Sehari dua ini saya tidak berkesempatan langsung menatap mana-mana blog termasuk blog saya sendiri. Selepas berkuliah disurau Bt 3 Kuantan malam Jumaat,saya terus ke KL, Tazkirah dan Khutbah di Masjid Kota Damansara. Malamnya berkuliah di Surau An-Nur Bangi, atau lebih dikenali dengan nama surau Dr Harun Din. Subuh Sabtu pula saya berkuliah di Masjid Khairiah dan Dhuha berkuliah di kediaman Dato' Azman di Seri Kembangan. Selepas itu saya dan teman-teman terus menyertai Demo Mansuhkan Isa anjuran GMI. Sepatutnya saya tidak balik Kekuatan selepas Demo petang tadi, kerana esok saya masih perlu menghadiri Mesyuarat Lajnah Tarbiyyah Dewan Ulama Pusat di Pejabat Agung. Tetapi oleh kerana esok juga pada waktu yang sama saya menjadi tuan rumah Mesyuarat Dewan Ulama Negeri, maka saya terpaksa balik dan jam 1.30 am tadi saya sampai kerumah.Alhamdulillah.
Sampai saja kerumah, selepas mandi saya terus menatap blog demi blog, dan akhir sekali Blog saya sendiri. Perkara pertama yang saya berikan perhatian ialah komen sahabat-sahabat di C-box saya. Saya pasti akan baca setiap komen pengunjung di c-box saya. Di ruangan itu saya dapat berintraksi dengan sahabat2 yang mengunjungi blog saya. C-box mendekatkan saya dengan sahabat2. C-box adalah ruang untuk sahabat2 menasihati saya. Justeru itu jangan risau untuk menegur saya. Dengan teguran itu saya dapat membetulkan diri saya. Imam Ghazali mengariskan 4 perkara untuk kita mengenali 'Aib diri kita sendiri. Justeru itu kita dapat mengubatinya sebelum ia memusnahkan diri kita. Yang pertama: "Duduklah dihadapan seorang guru. Guru akan menyebut perkara2 aib atau buruk yang mungkin ada pada dirimu". Kedua: Bersahabatlah dengan orang yang soleh, supaya kamu dapat melihat kelebihannya, lantas tahulah kamu apa kekurangan dirimu". Ketiga: "Ambil perhatianlah terhadap kata-kata musuhmu terhadapmu, kerana disana mungkin ada kebenaran yang dapat engkau kenali kelemahanmu". Dan Keempat: "Bergaulah dengan manusia ramai. Dengar2lah apakah sifat2 buruk yang mereka tidak gemari. Mungkin sifat itu ada pada dirimu, maka perbetulkannlah". Malanglah orang yang menutup ruang untuk ia mengenali kelemahan dan aib dirinya.
Teguran "tak-ape" dalam c-box saya akan saya ambil perhatian sepenuhnya. Maaf, jika Sdr mengharapkan saya melenting dengan tulisan sdr itu. Syaitan memang mahu saya bertindak demikian. Namun saya tidak akan biarkan syaitan bertepuk tangan kemenangan. Kenapa kita harus jadi patung wayang kulit ? sedangkan syaitan menjadi Tok Dalangnya?. Bagus teguran sdr. Dengan tulisan sdr itu, saya sedar kelemahan saya, dan dapat saya tahu beberapa perkara yang belum difahami oleh orang diluar sana terhadap An-Nuur. Dan dapat juga saya tahu apa-apa yang pembaca tidak fahami dari setiap atikel yang saya tuliskan. Sebenarnya sengaja saya tulis apa-apa yang saya fikirkan kebaikan bersama. Dan saya bersedia mendengar komen pengunjung. Jika saya bencikan teguran saya tidak akan menulis perkara yang seumpama itu. Baik saya menulis cerita biasa, kesah para sahabat, maklumat tentang penemuan aneh atau sebagainya. Atau jika saya bencikan teguran, saya tutup sahaja ruang c-box tersebut. Tetapi adil kah saya jika begitu?. Saya jemput sahabat-sahabat semua membaca tulisan saya, kemudian saya menutup telinga dari mendengar percakap mereka?. Rugi lah saya jika saya tidak mendengar komen atau teguran sesiapa pun, kerana itulah saluran untuk saya mengenali kelemahan saya dan seterusnya saya ubati ia dengan kebaikan.
Buat pengetahuan sahabat semua. Atikel yang saya paparkan sebelum ini, adalah hasil perkongsian pengalaman dengan beberapa orang teman. Antara mereka itu ada Mudir sekolah Pas, Ada ketua jabatan, ada pengurus syarikat, Naqib Usrah dan sebagainya. Itulah luahan mereka. Lalu saya paparkan, supaya pekerja-pekerja Pas yang berkhidmat dengan sekolah Pas, Kilang milik orang pas, Syarikat milik orang Pas, organisasi Pas dan sebagainya, agar menekuni tugasan mereka dengan penuh amanah. Jangan dek kerana kita berkhidmat dengan majikan "orang kita" dan "sekolah kita", maka kita laksanakan tugasan itu sambil lewa, sedangkan bila berkhidmat dengan kerajaan, kita sangat tekun bekerja. Tidak boleh kah kita pindahkan ketekunan itu kedalam organisasi pas?. itu saja maksud saya.
Oleh kerana pengalaman saya dalam bidang pentadbiran sekolah, maka saya sentuh agak khusus kepada tugasan guru-guru. Saya hanya menegur guru-guru yang cuai sahaja. Guru-guru yang berkhidmat dengan penuh tekun dan amanah tidak perlu saya tegur lagi. Jumlah mereka lebih ramai daripada yang cuai itu. Mereka sanggup berkhidmat dengan tangga gaji yang kecil, datang ke sekolah tepat waktunya, masuk kekelas dengan persediaan mengajar yang kemas, semangat "murrabbi" yang tinggi. Cita-cita membangunkan sekolah milik jamaah dengan semangat yang berkobar-kobar. Namun terdapat jumlah kecil guru-guru yang berkerja sambil lewa. Bangun jam 11 pagi, masuk kelas sambil bermain mesej, sering cuti tanpa sebarang makluman kepada pihak pentadbiran dan sebagainya. Jumlah yang kecil inilah yang saya tegur lewat tulisan saya, agar kita selaku 'amilin pas dapat memperbetulkannya. Jika ditanya, apakah saya sendiri telah sempurna sebelum membuat teguran itu? jawapannya tentu tidak. Jika "kesempurnaan diri" menjadi syarat untuk menyampaikan teguran dan nasihat maka sudah tentu tiada ceramah yang layak didengar kecuali ceramah "Nabi Muhammad".
Sdr "tak-ape" membangkitkan soal ada projek An-Nuur yang terbengkalai dan tiba-tiba dirancang pula projek baru, kononnya untuk mendapat derma yang baru pula. Memang benar, An-Nuur ada projek terdahulu iaitu pembinaan Kolej An-Nuur ( KIAN) yang dijangka menelan belanja sebanyak 3.8 juta. Projek tersebut tidak terbengkalai. Sebenarnya ia "belum dimulakan". Bagaimana terbengkalai suatu yang belum dimulakan. Kami AJK KIAN sedang menunggu urusan pihak tuan tanah selesaikan urusan pengagihan hak penama tanah tersebut dengan kaum keluarganya. Projek kedua yang kita lancarkan baru ini ialah "pembinaan Asrama Putera". Betul.. memang kita dahulukan projek pembinaan asrama ini. Kerana asrama diperlukan untuk menampung kemasukan pelajar tahun 2010. Jika ditunggu siap projek Kolej, baru akan kita bangunkan asrama, bermakna kita terpaksa menangguhkan pengambilan pelajar untuk beberapa tahun yang akan datang. Benar kata sdr "tak-ape" bahawa kita memerlukan derma baru untuk pembinaan asrama tersebut. Kerana wang yang dipungut untuk pembinaan kolej tidak akan kami sentuh untuk pembinaan asrama ini. Projek Kolej ada pengerusinya sendiri, bendaharinya sendiri dan Ajknya sendiri. Oleh itu kos pembinaan asrama terpaksa kami buat pelancaran derma yang lain. apa salahnya pungutan itu dibuat? apa tak kenanya disitu yang saudara nampak?.
Sdr "tak-ape" mengatakan kami sibuk bisnes. Betul!..saudara tahu kenapa?. Beberapa unit perniagaan saya sendiri membentuknya. Saya sendiri yang mengeluarkan modalnya. Kami bangunkan An-Nuur Travel, An-Nuur Mart & Halal Food, An-Nuur Publication, An-Nuur Techonologies, dan An-Nuur Agro. Semua unit ini kami payungkan ia dibawa syarikat "MUSLIM TIJAARY" syarikat milik saya. Mengapa kami perlukan urusan perniagaan ini?. Ianya adalah untuk menampung gaji guru, bill eletrik, gaji tukang ( pekerja pembangunan sebanyak RM 350 sehari bagi lima orang), dan wang saku 7 orang pelajar asing (miskin). Dari Muslim Tijaary kami salurkan beribu sebulan untuk kelangsungan An-Nuur. Perniagaan itu bukan untuk saya. Yang saya fikirkan ialah guru-guru lain. Saya boleh berkuliah diluar. Dan memang saya berkuliah diluar. Saguhati dari 48 siri kuliah luar sebulan sudah cukup untuk saya dan keluarga yang tinggal dirumah yang tidak bersewa. Tetapi bagaimana dengan guru-guru yang tidak berkuliah diluar?. Maka saya harus fikirkan income tambahan mereka sementara mereka menumpukan perhatian dan masa kepada pendidikan. Sedangkan kuliah diluar saya pula bertujuan membina jambantan penghubung antara An-Nuur dengan Masyarakat luar. Justeru itu saya wujudkan unit-unit perniagaan itu.
Mungkin sdr ingin bertanya tentang "tabungan amal". Tabungan amal memang berjalan walaupun sering mengalami pasang surutnya. Tetapi kutipan tabungan amal lebih kepada perbelanjaan pembangunan dengan membeli bahan-bahan binaan. Sdr bangkitkan soal kualiti pelajar. Kerana memikirkan kuliti pelajar lah maka saya sentuh tentang kualiti guru. Saya tegur kecuaian guru ( jumlah yang kecil tadi) kerana kecuaian guru sangat berkait rapat dengan kualiti pelajar. "Bean" dan "pesan" berkias, kekalahan tentera kerana panglimanya atau peneraju bahtera. Saya tidak bermaksud menidakkan kelemahan panglima atau nakhoda bahtera. Tetapi apa yang saya sentuh itu ialah sikap, bukan pengurusan atau pentadbiran. Contohnya di An-Nuur sekarang. Mudirnya Ustaz Fadli..katakanlah ada guru-guru yang tak bangun subuh ( sedangkan berulangkali dinasihati oleh Mudir), tak masuk kelas, bermain mesej dalam kelas, tidak membuat persiapan sebelum kekelas...apakah itu perlu dipertanggungjawabkan kepada mudir? Sekali lagi saya tegaskan ialah soal "SIKAP". Sebab itu saya tak sentuh "PAS". walaupun pekerja itu orang pas. Pas sudah okey, dasarnya, tarbiyyahnya dan pengasuhan pimpinan kepada ahli..tapi yang ditegur ialah sikap sesetengah ahli itu.
Mungkin selepas ini sdr "tak-ape" nak komen pula soal saya mengajar kitab Tasauf ( HIKAM) tetapi saya sendiri Berkereta besar". Silakan kita bersahabat dan berjalan bersama selama seminggu. Kerana Saidina Omar berkata jika kamu belum bermusafir dengan seseorang itu beberapa masa, sebenarnya kamu belum mengenalinya dengan sebenar. Saya tidak sempurna sebagaimana orang lain. Justeru itu saya bersedia menerima ketidak sempurnaan teman-teman. Ketidaksempurnaan kita itu jangan menghalang kita daripada berdakwah dan menuju kepada yang lebih baik.
1 comment:
memandangkan ustaz cakap boleh tegur, jadi saya nak nengor laa ustaz nih. Artikel ni, ustaz ter-paste 2 kali. Saya sudah baca dari awal tulisan, dan bila tiba ke tengah2, ianya berbalik kepangkal semua, baru saya sedar yang artikel tersebut sebenarnya telah habis. (tak menjadi salah pun sebenarnya, hihihi. saja jer lah nak mencari motif nak mencelah kat blog ustaz ni)
Semoga Allah memberkati ustaz, keluarga ustaz dan sahabat-sahabat ustaz. serta dikekalkan didalam usaha kebaikan. amin.
Post a Comment