26 November 2010

Cerita diseberang Jalan..siri 1


Cuaca agak cerah. Saya baru sahaja menjenggah pejabat hari ini setelah hampir seminggu bercuti kerana urusan di Kemboja dan sambutan Aidil Adha di Kelantan.Sekeluarga kami beraya di Kelantan sambil mengambil kesempatan bertemu dengan kaum kerabat yang tinggal di Narathiwat.

Semua urusan jamaah Haji yang berangkat melalui "Pondok An-Nuur Travel & Tours Sdn Bhd" telah pun selesai. urusan-urusan lain hanyalah urusan penjadualan keberangkatan Umrah pada bulan Mac nanti. Jadual Kuliah pun belum bermula. Lalu saya kepejabat hanyalah sebagai rutin biasa sahaja. Suasana hari raya masih terasa, justeru itu keriuhan disekitar pejabat saya tidak seperti biasa.

Saya buka kembali lembaran2 terakhir buku yang saya beli di Air Port Phnom Penh seminggu lepas. Buku yang bertajuk "Mango Rains" yang ditulis oleh Daniel M Dorothy , itu sangat menyentuh perasaan dalam saya. Pengarang yang merupakan bekas wartawan akhbar "Chiang Mai Mail" itu berjaya menggarap sebuah kesah benar kemudian dipaparkan dalam bentuk penkesahan yang menyanyat hati. Kesah kesedihan "Lek" yang terus berjuang selama 21 tahun bagi menemui kembali anak perempuannya yang hilang. Watak Lek yang penuh dengan sifat keibuan dijelmakan oleh pengarang dengan baik sekali. Buku ini disifatkan oleh Dr Lain Corness dengan katanya; "Mango Rains reads like the finest fiction but is tragically true. This is not ordinary books, it's a story of degradation,human trafficking and lost opportunity." Pada asalnya saya merasakan bait-bait tersebut hanya untuk melariskan jualan buku tersebut. Namun semakin jauh saya meneroka lembaran penceritaannya, saya semakin membenarkan apa yang dikomentarkan oleh Dr Lain Corness itu. Watak dan penceritaan dalam buku tersebut mengingatkan saya kepada insan yang pernah saya kenali berpuluh tahun yang lalu.

Sekitar tahun 2007 dalam perjalanan ke suatu destinasi, saya singgah disebuh Masjid. Pada awalnya saya tidak bercadang untuk singgah lama di situ, sekadar untuk menunaikan Hajat dan menunaikan solah Dhuha sahaja. Ketika saya masuk keperkarangan masjid, saya terlihat seorang ibu tua sedang membetul-betulkan beberapa keping kotak kertas dilantai simen yang berdebu di antara bangunan stor tempat penyimpanan keranda dan Bilik Air Masjid. Ketika saya melewatinya, Ibu itu tersenyum hambar. Kain tudung lusuh membalut kepalanya. Baju kurung dan kain sarung berbunga pepulut kelabu kelihatan agak kotor terutama dibahagian belakangnya. Segumpal bag plastik kekuningan terperosok ditepi dinding, dihujung kepingan kertas2 kotak tadi. Saya kira bag plastik itu tentunya mengandungi pakaian-pakaiannya. Ketika mata kami bertembung, segaris senyum terukir dibibirnya, tetapi jauh dalam suluhan matanya semacam bertakung segunung kesedihan yang tidak dapat saya pastikan dalam sedetik itu.

Saya terus ketempat berwudhu selepas menunaikan hajat dan seterusnya mendirikan solah dhuha di dalam masjid yang sepi itu. Ketika saya bertahayyat, sayup-sayup terdengar suara ibu tua itu mendendangkan selawat. Kesepian suasana menjadikan suara lemah itu agak jelas menerjah pendengaran saya. Ketika saya berdoa dengan doa Dhuha dan Waqiah, suara tua itu masih bersenandung dengan pujiannya terhadap Rasulullah saw. Entah mengapa..alunan selawat itu semakin enak didengar. Walhal telah banyak kali saya mendengar alunan selawat dari suara-suara yang lebih merdu dan alunan irama yang lebih lembut..namun kini tidak sama dengan alunan selawat dari ibu tua itu walaupun dengan suara yang terketar2. Alunan selawat itu mirip selawat seorang ibu yang sedang mendodoi anak kesayangannya agar segera tidur. Agar anak kesayangan tidur dengan nyenyak. Dodoi seorang Ibu yang merasa sangat puas jika anak kesayangannya dapat tidur dengan selesa. Dodoi ibu yang seluruh hati dan jiwanya telah tertumpah sepenuhnya kepada anak yang dicintai. Dodoi itu bagaikan dodoi ibu saya dizaman kecil saya. Masih terdengar rasanya dodoi ibu dengan irama selawat dan syair siti Zubaidah, isteri kepada Harun ar-Rasyid.

Setelah selesai berdoa, hati saya sangat ingin mengenali ibu tua itu. Berputik rasa ingin berkongsi apa yang sedang dirasainya. Kerana saya percaya, alunan selawat yang dibaitkan oleh bibir tua itu tentunya adalah tumpahan dari takungan derita yang sekian lama bertakung dalam jiwa dan hatinya. Saya percaya, ibu tua itu bukan sebagaimana pengemis-pengemis lain yang menumpang berteduh di mana-mana rumah Allah.

Ketika saya menghampirinya, Ibu tua itu sedang asyik membelek-belek baju dalam plastik kekuningan tadi. Sambil itu mulutnya berselawat halus. Assalamualaikum...saya memberi salam kepadanya. Dia agak terkejut, tapi salam saya dibalas dengan sempurna. Dia menghensut ketepi, semacam memberi peluang untuk saya bersimpuh diatas kepingan kotak kertas yang dibentang nya tadi. Untuk tidak mengecewakannya saya labuhkan punggung di atas bendul longkang yang dilapis kotak usang tadi. Pada mulanya saya tidak tergamak untuk duduk di atas kota yang agak kotor itu. Tapi segera hati kecil saya menegur keegoan yang mula mengambil tempatnya. Lalu segera saya labuhkan punggung diatas kertas kotak itu sambil mengutuk diri saya sendiri. "Wea" tidur sini ke?..tanya saya kepadanya. ( Wea adalah gelaran hormat masyarakat Kelantan kepada nenek tua. Sebutan Wea sama dengan bunyi sebutan Mak We. Tapi sebutan Wea kelantan lebih kepada bunyi "o"). "Emmmm" sini lah, tumpang rumah Tuhan senang, takde orang nak marah"..jawab beliau agak panjang. Saya hanya senyum...

______________________________

Sambung siri 2...

1 comment:

Unknown said...

salam,ustaz.bila nak sambung siri 2?tak sabar nak tahu kesudahan cerita ibu tua tu. -pengunjung setia blog ustaz-