04 August 2009

Erti sebuah persahabatan ( Respon tulisan x-isa dalam c-box )


"Persahabatan" sebuah ungkapan yang sedap di dengar tetapi sangat sukar dihayati dengan sejujur-jujurnya. Persahabatan adalah "sebuah seni" yang sukar dimengerti. "Persahabatan" adalah lakaran abstrak yang sangat sedikit manusia yang berjaya memberikan tafsiran yang hakiki. "persahabatan" adalah sebuah corak kehidupan yang teradun dalam jutaan warna, "suci" dan "pengkhianatan". "Persahabatan" sebuah hubungan yang boleh jadi didampingi Malaikat dan mungkin juga disertai Syaitan.

60 hari dalam lokap, 3 tahun 4 bulan dalam tahanan Kemunting dan 10 bulan dalam tahanan terhad banyak mengajar saya erti sebuah persahabatan. Bila bersendiri sepi dalam lokap, saya bagaikan berada disatu sudut yang gelap dan sedang dipancarkan sebuah slide di screen yang besar. Slide yang memaparkan ulangan detik-detik pergaulan dengan teman yang bernama "sahabat". Dari putaran slide kehidupan itu dapat saya saksikan;

1. Ada sahabat yang mesra pergaulannya dengan kita. Namun hanya untuk waktu-waktu yang tertentu sahaja. Kerana saat itu ia tidak punya teman selain kita. Mungkin kerana dia baru bertukar sekolah ke sekolah kita atau bertukar kerja ketempat kita atau baru menyertai jamaah, dan belum ramai yang dikenalinya. Namun apabila dia mula mengenali teman-teman yang lain, lebih-lebih lagi jika ia berteman pula dengan seseorang yang dikira pimpinan,kita tidak penting lagi kepadanya. Atau dahulu dia hanya ahli biasa dalam jamaah, tapi kini dia ada sedikit jawatan dan mula dikenali orang, atau jawatannya sudah mengatasi kita, maka persahabatan dengan kita tidak semesra dahulu.

2. Ada sahabat yang bersahabat dengan kita waktu senang sahaja. Jika kita dilihatnya mendatangkan bebanan kepadanya maka dengan mudah pertalian persahabatan itu dileraikannya. Saya masih ingat beberapa orang teman yang menjadi pimpinan sebuah kumpulan seni bela diri, mereka kerap benar mengunjungi saya disatu waktu. Saya diminta menyampaikan ceramah untuk kumpulan mereka yang dahagakan ilmu dan bimbingan. Menyedari niat mereka baik, saya jalinkan persahabatan dengan mereka. Namun apabila saya ditahan kerana ceramah yang mereka minta itu, mereka pula entah dimana. Keluarga yang saya tinggalkan tidak pernah dikunjungi. Bahkan selepas saya dibebaskan, mereka tidak pula datang menziarahi saya, alasannya ialah bimbang pihak SB menuduh mereka mempunyai hubungan dengan saya. Yang lebih malangnya ada seorang dikalangan mereka yang lari ketika bertemu dengan saya di bandar. Kononya takut SB terlihat beliau bersama saya.

3. Ada sahabat yang kelihatan baik dengan kita kerana ingin menampakkan kepada musuhnya bahawa beliau ada ramai teman termasuk kita. Namun apabila dia kembali berdamai dengan musuhnya itu, kita pula dimusuhinya.

4. Ada sahabat yang kelihatan baik dengan kita kerana ingin mendapat tempat dikalangan orang-orang yang rapat dengan kita. Namun jika ada orang atau salah seorang teman-teman kita itu yang mengutuk kita, beliau tidak bersedia membela kita atas alasan ingin menjaga hubungan dengan semua orang. lebih malang lagi diambilnya kesempatan itu untuk turut memburukkan kita.

5. Ada teman yang sebenarnya benci terhadap kita dalam hatinya. Namun kerana tidak sanggup bermusuh dengan teman-teman rapat kita lalu dipaksanya bermanis muka dengan kita. Namun jika dilihatnya sedikit sahaja kesilapan kita lalu disebut-sebutnya dihadapan teman-teman kita yang lain. Tujuannya untuk melongarkan kesetiaan teman yang lain terhadap kita. Apabila dilihatnya teman yang lain mula berpehak kepadanya, barulah ia berani mengistiharkan perangnya terhadap kita.

6. Ada teman yang inginkan sesuatu dari kita. Seperti kewangan, atau sokongan moral untuk dia menghadapi musuh-musuhnya. Namun apabila kita tidak memberikannya pertolongan yang dikehendakinya itu, lalu kita dimusuhinya dalam diam-diam. Saya pernah ada seorang teman dari Indonesia. Pada satu ketika dia datang meminta bantuan saya untuk bekerja dengan An-Nuur. Saya tolak dengan baik dengan alasan beliau tidak mempunyai dokumen yang sah. Jika apa-apa berlaku An-Nuur akan menanggung risikonya. Sejak itu beliau memusuhi saya. Bukan beliau seorang sahaja,bahkan seluruh keluarga mertuanya menyalahkan saya.

7. Ada teman yang tiba-tiba hambar hubungannya dengan kita, kerana kita dianggapnya saingan yang mencabar kedudukannya pada mata masyarakat umum. Jika masyarakat memuji kita dia berdiam diri dengan hati yang sakit. Tetapi apabila ada seseorang memburukkan kita, gembira hatinya dan dipanjangkan lagi kepada orang lain. Jika orang lain tidak percaya disuruhnya agar orang ramai merujuk kepada teman yang memburukkan kita itu.

8. Ada teman yang akan memusuhi kita kerana kita tidak menerima idea atau pendapatnya. Dimaklumkan kepada kita bahawa "semua orang tidak senang" dengan idea kita. Semua orang sependapat dengannya. Namun apabila kita selidiki apa yang diakatakannya itu tidak benar. Seorang teman pernah menyarankan kepada saya jika mahu merawat anak saya yang sering sakit ( kerasuan), disuruhnya saya menambat seekor kambing hitam dalam masjid kemudian kambing itu lepaskan berkeliaran. Bila ada seorang teman lain mencelah; bukan kah itu syirik namanya. Lalu beliau berkata ; "tak mengapa la syirik pun sekejap je... Idea itu saya tolak. sejak itu jika ada orang menyentuh kelemahan An-Nuur, beliau cepat-cepat menokok tambah.

9. Ada teman mesra dan berhubung baik dengan kita. Namun jika ada musuh yang menyerang kita, ucapan musuh itu dijadikannya pula senjata untuk menyerang kita. Jauh sekali untuk dia membela kita. Bahkan dipanjang-panjangkannya ucapan musuh itu dimana-mana. Selesai memanjangkan perkataan musuh, dia akan berkata; "saya tak tahu, tapi itulah yang orang cakap".

Demikian saya paparkan sebahagian dari sekian banyak wajah sahabat-sahabat dalam kehidupan kita ini. Pembaca semua mungkin ada pengalaman yang lebih aneh dalam pergaulan ini. Apa yang ingin saya kongsikan ialah, jika sifat-sifat seumpama itu kita benci jika seorang sahabat lakukan kepada kita, maka jangan sekali-kali kita bersifat demikian terhadap sahabat-sahabat kita.

Jarang sekali ada sahabat yang jujur bersahabat dengan kita. Gembira jika kita dilimpahi nikmat, bersedih dengan sepenuh hatinya jika kita ditimpa malang. Membela kita jika kita dikhianati, memberikan dorongan agar kita terus maju. Memberikan nasihat dan motivasi jika dilihatnya kita lemah. Mengambil peluang menjalinkan kehangatan persahabatan dengan kita dengan selalu ziarah menziarahi. Hasilnya "sukar" benar mencari "sahabat" dalam ikatan dunia yang serapuh ini. Jika ada...jalinkan lah persahabatan itu sekukuhnya.

Alhamdulillah..Allah kurniakan saya sahabat-sahabat yang baik. Tenaga-tenaga pengajar yang setia dan tekun, Ajk Tabungan Amal yang sedia berkorban, Ajk KIAN yang tidak mengenal lelah membantu saya, Peserta Kuliah Hikam yang sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan, Teman-teman diserata tanahair yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan. Merekalah pendokong cita-cita saya, dan saya sentiasa mendokong cita-cita suci mereka. Berdoalah agar kita menjadi sahabat yang baik kepada sahabat-sahabat kita.

Alhamdulillah Ya Allah..eratkan persahabatan kami dan Berkatilah mereka semua Ya Allah.


No comments: