24 January 2010

Siapalah aku tanpa mu,guru ku..siapalah aku tanpa mu teman...


Sabtu 09.Jan mesyuarat Dewan Ulama Pas Pusat selesai jam 6 petang. Saya terpaksa bergegas balik ke Kuantan kerana esok ( 10.jan.2010) adalah tarikh pendaftaran pelajar baru sessi 2010. Saya terpaksa ada di Pondok pada hari tersebut kerana meraikan Ibu-Bapa yang datang. Alhamdulillah..sambutan cukup menggalakkan. Pengambilan yang dihadkan kepada 100 orang pelajar sahaja terpaksa dirombak kepada angka 115, atas desakan dan permintaan ibu-Bapa. Permintaan selebihnya terpaksa kami tolak dengan sopan kerana penempatan asrama yang terhad. Tahun ini bertambah lagi pelajar An-Nuur. Ini bermakna bertambah lagi bebanan kami.Kepada Allah saya mohon kekuatan untuk memikul harapan ibu-Bapa yang mengharapkan An-Nuur berjaya membentuk anak-anak mereka. Allah jua sandaran dan kekuatan kita.

12.Jan. selepas berkuliah di Masjid Balok saya dan Sdr Azmil ( Driver An-Nuur) bertolak ke Kota Bharu. Tujuan utama ialah menghantar anak saya ( Umar Abdul Aziz dan Mu'minatul Hasanah) ke Pusat pengajian di Trengganu dan Kelantan. Di samping itu juga untuk membeli kitab-kitab bagi pelajar-pelajar yang akan memulakan pengajian mereka selepas minggu orentasi.

13. Jan. Kami sampai di Madrasah Darul Ikhwan, Wakaf Tapai Trengganu. Madrasah ini di asaskan oleh sahabat senior saya ketika di Pasir Tumboh. Saya sendiri tidak pasti nama sebenar beliau, kerana kami selalu memanggil beliah dengan pangilan "Ayah Ku ". Saya sempat bersama dengan Ayah Ku diPasir Tumboh sekitar 7 tahun sahaja. Kerana ketika saya menyambung pengajian di Karachi, Ayah ku kembali kekampung beliau. Selepas itu hubungan kami terputus, sehinggalah kunjungan saya pada hari tersebut. Kami disambut mesra oleh Ayah Ku. Beliau seperti dulu-dulu. Mesra dan kekal dengan wataknya sebagai lelaki Mutadayyin. Saya diberitahu Ustaz Mohd Zain ( juga teman saya di Pasir Tumboh) juga bersama Ayah Ku menghidupkan Madrasah Darul Ikhwan ini. Namun saya tidak sempat bertemu dengan beliau pada hari itu. Ayah Ku dan Ustaz Md Zain juga adalah salah seorang di antara guru-guru Ustaz Azhar Idrus ( diakui sama oleh Ustaz Azhar kepada saya).

Madrasah ini agak terpencil dari jalan besar antara Kuala Trengganu dan Kuala Berang.Namun jalan masuk berturap dengan baik. Pelajarnya sekitar 80 orang lelaki dan perempuan. Kepada Ayah Ku saya titipkan anak saya Umar Abdul Aziz. Mudah-mudahan Madrasah yang menjadi tadahan wahyu ini membentuk ilmu dan akhlak anak saya. Selepas itu kami bertolak terus ke Madrasah Yusufiyyah di Gelang Mas, Pasir Mas. Pusat Pendidikan ini dibangunkan oleh Ustaz Ishak sekitar 18 tahun yang lalu. Beliau juga bekas pelajar Pasir Tumboh. Isteri beliau adalah dua pupu saya, dalam keluarga Lambury. Di sini saya titipkan anak perempuan saya Mu'minatul Hasanah menysuli anak kedua saya Muhammad Irfan yang telah belajar di sini 4 tahun.

Seperti biasa setiba di Kota Bharu, saya akan menghubungi sahabat saya Ustaz Zaini, Mudir Sekolah Rendah Islam Pintar (SRIP). Bersama beliau banyak cerita "kelantan" yang dapat saya dengar. 14 Jan bersama Ustaz Zaini kami menziarahi guru kami Tuan Guru Haji Hasyim. Sudah agak banyak bulan saya tidak menziarahi beliau. Pada Hari Raya korban yang lepas ketika menghadiri "Himpunan Keluarga Lambury", saya bercadang menziarahi beliau, namun saya dimaklumkan Tuan Guru balik ke Kedah dikampung beliau "Pantai Johor" jalan Gunung Keriang. Saya agak terperanjat bila dapati keadaan Tuan Guru agak tenat dari biasa. Beliau hanya mampu berbaring dan tidak mampu bercakap banyak. Saya salami dan ciumi tangannya. Ketika tangan beliau saya cium, hati saya serta merta menjadi hiba. Terkenangkan tangan itulah yang telah membelai rohani saya sekian lama. Tangan itulah membuka helaian kitab tua menunjuk ajar saya dan teman-teman. Kini tangan itu telah lemah,lesu dan tidak bertenaga lagi. Sepanjang berbual saya genggam tangan Tok Guru.Beliau menggengam erat tangan saya, sambil raut wajahnya tetap tersenyum walaupun lemah. Ya Allah,rahmatilah guru ku. Dari tubuh yang lemah inilah aku mengenal nuur agama Mu Ya Allah. Tanpa tubuh lemah ini, siapalah aku Ya Allah.

Uurusan pembelian kitab di Kedai Jaafar Rawas di bawah bangunan Pejabat Pas berjalanan dengan lancar. Semua kitab yang saya perlukan dapat disediakan. Hampir 8 ribu, kami berbelanja untuk kitab-kitab tersebut.

15 Jan ( Jumaat) selepas menziarahi pusara ayah, kami bersarapan di kedai makan milik sepupu saya di Kampung Delima. Sebahagian besar penduduk Kg Delima adalah saudara mara saya. Di Kampung ini banyak kenangan zaman kanak-kanak saya. Di alur sungai belakang rumah Tok Ayah adalah tenpat saya dan kanak-kanak sebaya saya mandi manda waktu petang. Biasanya kami tidak akan naik sehinggalah ada ibu atau bapa yang datang ketebing alur bersama sebatang ranting kayu ditangan. Kalau kami degil pasti dirotan. Mereka akan rotan walaupun bukan anak mereka. Yang hairannya Ibu Bapa kami tidak akan berpihak kepada kami jika diberitahu pakcik atau makcik tertentu merotan kami. Bahkan dengan bangga pakcik atau makcik yang merotan kami menceritakannya kepada ayah kami bila mereka bertemu disurau. Dulu saya tidak faham mengapa ayah-ayah kami bersikap begitu. Sekarang saya faham..bahkan saya merindui suasana itu muncul kembali dalam kehidupan bermasyarakat.

Selepas sarapan, kami bertolak ke Kedah. Tujuan saya ialah untuk bertemu dengan sahabat saya Ustaz Fauzi bagi urusan umrah di bawah "Ukhuwwah Group". Namun Ustaz Fauzi telah menyusun satu program Kuliah di Alor Melintang. Bertemankan Sdr Subki, Abang Halim ( bekas warden kem tahanan Kemunting) dan sahabat yang memandu arah, kami sampai agak lewat di Masjid Alor Melintang. Lorong-lorong ke Alor Melintang pernah saya susuri beberapa kali dahulu. Ketika itu saya kerap bercuti di rumah sahabat saya Allahyarham Ust Shukri Wahab di Pondok Tanjung Bedil. Ketika itu kami sama-sama bujang. Bahkan masih ada beberapa orang tua di Masjid tersebut mengingati saya. Malam itu kami makan bersama di Mergong. Sdr Nizar yang juga bekas Warden Kem Tahanan Kemunting turut sama. Saya bersyukur..dalam perjalanan yang singkat itu, saya sempat menunaikan ibadah ziarah dan menghangatkan persahabat dengan teman-teman. Malam itu kami terus ke Shah Alam kerana esok paginya saya ada temujanji dengan sahabat saya Ust Mohd Shukri Daud, pemilik MSD Travel and Tours Sdn Bhd.
_____________________
Gambar: Umar Abdul Aziz ketika program memancing di Tasek Kenyir.

2 comments:

Admin said...

Assalamualaikum , boleh x saya nak no ustaz ishak , kalo boleyh no celcom??

Admin said...
This comment has been removed by the author.