08 April 2010

Secangkir Kopi selaut kebajikan.


Sudah lapan (8) hari saya kembali dari menjadi tetamu Allah di Haramain. Alhamdulillah perjalanan kami selamat pergi dan balik. Semua urusan dipermudahkan oleh Allah, samaada urusan Visa, seat penerbangan mahupun urusan penginapan ( hotel) dan kenderaan di Madinah dan Makkah. Kali ini peserta Umrah yang menyertai An-Nuur Travel & Tours hanya seramai 77 orang sahaja. Walaupun jumlahnya tidak seramai jamaah yang menyertai syarikat-syarikat Travel yang sudah establish dan berpengalaman, namun saya selaku pengurus An-Nuur Travel & Tours merasa puas kerana sedikit sebanyak Syarikat kami dapat memberikan servis yang memuaskan hati para peserta. Sekurang-kurangnya kami dapat menimba pengalaman dan dapat memperbaiki mutu perkhidmatan kami.

Ramai jugak sahabat-sahabat yang mencadangkan saya menawarkan harga yang lebih rendah berbanding syarikat-syarikat yang sedia ada, untuk menarik penyertaan yang ramai. Ada pula yang mencadangkan saya meletakkan harga pakej yang lebih tinggi agar An-Nuur Travel memperolehi lebihan yang lebih tinggi. Kedua-dua pandangan itu saya abaikan. Kerana ketika saya mengasaskan Syarikat ini saya telah tetapkan beberapa perinsip.



Yang pertama: An-Nuur Travel tidak akan meletakkan harga yang boleh mengugat perniagaan orang lain. Persaingan sihat adalah keutamaan kami. Disamping itu An-Nuur Travel lebih memberikan tumpuan kepada "perkhidmatan" berbanding harga.

Yang kedua: Penyertaan dalam jumlah yang sederhana pada permulaan program ini, memberikan An-Nuur Travel peluang untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dari masa kesemasa.

Yang ketiga: An-Nuur Travel tidak akan meletakkan harga yang melepasi had kemampuan umum masyarakat Islam di Malaysia. Kerana "Profit" bukan keutamaan yang pertama dalam penubuhan An-Nuur Travel. Bagi kami jika ada sedikit lebihan sudah cukup memada bagi kami. Lebihan tersebut adalah untuk pembiayaan penambahbaikan perkhidmatan, keuntungan syarikat dan Untuk Allah dan Rasul ( tabungan pembangunan An-Nuur dan Dewan Ulama Negeri Pahang).
Dalam program Mac lalu, Alhamdulillah kami dapat menunaikan umrah dan ibadah dengan selesa. Awal-awal lagi saya telah sebutkan dalam iklan kami bahawa kami tidak menjanjikan kemewahan dengan pakej umrah ini, tetapi kami berusaha menjadikan ibadah umrah para peserta selesa dan diberkati Allah. Di samping itu sempat juga kami mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar melayu di Ajyad Suth. Dalam kesempatan yang sama, saya telah dipertemukan dengan sahabat lama saya Ust Razali Senik ( kebetulan nama ayah kami sama). Beliau mula-mula melanjutkan pengajian di Makkah pada tahun 1988, kemudiannya berkeluarga dan menetap di Makkah hingga kehari ini. Saya sempat mengadakan perbincangan dengan beliau mengenai program Umrah anjuran An-Nuur Travel & Tours. Alhamdulillah beliau sanggup menjadi wakil An-Nuur Travel di Makkah dan Madinah bagi urusan khidmat dan bimbingan jamaah umrah. Ini bermakna program selepas ini wakil syarikat An-Nuur Travel hanya menghantar jamaah hingga ke Jeddah sahaja. Urusan kebajikan peserta akan diuruskan oleh Ustaz Razali selanjutnya. Saya bersyukur kepada Allah kerana mempermudahkan urusan kami.

Beberapa hari berada di Pondok An-Nuur ( sebelum berangkat semula ke Jeddah untuk program umrah siri April pada 11 April nanti) saya sempat mengisi program kuliah di Kota Damansara,urusan An-Nuur Textiles di Taiping, Kuliah di Masjid Balok, Kuliah Dhuha di Alfatah, Kuliah bulanan di Kemaman dan program Motivasi DUN di Bukit Kuang Kemaman disamping dua siri kursus Umrah di Kuantan dan Sungai Buluh. Manakala pelancaran kopi produk An-Nuur, "NuurCafe" akan dilancarkan peringkat daerah kuantan pada hari esok ( jumaat) di Masjid Al-Fatah. Pelancaran berikutnya ialah di Kota Damansara dan Masjid Lapangan Terbang Subang. An-Nuur Mart & Halal Foods dipertanggungjawabkan untuk menyusun perancangan pemasarannya dengan selogan "Secangkir Kopi selaut Kebajikan".


Saya bersyukur kepada Allah..tanpa modal yang besar dan tanpa pengalaman berniaga An-Nuur Tijaary mampu mengorak langkah selangkah demi selangkah membangunkan perniagaannya. Modal An-Nuur Tijaary yang utama ialah "niat" dan "doa" kepada Allah. Niat nya ialah membangunkan usaha yang halal bagi menampung aktiviti pendidikan Agama Allah. Doanya ialah memohon kebersamaan Allah dalam usaha ini, dan biarlah Allah jadikan kurniaan "dunia" ini hanya berada di tangan dan jangan beraja di hati.

Insyallah musafir saya ke Makkah pada Ahad nanti hanya mengambil masa tujuh hari sahaja, kerana selanjutnya saya akan terus ke Yaman, menziarahi bumi Yaman dan bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di sana. Ziarah ini juga sebagai penerokaan sebelum program "jelajah bumi Ambia'" yang akan dianjurkan oleh An-Nuur Travel & Tours pada Mei nanti.
Walaupun baru pulang dari Makkah beberapa hari yang lalu, namun perasaan rindu kepada kedua tanah haram itu kembali berputik ditangkai hati, sehingga tidak sabar rasanya untuk kembali menyapa Baitullah beberapa hari lagi. Tidur dan bermalam di lembah Bakkah dihadapan BaituLlah tetap menjadi kemanisan yang tidak terungkapkan.
______________________________________________

keterangan gambar:
Gambar 1. Kopi NuurCafe yang dipasarkan oleh An-Nuur Mart & Halal Foods
Gambar 2 ( kiri): Anak saya ( Umar Abdul Aziz) bersama Ayahanda Idris Omar di Masjid Quba'.
Gambar 3 (kiri ): YDP Pas Kemaman ( Ismail Harun-Abg Wei ) bersama wakil An-Nuur Travel Utara, Ust Fauzi Penerangan Dewan Ulama Pas Kedah, di Airport Karachi.
Gambar 4 ( Kanan): Saya bersama sahabat dari Taman Melati Gombak, di dewan lobby hotel " Asyraqul Ausath".
Gambar 5 ( Kanan): Wajah Ceria wakil An-Nuur Travel ( Subang),Ust Abdul Razak, Bilal Masjid Lapangan Terbang Subang.

1 comment:

ANM said...

Assalamualaikum

Saya salah seorang dari 77 peserta umrah 17 mac lalu. Memang manis pengalaman di sana. Sampai sekarang masih terasa sayu dan sebak melihat gambar2 Baitullah yang disnap ketika di sana. Sangat teringin nak kembali ke sana.

Beruntung ustaz dan staf An Nuur Travel and Tours dapat ke sana lagi 11 April ni. Perkhidmatan yang diberikan An Nuur Travel memang memuaskan. All the best for An Nuur Tijaary.