01 February 2009

Manisnya mengendalikan sekolah agama persendirian ( siri akhir).



KESANGGUPAN IBU BAPA MEMILIH SEKOLAH AGAMA RAKYAT (PERSENDIRIAN) ADALAH SEBUAH PENGORBANAN YANG TIDAK HARUS DILUPAKAN.
----------------------------------------------------

26.01.2009 yang lalu saya terpaksa bergegas balik selepas menyampaikan kuliah subuh di Masjid Tabung Haji Kelana Jaya. Saya mesti segera sampai ke Pondok saya sebelum jam 11.00 pagi. Walaupun malam nanti saya dijadualkan menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Taman Permata Malewati, dan terpaksa berkejar pula ke Kuala Lumpur selewat-lewatnya jam 4.00 petang. Namun majlis pagi itu di pondok An-Nuur tidak boleh saya abaikan. Majlis tersebut ialah majlis perjumpaan dengan ibu-Bapa pelajar-pelajar An-Nuur sessi terdahulu dan sessi 2009. Bagi saya kesempatan bertemu,beramah mesra dan berdailog dengan Ibu-Bapa Pelajar adalah suatu kesempatan yang tersimpul kukuh di dalamnya nikmat persaudaraan dan semacam membentuk satu kebersamaan dalam perjuangan pendidikan ini.

Ibu-Bapa adalah antara insan terpenting yang terpaksa berkongsi suka dan duka,susah dan senang serta terpaksa pula membahui bebanan bersama guru-guru dalam mencapai matlamat pendidikan anak-anak. Anak-anak mereka adalah pelajar-pelajar kami, justeru itu perkongsian rasa antara guru-guru dan ibu bapa adalah amat penting. Sama pentingnya dengan perkongsian pertanggungjawaban. Bahkan terasa lebih indah jika pertanggungjawaban itu lahir dari lubuk rasa yang dikongsi bersama.

Dalam menyampaikan ucapan perasmian penutup pagi itu, saya sampaikan penghargaan saya kepada insan yang bernama IBU-BAPA yang ada dihadapan saya. Apa tidaknya, bukan sedikit pengorbanan yang telah mereka buat sehingga hati kecil mereka mempercayai "pusat pendidikan rakyat" ini sesuai untuk mengasuh anak-anak mereka. Bukan kecil pertaruhan yang terpaksa mereka lakukan. Mereka telah mempertaruhkan masadepan anak-anak mereka yang disayangi. Tersimpul dalam kepercayaan itu satu amanah yang maha besar yang tidak harus disia-siakan oleh pihak kami. Menyedari bebanan amanah tersebut, lantas saya menyeru mereka untuk terus berkongsi rasa, berkongsi perasaan, berkongsi tenaga dan segalanya. Kerana tidak terpikul rasanya bebanan itu tanpa sebuah perkongsian yang jujur dan persefahaman yang tinggi.

Walaupun Pusat Pendidikan agama persendirian serba kekurangan, namun ibu- bapa tetap menitipkan anak mereka ditengah-tengah kekurangan itu. Tentunya ada suatu yang diharapkan oleh mereka sehingga pengorbanan nekad di ambil oleh mereka. Suatu yang diburu oleh mereka tentunya suatu yang sangat berharga. Pastinya lebih berharga daripada sebuah kemewahan dan kebanggaan. Bukan satu keputusan yang mudah untuk mempercayai Pusat Pendidikan seperti kami. Lebih-lebih lagi dalam dunia moden yang saban hari menonjolkan nilai-nilai kecemerlangan seseorang manusia itu diukur dari pencapaian akademik dan kemampuannya meraih pekerjaan yang gah. Untuk meruntuhkan tembok kepercayaan "Bidaah" seumpama itu bukan satu perkara yang boleh dibuat sambil lewa. Bahkan memerlukan gembelingan tenaga semua pihak yang mencintai Islam, ilmu dan perjuangan. "Meyakini" kepentingan ilmu dan berani pula membuat keputusan untuk menghantar anak-anak ke Pusat Pendidikan Rakyat adalah satu "keajaiban" dizaman ini. Ini adalah kerana betapa ramai mereka yang berbicara soal-soal kepentingan ilmu,agama, perjuangan Islam bahkan soal-soal fikrah, kepimpinan ummah,taqwin,tanfiz dan tarbiyyah, namun anak-anak mereka sendiri sedari kecil tidak dipercayakan kepada Pusat Asuhan Islam dan sekolah-sekolah Islam, jauh sekali untuk dipercayakan kepada "sebuah Pondok" seumpama kami.

Justeru itu dalam menutup ucapan hari itu, saya rakam sejujur-jujur penghargaan kepada IBU-BAPA yang bersama dengan kami dan bersama-sama dengan rakan-rakan kami di Pusat-pusat pendidikan rakyat diseluruh negara. Sesungguhnya untuk melihat sesuatu yang berada disebalik tabir dunia dan nafsu itu memerlukan 'Ainul Basyirah yang jernih dan ikhlas.
Syabass kepada Ibu-Bapa samua.

No comments: