14 September 2010

Teruskan Perjuangan Ramadhan sepanjang hayat


Alhamdulillah saya selamat sampai ke KLIA jam 11.35 pagi dari Jeddah dengan penerbangan MAS. Sampai kat rumah di Kuantan jam 5.30 petang. hampir 3 jam tersangkut katKLIA kerana bagasi lambat keluar. Maka terpaksalah kami semua menunggu. Menurut kakitangan KLIA yang ada dua tiga orang kat situ..kelewatan bagasi di punggah dari pesawat ke terminal adalah disebabkan kelewatan Flight berlepas dari Jedaah. Jadi bukannya salah pengurusan di KLIA tapi silap pengurusan di Jeddah. Saya senyum sorang2..bila mendengar alasan yang sedikit cacat itu. Sebabnya dah banyak kali saya berulang alik dengan flight ke berbagai distinasi. Acap kali juga flight yang di tumpangi itu delay, tapi tidak pula pemunggahan bagasi dari pesawat tertunda sampai berjam-jam. Saya pandang dan renung muka pegawai yang beri alasan itu..dia nampak serba salah. Last sekali dia beritahu yang pintu kargo penyimpanan barang di dalam perut pesawat terkunci dan terpaksa dibuka secara manual. Selagi saya senyum sendiri..sah dah yang alasan pertama tadi memang bohong kerana nak melepaskan kelemahan pengurusan mereka.


Sampai dirumah, saya arahkan isteri dan anak-anak segera bersiap sebab kami akan balik berhari raya di rumah mak saya di Madrasah An-Najjah Bukit Keledang. Tepat jam 12.30 malam kami pun bertolak dalam deruan hujan yang agak lebat. Sampai di Kg Bukit Keledang jarum jam dah pun menunjukkan angka 4.30 pagi. Namun Alhamdulillah sempat lah beraya dengan ibu yang tercinta. Lepas solah Subuh saya cium tangan Ibu..kepadanya saya mohon kemaafan dan keredhaan. Segera terbayang diruang ingatan kesah semasa dulu...

Pagi-pagi lagi ibu akan sediakan sarapan awal Hari Raya untuk keluarga. Kemudian ibu akan pakaikan pakaian baru yag dilipat rapi didalam almari ( sebenarnya pakaian itu telah dilipat berulang kali, kerana telah saya cuba dan bergaya dengannya berulang kali). Ibu kelihatan puas bila melihat saya gembira dengan pakaian baru itu. Jiran kami hanya 4 keluarga ( kerana ketika itu kami menentap di seberang sungai Pahang yang hanya ada 4 keluarga termasuk kami). Lebih mengembirakan saya bila ayah berikan duit raya 10 sen, ibu pulak 10 sen. Kemudian saya dan kakak serta abang2 akan kerumah Abang ayah ( kami panggil beliau Pak Da). Di rumah Pak Da ada Kak Pah ( sepupu kami yang sebaya dengan kakak) dan Su ( adik Kak Pah yang setahun lebih tua dari saya). Mereka lah sepupu dan rakan yang kami ada. Selebihnya adalah rimbunan rimba yang sejuk dan sesekali terusik dengan kehadiran kera-kera dan monyet yang mencari pucuk-pucuk muda untuk dikunyah.

Dengan pakaian Hari Raya itu kami semua turun ke tebing sungai dan dengan dua tiga buah perahu kami berkayuh ke Masjid Kg Kuala Triang yang berada dipinggir sungai diseberang. Masjid tua yang berhampiran kubur itu dikunjungi ramai orang. Dalam usia 3 dan 4 tahun itu, tidak bayak yang saya faham mengapa perlu solah hari raya baru boleh beraya. Ketika menunggu ayah, abang dan orang-orang diwasa lain menunaikan solah, saya akan berada disatu sudut terpencil dan memerhati kanak-kanak lain yang riuh rendah berlari dan bermain mercun dihalaman masjid. Sesekali keluar seorang ( kemudiannya saya kenali beliau denga gelaran Pakwa Napi) "menjerkah" kanak-kanak tadi. Tapi bila orang tua tersebut masuk semula kedalam, kanak-kanak tadi kembali riuh. Saya masih sendiri..sepupu saya tadi ( Su) tentunya berada di sebelah jamaah perempuan.

Selesai solah Aidilfitri..ayah dan Pakda akan bawa kami ( saya, kakak, Kak Pah, Su dan abang2 saya) berhari raya dirumah kawan-kawan ayah dan Pak Da. Walaupun Ayah dan Pakda adalah orang luar yang berhijrah di Kampung tersebut, namun mereka agak dikenali ramai. Kerana sebahagian besar penduduk diwasa kampung itu pernah belajar agama dengan Bapa Saudara ayah dan Pakda, yang kami panggil "Tok Ayah". Tok Ayah telah sampai ke kampung tersebut bertahun-tahun lebih dahulu dari Ayah dan Pakda. Bahkan tokayah telah berkahwin dengan seorang gadis dikampung tersebut. Kira-kiranya kami pun ada saudara mara juga lah dirantau orang. Bisanya ayah akan bawa kami ke rumah Tok Empat ( ketua kampung. Kemudiannya ketua kampung ini jadi Bapa Mertua kepada abang saya yang sulong), selepas itu kerumah Pakwe Hud, Pak Ngah Ali, Pak Itam Yasin, Pak Lebai Said ( beliau berasal dari Pattani dan berkahwin dengan anak tempatan), Pakwe Wahab, Pak We Aziz, Tok Ki Yet ( beliau kemudiannya jadi Ayah Tiri saya -selepas pemergian ayah), Pak Ngah Ali ( Menantu Tok Ki Yet), Pak We Seman ( kemudiannya beliau jadi Bapa Mertua kakak) dan sehinggalah sampai ke kampung Paya Panjang yang sebahagaian besarnya dihuni oleh orang-orang Kelantan.

Bila telah petang baru kami baliksemula keseberang. Sambil duduk disamping Ibu saya akan mengira semula duit-duit raya yang kami kumpul. Biasanya saya akan bertanding dengan SU, siapa yang paling banyak duit. Paling banyak pun, kami hanya dapat kumpul antara 1.50 sen atau 2 ringgit. Ibu akan simpan duit tersebut dalam tin yang diletakkan dalam almari..

Sebak hati saya mengenangkan itu semua..kini ibu telah uzur benar. Telah banyak rentetan hidup saya yang sentiasa dipandu ibu. Ibu tidak pernah melepaskan tangnnya dari memimpin dan membimbing saya. Setidak-tidaknya "doa ibu" sentiasa menemani saya. Ya Allah rahmati dan kasihi lah kedua Ibu-Bapa ku.


(Catatan 4 Syawal) 2010

No comments: