20 April 2009

Akhirnya kerinduan itu terubat jua ( siri 1)

"Syukur Ya Allah..Akhirnya Engkau menerimaku datang ke Bait-Mu".
____________________________________

Alhamdulillah ..syukur kepada Allah dengan syukur yang tidak terhingga. Akhirnya kerinduan saya kepada dua tanah haram Madinah dan Makkah terubat jua. Kerinduan yang saya pendam sejak ramadhan 2000. Ramadhan 2000 adalah ramadhan pertama saya dan rakan-rakan tahanan ISA lalui dalam suasana yang sangat berbeza. Ramadhan tanpa keluarga. Ramadhan dalam genggaman kezaliman Kerajaan Hadari.

Dipenghujung Ramadhan RTM menyiarkan siaran langsung solah Tarawih di Masjidil Haram. Sejak itu hati saya merasa sangat rindu kepada Masjidil Haram. Sejak itu juga saya tidak mampu mengikuti siaran tersebut. Kerana setiap kali menatap suasana masjidil Haram dengan Baitullah tersergam ditengah-tengahnya, air mata saya akan mengalir. Pilu,sedih dan sayu berbaur tanpa dapat saya gambarkan rasanya yang sebenar. Apa tidaknya.. Dahulu masjid itulah tempat saya solah saban waktu, masjid itulah tempat saya menimba ilmu, masjid itulah tempat saya baring dan tertidur, masjid itulah tempa saya bertemu rakan-rakan dengan berbagai cerita dunia pengajian dan masjid itulah tempat munajat kepada Rabb sambil membisikkan doa diMultazam yang mulia. Dataran terbuka bersetentangan dengan Pintu BaituLlah adalah tempat kegemaran saya untuk membaca Alquraan dan kemudiannya merebahkan tubuh. Indahnya bila objek terakhir yang kita tatap sebelum tertidur ialah Baitullah dan Objek pertama yang terhias dimata bila bangun dari tidur juga adalah BaituLlah.

Kerinduan itu semakin mekar mengayuti tangkai hati, tahun demi tahun. Niat saya untuk menunaikan umrah dan sekaligus melepaskan rindu kepada Baitullah sekembalinya dari tahanan ISA terbatal beberapa kali. Kali pertama terbatal kerana terpaksa menggunakan wang yang disimpan ( sebenarnya wang sumbangan peribadi sahabat-sahabat ketika menziarahi saya selepas tahanan) untuk memulihkan pembangunan An-Nuur. Kali kedua pula terbatal kerana saya terpaksa bertungkus lumus mengumpul dana untuk pembangunan semula An-Nuur selepas kebakaran. Maka terpaksalah kerinduan itu saya bungkus rapi. Namun sesekali terkopak jua rasa sebak dan sedih khususnya apabila teman-teman yang baru pulang dari umrah bercerita tentang Madinah dan Makkah.

Alhamdulillah.. 5 mac yang lalu, Allah mengizinkan saya sekali lagi menziarahi Masjid Nabawi dan Makam Rasulullah saw. Alangkah gembiranya hati dapat berbisik kepada Allah di Raudhah, disisi Makam RasuluLlah saw. 7 Mac rombongan kami tiba di Makkah. Bila melangkah saja kaki ke Masjidil Haram, jiwa bagai dihambat untuk segera menatap Rumah Allah. Bila terpandang saja BaituLlah hati menjadi sebak dengan tiba-tiba. Terjurai air mata tanpa dapat ditahan-tahan lagi. "Syukur Ya Allah.. Engkau izin jua untuk ku mengunjunggi Bait Mu"..Syukur Ya Allah..Engkau terima jua akhirnya aku sebagai tetamu-Mu"....Syukur Ya Allah.. aku datang kembali menadah tangan di pintu Bait-Mu, dan aku yakin Engkau tidak akan biarkan aku bergayut dipintu Mu tanpa Engkau menghulurkan Rahmat dan Maghfirah-Mu untuk ku".

Kesempatan di Makkah juga saya penuhi dengan perjumpaan bersama-sama pelajar Malaysia di Makkah. Persatuan pelajar yang satu ketika dahulu saya juga turut terlibat mengasaskannya. Seramai 40 orang pelajar Melayu meneruskan tradisi pengajian Pondok di Bukit Ajyad. Saya merebut peluang perjumpaan itu dengan melakukan akikah untuk anak kesepuluh saya ( Madeena Aleesya Munawwarah). Tiga Ekor kibas dimasak nasi minyak Arab dengan respi pelajar ( Azroi) Malaysia, cukup menyelerakan. Malam itu saya sempat menyampaikan beberapa kata-kata semangat untuk adik-adik dan anak-anak pelajar, agar mereka tekun belajar dan kembali ketanah air untuk mengisi kelangsungan perjuangan Islam. Malam itu saya juga merasa sangat gembira kerana tanpa diduga bersua kembali Ustaz Mohd Taib sahabat lama saya ketika bersama-sama dalam Lajnah Tarbiyyah DPP Pusat seawal 90an dahulu. Beliau kini menjadi Pensyarah di Universiti King Abdul Aziz Jeddah. Kelihatannya beliau selaku duta PAS di Makkah.

Suasana Bukit Ajyad sudah banyak berubah. Jiran-jiran saya dahulu pun sudah ramai yang meninggal dan berpindah kembali ke Pattani. Namun sempat juga dalam samar malam, saya menziarahi kembali rumah sewa yang pernah saya diami. Lama saya menatap rumah dan lorong-lorong disekitarnya. Batu-batu pejal dilereng bukit Ajyad saya tatap dan disitu terselit nostalgia yang panjang untuk diceritakan. Lorong-lorong sempit dilereng bukit itulah saya susuri setiap dinihari untuk turun belajar Hadis di Masjidil Haram. Batu-batu pejal itu menjadi saksi ketika saya dan Ustaz Lutfi (sekarang YB Kemuning) bermalam kerana bersembunyi dari Jawazat ( imigresen) Saudi dalam operasi mereka menjejak penduduk tanpa visa yang sah. Namun Alhamdulillah sepanjang itu kami ( pelajar-pelajar Malaysia) tidak pernah ditahan.

bersambung: Saya mencari anak dekat BaituLlah. ( Anak saya hilang di Kampung Kuala Penor mulai jam 3 pagi kemudian ditemui jam 8 malam tidak jauh dari rumah)
Keterangan Gambar:
1) Kanan atas: Selepas solah subuh diMasjidil Haram.
2) Kiri atas: Di Dataran perkuburan Baqi' selepas solah subuh di Madinah.
3) Kiri Bawah: Halakat Hadis di Masjidil Haram. Kelas inilah yang saya ikuti mulai akhir 80an dahulu.
4) Kanan Tengah: Gambar Masjid Nabawi menjelang senja: Rakaman dari kamera anak saya.
5) Kanan Bawah: Perjumpaan bersama pelajar Melayu Ajyad Makkah.

2 comments:

shaisham said...

salam..masih terasa sejuknya aircond masjid nabawi,,,serta panasnya mentari ketika berjalan menuju masjidilharam waktu zohor..semoga Allah menjemput kita lagi ke sana...

al-aman said...

Mudah-mudahan Allah juga memperkenankan pemergian saya ke rumahNya. Amiinnn..

Doakan saya utk imtihan terdekat ini. Mudah-mudahan Allah memberikan kejayaan, amiinnn...