___________________________
Pagi 12 haribulan April, cuaca tanah haram Makkah seperti biasa cerah dan agak panas. Namun henbusan anginnya masih biasa-biasa sahaja, tidak seperti hembusan angin dimusim panas. Waktu sudah merangkak ke angka 9 malam. Dua orang anggota jamaah yang datang bersama kami dari kuantan sudah melelapkan mata mereka. Begitu juga dengan anak saya Muhammad Irfan. Mereka keletihan barangkali, kerana siang tadi kami terpaksa menunaikan umrah ditengah-tengah banjiran jamaah yang semakin bertambah, berbanding beberapa hari yang terdahulu. Dibawah sana, masih riuh dengan bunyi hon kenderaan dan suara peniaga memanggil pelanggan ke kedai mereka. Saya cuba lelapkan mata, namun agak sukar saya memaksanya. Walaupun saya juga keletihan ditambah pula sakit tumit yang agak kerap saya hidapi ditanahair kembali terasa, disebabkan terlalu banyak berjalan.
Saya menatap jam yang sudahpun menunjukkan pukul 10.30 malam ( waktu Makkah). Akhirnya saya buat keputusan cuba melelapkan mata. Sebelum itu saya menatap jam waktu malaysia di talifon saya. jam menunjukkan pukul 3.30 pagi waktu malaysia. Belum pun sempat saya menarik selimut, tiaba-tiba satu message masuk ketalifon saya. Butang in-box saya buka."Along hilang lagi"..tertera satu message dari isteri saya. Segera dada saya berdebar. Sudah berbulan lamanya anak sulung saya itu selamat dari sebarang gangguan. Sebelum ini sudah beberapa kali gangguan itu berlaku. Yang hairannya gangguan itu berlaku bila saya tiada dirumah dalam jangka waktu yang agak lama. Sudah banyak kali dibawa berubat, namun gangguan itu tetap juga berlaku. Biasanya bila anak saya itu hilang, jiran-jiran, pelajar dan guru-guru An-Nuur akan segera mencarinya. Menjelang subuh, biasanya akan ditemui ia terbaring dimana-mana. Di tepi paya berhampiran pantai, dalam lopak kubang kerbau atau tertiarap dalam kolam dekat perdu palas dekat dengan semak samun jalan ke kuala. Gangguan itu tidak menyebabkan dia agrisif atau meraung tak tentu pasal. Dia hanya senyap, letih dan tidak bermaya serta pingsan. Ke hospital pun telah saya bawa, namun pihak hospital tidak dapat mengesan apa-apa. Ikhtiar saya hanyalah solah hajat, berdoa dan membenteng keluarga saya dengan amalan-amalan yang ma'thur.
Kali ini Along hilang lagi. Saya ubati debaran saya dengan berbisik jauh didalam nurani; "Insyallah menjelang subuh akan ditemuilah along sebagaimana sebelum ini". Jam menunjukkan angka 2 pagi waktu Makkah. Ini bermakna di Malaysia telah pun jam 7 pagi. Saya hantar message bertanyakan along kepada isteri saya. Namun message balasnya, along belum ditemui. Saya sms kepada Azmil, pekerja Am dan Pemandu sekolah kami, namun jawapan Azmil sama dengan jawapan isteri saya, Along belum ditemui. Jam 8 pagi waktu malaysia, anak saya masih belum ditemui. Debar saya semakin mendesak dada, kerana belum pernah anak saya belum ditemui melampaui jam 7 pagi.
Di kampung keluarga Isteri saya mula datang menziarahi rumah saya. Bapa mentua saya yang tinggal dirumah saya kerana menemani isteri yang masih dalam pantang turut menyertai kumpulan mencari. Tiada alur sungai yang tidak dijenguk. Tiada lopak air atau kubang kerbau yang tidak ditinjau, samaada oleh guru-guru atau pelajar atau orang-orang kampung.
Apabila jam 9 pagi anak saya masih belum ditemui, saya mengarahkan mereka membuat lapuran polis. Manakala saya di Tanah Haram Makkah mengambil keputusan merayu kepada Allah dihadapan pintu BaitNya. Jam menunjukkan angka 4 pagi waktu Makkah. Azan pertama telah pun dikemundangkan bergema dipuncak menara Masjid yang berdiri hebat. Perlahan-lahan saya melangkah menuruni tangga hotel penginapan saya dan terus menapak ke Masjidil Haram.
Tanpa menghiraukan tetamu Allah yang lain, saya terus menuju penjuru Hajarul Aswad. Dinihari itu saya tawaf dengan penuh khusu'. Saya merayu kepada Allah, agar mengembalikan anak saya yang hilang. Saya mohon agar ia diselamatkan Allah daripada gangguan Jin dan Syaitan, juga dari manusia yang mempunyai sifat hasad. Dalam ombak manusia yang berzikir dan berdoa kepada Allah itu, tiba-tiba saya teringat kepada sebuah kesah yang pernah saya baca dalam kitab " Tazkiratul Aulia". Di dalam kitab tersebut mengesahkan seorang perempuan tua datang kepada seorang wali Allah yang bernama Ma'ruuf Al-Kharkhi. Ketika itu Ma'ruuf sedang berzikir kepada Allah. Selepas memberi salam kepada Maruuf, lantas wanita tersebut meminta tolong Ma'ruuf agar berdoa kepada Allah mudah-mudahan anak lelakinya yang hilang dikembalikan oleh Allah. Selepas mendengar permintaan ibu tua yang dhoif itu, Maruuf lantas menadah tangannya kepada Allah dengan doanya; "Wahai Tuhan, Langit itu langitMu. Bumi itu bumi-Mu. Dan apa yang ada antara keduanya juga adalah milik-Mu..kembalikanlah ia wahai Tuhan....". Seketika itu juga tiba-tiba muncul anak lelaki perempuan tersebut. Mengingati itu saya terus mengulangi doa Maruuf Al-Kharkhi setiap keliling tawaf saya.
Selesai Tawaf, saya berdiri betul-betul dihadapan pintu BaituLlah. Kepada Allah saya merayu, merintih dan memohon kasihan belasnya. Azan subuh bergema memenuhi setiap ruang Masjidil Haram. Semua jamaah bergegas mengambil tempat dan saf masing-masing, kecuali jamaah yang sedang tawaf mengelilingi BaituLlah.
Selesai solah subuh, saya terus tawaf dan tawaf. Penat Tawaf saya akan berdiri seketika dalam saf yang betul-betul membetuli pintu Baitullah. Di Malaysia, jam 2 petang, anak saya masih belum ditemui. Manakala pihak polis belum bertindak apa-apa kerana kononnya tempoh hilang belum genap 24 jam. Dengan itu pihak polis tidak boleh berbuat apa-apa sebelum tempoh tersebut. Selesai solah zohor sekali lagi saya tawaf dalam panas terik matahari Makkah. Kepada Allah saya berbisik; Ya Allah, aku datang kerumah Mu mencari anak ku yang hilang..apa pun Qada' Mu aku redha Ya Allah... Selesai Tawaf saya terus mencari ruang yang teduh untuk berdoa dan berzikir. Tidak banyak ruang kosong yang ada dalam waktu sebegitu. Selepas agak lama mencari ruang yang agak lengang, tiba-tiba mata saya tertumpu kepada satu sudut yang agak tersisih dari lorong para jamaah lalu lalang. Saya terus menuju kearah sudut itu. Seorang lelaki Arab yang sedang baring menarik sedikit kakinya untuk memberi ruang kepada saya solah disisinya. Selesai solah hajat saya terus membaca surah Ar-Rahman dan seterusnya Surah Al-Waqiah. Setelah melihat saya selesai berdoa, laki-laki Arab dalam lingkungan usia 60 tahun itu memberi salam kepada saya sambil menghulurkan tangannya.
Malizy? soalnya. Saya angguk bagi menampakkan kemesraan dengannya. Pertanyaannya itu telah membuka pintu perbualan kami. Selepas berbual banyak perkara yang berkisar disekitar soal-soal ilmu dan ummah, tiba-tiba laki-laki itu berkata kepada saya; Saya lihat anta macam ada masaalah. betul tak? Pertanyaannya itu agak memeranjatkan saya, kerana tidak saya sangka kegusaran yang bergelora dalam hati saya rupanya dapat dikesan oleh lelaki tersebut. Kerana tidak mampu menyembunyikan kebenaran telahannya itu, lantas saya angguk sahaja. Apa masaalahnya ? tanya beliau semakin jauh. Tanpa ada banyak pilihan lantas saya ceritakan segala-galanya kepada lelaki Arab itu. Selepas menceritakan kesedihan yang sedang saya hadapi kepada lelaki itu, tiba-tiba nun jauh di dasar hati, saya mula rasa bersalah kepada Allah. Seolah-olah tidak memada mengadu kepada Allah, sehingga saya perlu mengadu kepada seseorang selain Allah. Lantas segera saya bangun menunaikan solah taubat atas kesalahan saya itu.
Bila selesai solah dan berdoa..saya tunduk seketika. Akhi...kata laki-laki tersebut sambil menepuk peha saya. Anta minta pelajar-pelajar anta solah hajat di satu kawasan yang lapang. Rakaat pertama selepas Fatihah baca Wadduha 11 kali dan selepas fatihah pada rakaat kedua baca Izaaja 11 kali. Insyallah dengan izin Allah bacaan Waddhuha akan menyingkap hijab syaitan yang menyembunyi anak anta. Saya tatap mata lelaki itu. Saya hulurkan tangan berjabat salam dengannya tanda terima kasih saya atas simpatinya. Selepas meminta izin kepadanya, saya segera bangun menunaikan solah hajat mengikut kaifiat yang dikatakannya. Selepas solah saya dapati lelaki itu yang tadinya berbaring dibahagian belakang kiri saya, tiba-tiba telah tiada. Segera saya raba Handphone dalam bag sandang saya dan menghantar message kepada ustaz Soleh agar meminta pelajar menunaikan solah hajat di dataran di hadapan masjid sekolah saya. Saya sms kan sama kaifiat yang disebut oleh lelaki tadi.
Sedang saya menunggu masuknya waktu Asar juga sambil menunggu lelaki tadi yang saya ramal mungkin keluar untuk mengambil wudhu dan kemudian akan kembali semula kesudut tersebut. Tepat jam 3 petang waktu Makkah dan Jam 8 malam waktu Malaysia, tiba-tiba satu message masuk ke in-box handset saya. Segera saya buka. "Along telah ditemui...begitulah message yang sangat mengembirakan saya dan segera saya bersyukur kepada Allah. Kepada Allah saya berjanji ( bernazar) akan saya berikan seekor kambing untuk pelajar-pelajar melayu di Bukit Ajyad. Hingga Maghrib saya masih disitu kerana menunggu lelaki arab tadi. Namun saya tidak lagi menemui beliau sehinggalah saya meninggalkan Tanah Haram Makkah.
Ya Allah..Betapa Banyaknya nikmat dan pertolonganMu kepada ku, Namun betapa sedikitnya Syukur ku kepada-Mu.
( bersambung siri 3)
1 comment:
Along sayang abah, terima kasih kerana menyayangi along. maafkan along kerana banyak menyusahkan abah..
Post a Comment