertama pelajar An-Nuur. Ketika itu beliau memindahkan anak beliau Mohd Hatta dari Taman Islam, Kemaman ke Pondok saya. Selepas Hatta, beliau masukkan pula Irni Natrah, Mohd Farid dan terakhir Mohd Shahril. Mohd Shahril kemudiannya dilantik sebagai tenaga pengajar sementara di An-Nuur selepas menamatkan pengajian 4 Thanawinya. Kemudiannyanya Saya mencadangkan beliau melanjutkan pelajaran ke Pondok Gelang Emas di Pasir Mas Kelantan.

Ketika saya menjawat jawatan Yang DiPertuan Pas Kawasan Paya Besar, boleh dikatakan setiap bulan kami (AJK Kawasan) mengadakan lawatan ke cawangan Lepar Utara. Markas cawangan Lepar Utara adalah dibahagian hadapan rumah Wak Safar. Walaupun cawangan Lepar Utara adalah cawangan yang paling terpencil dalam kawasan Paya Besar, dan untuk sampai ke sana (ketika itu) terpaksa melalui Bandar Pusat ( kawasan Maran) dan Jengka 10 ( Kawasan Jerantut), namun rata-rata kami seronok menziarahi Lepar Utara. Pertama kerana melihat kesungguhan Wak Safar dan anak buahnya dalam memenuhi tuntutan Parti, dan kedua kerana hidangannya. Pasti antara lauk pauk yang dihidangkan kepada rombongan kami ialah Ayam Hutan atau daging Kancil.

Semalam ( 27.Jan) kira-kira jam 3 ptg, Wak Safar telah kembali ke Rahmatullah, setelah beberapa hari terlantar di Wad 8b Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) Kuantan, kerana diserang Strok. Kerana tidak berkesempatan menziarahi jenazah beliau di Hospital, saya mengambil keputusan menziarahi keluarga beliau di Lepar Utara. Selesai menyampaikan kuliah di Kampung Koi, Benta Jerantut, kami terus ke Lepar Uatara. Kami sampai di rumah Allahyarham jam 12.30 pagi. Kami dimaklumkan jenazah beliau dikebumikan jam 11.30 malam. Menatap anjung rumah beliau yang bertahun-tahun menjadi markaz dan bilikgerakan pilihanraya Pas Cawangan Lepar Utara itu, sedikit mengamit kepiluan jauh disudut hati saya. Mudah-mudahan Allah merestui perjuangan Allahyarham untuk agamaNya. Jam 2 kami berangkat pulang meninggalkan rumah Wak Safar.

28 Jan. Ketika akan memuliakan kuliah Siirus Saalikin di Pondok saya, saya mendapati berpuluh message masuk ke Handset saya. Message yang memaklumkan pemergian Ustaz Aziz Awang imam Masjid Al-Fatah. Beliau juga diserang Strok hampir setahun yang lalu. Isteri beliau Ustazah Zakiah ( kami sekeluarga memanggil beliau Makcik) adalah Bekas Ketua Dewan Muslimat Kuantan sebelum menjawat jawatan Ketua Dewan Muslimat Paya Besar.

Saya mengenali Ustaz Aziz sekeluarga ketika mula-mula berpindah ke Batu 3 Kuantan sekitar tahun 1992. Ketika itu saya dilantik sebagai Khatib Masjid Al-Fatah dan Ustaz Aziz adalah imamnya. Hubungan kami agak akrab, lebih-lebih lagi Ustaz Aziz juga sebagai ketua Cawangan Batu 3. Saya masih ingat...ketika zaujah saya melahirkan anak ke tiga kami ( Abdul Fatah. Kemudiannya meninggal selepas 18 hari) Ustaz Aziz sendiri menyorong Arang kayu ke rumah sewa ( sebenarnya bukan sewa..kerana kami dibenarkan duduk secara percuma oleh Ayah Haji Yusof) kami, untuk bersalai. Begitu juga ketika Zaujah saya melahirkan anak ke empat kami (Abdul Hadi). Makcik Zakiah lah yang sering datang menemani zaujah saya jika saya terpaksa keluar jauh bagi memenuhi undangan ceramah atau kuliah. Beliau akan bergilir-gilir dengan Mak Aji ( isteri Ayah Haji Yusof).

Saya sempat beberapa kali menziarahi Allahyarham Ustaz Aziz ketika beliau terlantar koma di rumahnya. Semalam ketika menerima berita kematian Wak Safar, terdetik dihati saya untuk menziarahi Ustaz Aziz pada petang jumaat ( kerana pada malamnya saya dijadualkan berkuliah di Masjid Al-Fatah) nanti. Namun Allah terlebih dahulu menjemputnya. Al-Fatihah. Semoga aruah Allahyarham dicucuri rahmat oleh Yang Maha Pengasih.

Sesungguhnya setiap hari kita meniti di atas titian kematian. Jika Allah meghendaki kita tergelincir maka tergelincirlah kita kedalam qadha kematian. Justeru itu berniatlah dengan baik sebelum memulakan langkah di atas titian yang sangat licin ini.

Esok menanti kita dengan sejuta dugaan..lalu mohonlah pertolongan Allah.

No comments: