14 June 2010

Kembali ke Pengkalan Part 2


Wajah bulan june mula menjenggah. Sudah agak lama saya tidak up-date blog ini. Walaupun laptop kecil ini saya bawa setiap kali keluar negara dan saya boleh mencapai wi-fi dibanyak tempat yang saya lawati...namun peluang dan kesempatan, tetap menjadi masaalah utama saya.


Mengapa saya menyentuh mengenai bulan june?..sebenarnya ada sebabnya. Selain daripada june adalah bulan tarikh lahir zaujah saya, june juga mengingatkan saya tentang date-line yang saya janjikan kepada teman-teman dan sahabat-sahabat. Awal januari 2010 yang lalu, saya memaklumkan kepada mereka bahawa saya mohon kelonggaran dan "pengertian" daripada teman-teman dimana-mana tempat saya berkuliah, bahawa saya terpaksa membahagikan masa kepada program ekonomi An-Nuur, disamping jadual yang sedia ada, iaitu jadual parti, jadual sekolah dan jadual kuliah umumi.

Saya sebutkan bahawa saya memerlukan kelonggaran sehingga berakhirnya bulan june 2010. Dalam tempoh itu, jika berkesempatan pasti saya penuhi jadual kuliah yang sedia ada. Tetapi jika terpaksa, saya mohon ditangguhnkan dan saya mohon difahami. Alhamdulillah sebahagian besar teman-teman mengerti situasi saya. Walaupun ada juga teman yang mengkritik, namun saya maafkan mereka kerana saya "mengerti" sejauhmana pengertian mereka terhadap kerumitan yang saya hadapi.

Sungguhpun teman-teman mengerti situasi saya namun hati saya tetap disaluti rasa bersalah. Ingin rasanya memutar jam agar tempoh enam bulan itu berlalu sepantasnya. Saya ingin segera kembali menjadi "penunggu" kepada pondok saya. Saya ingin segera kembali "menemani" pelajar-pelajar dan tenaga-tenaga pengajar saya. Saya ingin segera kembali membuka kitab-kitab dimasjid-masjid, surau-surau dengan didampingi pecinta ilmu. Saya ingin segera kembali menunaikan amanah parti dan saya ingin segera kembali menulis seperti sebelumnya.

Tapi apakan upaya saya. Mengendalikan sebuah pusat pendidikan tanpa bantuan kerajaan hanya dapat dimengerti oleh mereka yang pernah dan sedang terlibat dengannya.Puluhan ribu diperlukan setiap bulan. Sedangkan yuran yang diterima hanya cukup untuk makan pelajar dan sedikit elaun untuk tenaga-tenaga pengajar serta beberapa urusan pentadbiran. Manakala separuh lagi elaun guru, bill letrik, pembelian bahan-bahan binaan serta upah enam orang tukang yang bekerja 6 hari dalam seminggu terpaksa ditampung oleh sumber lain. Justeru "sumber lain" itulah yang terpaksa saya terokai dan menekuninya dalam tempoh enam bulan itu.

Alhamdulillah dengan "pertolongan Allah" jua, banyak urusan menjadi mudah dan telah pun berjaya diasaskan. Sekurang-kurangnya, jika Allah menjemput saya kembali kepadaNya pada bila-bila masa, An-Nuur telah mempunyai asas ekonomi yang boleh digerakkan oleh pengurus-pengurus yang telah dilantik. Mungkin saya tidak sempat melahirkan ramai pejuang, namun saya mahu An-Nuur akan terus bernafas selanjut mungkin dan kalauboleh selamanya, untuk melahirkan para pejuang selepas saya.

Alhamdulillah Pondok An-Nuur Travel & Tours Sdn Bhd telah mempunyai pejabat dan Dewan kursusnya sendiri. An-Nuur Mart & Halal Foods mula mampu melangkah setapak demi setapak dengan memperkenalkan produknya sendiri dan memiliki sebuah Van sebagai gerai bergerak. An-Nuur Digital & Publication mampu terus memasarkan buku-buku disamping mula memiliki peralatan rakaman dan salinan CD ( Burner). Disamping itu An-Nuur Technologies dan An-Nuur Agro terus menapak bersama An-Nuur Textailes yang semakin mendapat sambutan.

Insyallah sekembalinya saya daripada Umrah ( 16 June) dan Jelajah bumi Ambia' penghujung june nanti, saya sudah mula boleh bertapa di An-Nuur. Sebenarnya kalaulah bukan kerana terpaksa "berniaga" bukanlah minat utama saya. Minat saya yang sebenar ialah "bersendiri-membaca dan menulis". Saya juga turut merasakan sangat rugi jika semakin menuju penghujung usia, tiba-tiba saya semakin sibuk dengan urusan berniaga. Sepatutnya saya semakin sibuk dengan dakwah. Namun oleh desakan yang telah saya nyatakan, maka terpaksalah saya memohon pengertian teman-teman. Saya pernah menjadi buruh binaan di Singapore. Saya pernah mengambil upah membanting padi di Pasir Mas Salor. Saya pernah mengambil upah mencabut anak getah di Air Lanas Kelantan. Saya pernah mengambil upah memetik koko di Kota Gelanggi 4 Jerantut. Saya pernah kerja kontrak ladang sawit di Kemayan Pahang. Saya pernah menoreh getah beberapa lama dan pernah membantu orang berniaga di Pasar Tani..semuanya semata-mata untuk mencari perbelanjaan untuk belajar dan membeli kitab. Maka masakan setelah segala kepayahan itu saya lalui untuk mendapat sedikit ilmu, lalu tiba-tiba saya memilih jalan kehidupan yang lain.Mohon perlindungan dari Allah yang Maha Pengasih.

Ibnu Atho berpesan; Dimana tempat yang kamu rasa tenang dan damai dengannya, maka itulah urusan yang Allah pilih untuk mu. Alangkah indahnya berada ditempat yang Allah pilih. Jiwa tenang dan hati tenteram dengannya.
Insyallah esok ( 16 June) saya akan bertolak ke Jeddah. Lima atau Enam hari di Makkah, saya akan berlepas pula ke Damsyik untuk program jelajah bumi Ambia'...mudah-mudahan dikedua-dua kota suci dan bersejarah itu saya dapat mengenal erti sebuah persahabatan dan perjuangan.
___________________________________________
Keterangan Gambar:
1. Gambar 1 Kanan: Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat 2010.
2. Gambar 2 Kiri: Bersama YB Che Lah ( Exco ) dan teman lama Ustaz Wan Ismail di Sutera Inn KB
3. Gambar 3 Kanan: Pintu masuk Kem Tahanan Kemunting..sambil2 lalu kat kemunting.
4. Gambar 4 kiri: Gerai An-Nuur Mart & Halal Foods di Muktamar 2010.
5. Gambar 5 Kanan: Bersama Pelajar2 Malaysia di Perth Australia.Usrah di rumah DR Aman.
6. Gambar 6 kiri: Bersama DR Aman di Caversham Park South Perth Australia.
7. Gambar 7 kanan: Van..gerai bergerak An-Nuur Mart & Halal Foods.
8. Gambar 8 kiri: Poster kopi NuurCafe..tu gambar anak2 saya.
9.Gambar 9 Kanan: Indahnya ciptaan Allah di Fremantle Australia.

1 comment:

iera umairah said...

... semoga ustaz sudi menelefon jabatan agama islam pahang (JAIP)untuk pegesahan halal atau tidak penapis air (BIOAURA) yg di wakaf kan di tmpt muslimin di pondok itu,kerana drpd apa yg sy tahu produk itu diasaskan drpd tulang haiwan.semoga ustaz ambil berat tentang perkara ini.BERSAMA MENJAGA PEMAKANAN@MINUMAN PELAJAR2 ANNUUR..