26 August 2009

Di sini medan ku..

"Bila kita buka pondok bermakna kita sedang melahirkan beratus ulama, beratus khatib dan beratus-ratus tenaga pengajar"...T.G Hj Hasyim Pasir Tumboh.
_____________________


Semalam ( 25 Ogos)ketika sampai di bilik penginapan Surau Ubudiyyah Sri Gombak untuk memulakan siri Tazkirah Ramadhan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, saya telah dikunjungi oleh Ustaz Ismail Noh, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas. Selepas muktamar yang lalu, kami sama-sama berada dalam Dewan Ulama Pas Pusat. Ustaz Ismail juga bermukim di Sri Gombak untuk mengisi siri program Tazkirah Ramadhan.

Dalam perbualan yang tidak panjang itu, kami menyentuh topik pendidikan. Kebetulannya Ustaz Ismail Noh juga pengasas sebuah Pusat Tahfiz di Pasir Mas Kelantan. Kemudiannya Pusat Pendidikan tersebut ditutup, dan sekarang sedang giat untuk diaktifkan semula. Pendedahan pengalaman beliau sangat selari dengan apa yang sedang saya fikir dan rancang. Dalam kuliah Dhuha di Al-Fatah pada hari Ahad lepas, saya telah suarakan hasrat saya yang akan membatalkan banyak jadual Kuliah di Masjid-masjid dan surau di sekitar Kuantan kerana ingin memberikan penumpuan sepenuhnya kepada Pondok saya. Usia saya pun sudah menjenggah 45 tahun. Sudah terasa keletihan mengisi 42 siri kuliah sebulan. Jadual tazkirah di Kuala Lumpur tahun ini sahaja saya terpaksa mengisi 57 siri tazkirah. Kerana itu saya sudah mencongak-congak akan kembali "ke pengkalan" saya. Tiba sudah masanya saya memberikan penumpuan kepada pondok, selepas bertahun-tahun mencari dana untuk membangunkannya. Asas-asas ekonomi pondok juga telah saya asaskan. Insyallah ada la rezki dari Allah.

"Pondok ana mati ketika ana sibuk sebagai YB la ustaz..." kata ustaz Ismail penuh jujur. "Ana pernah suarakan perkara ini kepada Tok Guru, dan Tok Guru akur, kerana Tok Guru juga ada pengalaman dengan sekolah beliau di Pulau Melaka. Pondok ni ustaz, memerlukan kita beri tumpuan..ana tu, oleh sebab pondok dah pernah ditutup, bila kita nak bangunkan balik, masyaalah..susahnya nak tarik keyakin orang semula ustaz. Sebab tu baru ni, ana nak dilantik sebagai ketua guru halakat Kelantan, ana pergi jumpa Tok Guru, ana kata kepada tok Guru; cukup la rasanya Tok Guru, sebab ana nak bangunkan semula pondok ana..." tambah ustaz Ismail dengan nada penuh bertenaga.

Saya cukup tertarik dengan apa yang Ustaz Ismail luahkan. Indahnya bersahabat dengan ulama'. Tiada yang mereka fikirkan selain membangunkan kepentingan Islam dan Ummah. Saya teringat ketika mengunjungi Tuan Guru Haji Hasyim ( guru saya) di Pasir Tumboh 16 tahun yang lalu. Ketika saya ke Pasir Tumboh untuk memohon restu beliau untuk saya memulakan projek pembinaan An-Nuur. Sebagai seorang Guru dan Ayah, beliau nasihati saya agar, bila dah ada pondok tumpukan masa kepada mengajar dan mengajar. "Bila kita buka Pondok bermakna kita sedang melahirkan beratus ulama'. Kita sedang melahirkan beratus khatib, pendakwah dan beratus-ratus tenaga pengajar. Jadi kita tak boleh buat sambil lewa. Kalau anta sanggup tumpu masa, dan yakin sungguh rezki itu ditangan Allah, silakan..ana restu dan suka sangat jika anta teruskan cita-cita tu". Itulah kalimat yang keluar dari mulut Tuan Guru yang saya kasihi.

Tahun 1996 saat An-Nuur sedang dalam pembinaan dan akan memulakan pengambilan pelajar, tiba-tiba diistiharkan Pilihanraya Umum. Selaku YDP Kawasan Paya Besar, saya telah dicadangkan untuk menjadi calon Pas bagi DUN Penor. Segera saya teringat pesanan Tuan Guru saya. Kepada Ibu, saya minta nasihat dan pandangan. Saya rujuk Tuan Guru Haji Baqi selaku PJ ketika itu. Saya minta pandangan beliau sebagai tok guru, bukan atas kapasitinya sebagai PJ. Beliau berkias ; "Ustaz teruskanlah usaha ustaz sekarang, kerana tak ramai orang yang berada dalam usaha ini sekarang.."lapangan lain" ramai orang berminat melakukannya". Mengabungkan Nasihat Tuan Guru Haji Hasyim, Ibu saya dan Tuan Guru Haji Baqi, lalu cadangan itu saya tolak, sambil saya cadangkan nama Sdr Bahrin Muhammad bekas Ketua Pemuda Pas Pahang. Al-hamdulillah, saya dapat teruskan perencanaan An-Nuur tanpa banyak gangguan tugas yang lain. Seingat saya dua kali saya menerima surat daripada Pejabat Agong Pas yang meminta persetujuan saya samaada bersetuju menerima pencalunan AJK Pas Pusat. Dengan segera saya balas kembali surat-suarat tersebut dengan jawapan tidak bersetuju. Pertamanya saya merasa malu untuk menyetujukan diri bertanding diposisi yang begitu hebat. Keduanya kerana saya "sayangkan pondok ini".

Ketika Ustaz Ismail meminta diri untuk ke bilik beliau disebelah kabin penginapan saya, saya sudah hampir pasti memutuskan, selepas Ramadhan ini semua jadual saya akan banyak berubah. Saya akan kembali ke "Medan" saya semula. Saya perlu menyiapkan segera dan secepat mungkin bakal-bakal tenaga penceramah,khatib, ustaz dan pendakwah serta pejuang untuk jamaah ini, sebelum sisa usia yang ada ini kehabisan tenaganya. Kepada Allah say mohon kekuatan dan inayah.

Maaf kepada sahabat-sahabat yang mungkin saya terpaksa membatalkan beberapa kuliah di tempat mereka. Jika sahabat-sahabat ingin bersama, jom kita ke An-Nuur. Itulah pengkalan saya.

______________________
Keterangan Gambar:
1. Atas Kanan: Pelajar-pelajar Muslimin An-Nuur
2. Atas kiri: Pelajar Muslimat An-Nuur
3. Bawah kanan: Pelajar-pelajar ANIS ( An-Nuur Islamic PreSchool-pra tahfiz)

3 comments:

shaisham said...

Alhamdulillah...Ana rasa itulah antara harapan sebahagian besar ibu bapa pelajar An Nuur...

School Of Tots said...

Alhamdulillah ustaz, teruskan pejuangan yg mulia ini. Usaha & Ilmu bermanafaat yg dicurahkan secara ikhlas dan dipraktikkan pula oleh anak didik akan memberi pulangan lumayan, InsyaAllah, dunia & akhirat.

Unknown said...

salam guru ku..
moga an nuur terus kehadapan.. pohon restu ust untuk kumpul kembali pelajar2 yang pernah belajar di annuur.. moga dengan restu ust..segala perancangan berjalan lancar..