17 March 2010

Bila waktu mengejar Usia..

Sudah hampir setengah bulan saya tidak berkesempatan untuk up-date blog ini. Banyak isu panas yang melanda negara tidak sempat diikutsertakan didalam blog ini. Kadang-kadang saya lebih seronok membaca apa yang ditulis dan diulas oleh bloger lain, kerana dengan cara itu kita dapat membaca dan melihat banyak pandangan daripada banyak sudut dan ruang. Cumanya apabila terbaca pandangan-pandangan yang tergelincir dari batasan syara' atau dilontar secara tidak beradab ( biadab), terasa jugak untuk ikut serta melakar pandangan sendiri. Bukan kerana terasa diri ini lebih betul, namun sekadar menyedarkan sahabat yang terlanjur.

8. Mac yang lalu saya diberi penghormatan merasmikan mesyuarat Agung Pas cawangan Bandar Jengka, Jengka Pusat. Kebetulan malam itu Dato Tuan Ibrahim selaku YDP Kawasan Kuala Krau ikut serta. Dalam ucapan itu sekali lagi saya ulangi apa yang saya tuliskan didalam blog ini sebelum ini. Saya sentuh kembali beberapa kegelinciran sebahagian kita daripada takungan adab berjamaah dan beragama yang sepatutnya kita jaga dan pelihara. Ucapan itu saya rujukkan kepada peristiwa beberapa orang pimpinan dan bekas pimpinan yang tidak puas hati dengan keputusan yang diputuskan oleh "badan displin Pas Pusat yang dipengerusikan oleh Dato' Tuan. Saya menegaskan soal adab, bukan kerana berpihak secara membuta tuli kepada PJ Pahang itu. Namun kerana dukacita melihat nilai-nilai berjamaah dan wala makin ketara terhakis didalam jamaah. Justeru saya sudah banyak kali menulis tentang adab dan wala' bahkan bertahun sebelum kes Dr Hassan dan Yb Khalid dibawa ke Badan Displin Pas Pusat.

Malam itu saya terus bertolak ke Kedah untuk menziarahi keluarga Allahyarham Ustaz Bakri. Beliau adalah sahabat saya ketika di Pondok Pasir Tumboh, sekitar awal tahun 80an. Kemudian setelah bertahun tidak bertemu, tiba-tiba beliau menghubungi saya disuatu pagi, menyatakan beliau akan datang ke Pondok saya untuk menitipkan seorang sahabat beliau yang baru memeluk Islam. Kemudian pemuda tersebut tinggal di Pondok saya beberapa lama sebelum berpindah ke Kelantan. Sejak itu saya tidak bertemu dengan Ustaz Bakri, hinggalah sebulan lepas saya menerima panggilan mengatakan Ustaz Bakri kemalangan bersama isterinya. Isteri beliau meninggal ditempat kejadian, manakala beliau mengalami kecederaan teruk saraf tunjang. Sesekali beliau sedar, sekadar untuk bertanyakan isteri dan anak-anaknya. Mengakhiri komanya Ustaz Bakri menghembuskan nafas terakhir pada 5. mac. Kerana diburu waktu yang sangat mendesak maka niat menziarahi pusara dan keluarga beliau tertunda sehinggalah beberapa hari selepas itu.Alfatihah. Suatu perkara yang sangat mengingatkan saya kepada Ustaz Bakri ialah "neneknya". Waktu itu saya mengikuti Allahyarham Ustaz Shukri ( kesahnya telah saya tuliskan didalam blog ini) bercuti di Kedah. Antara aktiviti kami pelajar-pelajar Pasir Tumboh bila bercuti ialah menziarahi teman-teman sepengajian sambil berusrah secara bergerak. Antara rumah yang kami ziarahi ialah rumah Ustaz Bakri. Beliau tinggal bersama Neneknya disebuah rumah yang sangat usang di Kampung Kubang Teduh.

Kedantangan kami disambut mesra oleh Nenek. Bersusah payah nenek menyediakan jamuan untuk kami. Selesai berusrah secara ringkas kami mohon untuk pulang. Sebelum menghantar kami menuruni tangga rumahnya, nenek berkata kepada saya; " ini cucu nenek, sambil menunjuk kearah saya, jadikalah Bakri ini adik beradik, dia sejak kecik tinggal dengan nenek..anak takde ibu bapa. Selepas itu nenek berkeras meminta saya menerima pemberianya duit RM 5"...Peristiwa ringkas itu segar dalam ingatan saya..lebih-lebih lagi saat menerima panggilan memberitahu Ustaz Bakri "sudah tiada". Bergenang airmata saya..segera menerpa sebuah pertanyaan dibenak saya..sudahkah saya tunaikan hasrat nenek disaat cucunya masih hidup. Saya tahu saya telah alpa dengan harapannya, lebih-lebih lagi saat terputusnya hubungan antara saya dan Ustaz Bakri. Justeru itu saya berjanji kepada diri saya disubuh sunyi itu, bahawa saya akan berbuat sesuatu untuk anak-anak aruah yang masih kecil. Saya mohon kekuatan dari Allah untuk menunaikan harapan nenek puluhan tahun lalu...saya mengaku saya lalai mengingati harapannya.
Peluang kembali dari Kedah telah saya manfaatkan untuk menziarahi Ustaz Jailani di Taiping. Beliau adalah Guru dan Bapa kepada kami, orang-orang Tahanan Kem Kemunting sekitar 2000-2003. Beliau adalah tenaga pengajar di Kem Tahanan Kemunting sejak pertengahan tahun 70an. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Sidek Noor, Abang Mad Sabu, Yb Mahfuz Omar dan ramai lagi tokoh pimpinan adalah anak-anak murid beliau termasuk lah saya dan teman-teman setahanan generasi 2000.
Oleh kerana ketika melewati Taiping waktu telah agak larut malam, maka saya mengajak sahabat saya (driver An-Nuur ) bermalam di Lagend Hotel berhampiran Masjid. Di belakang masjid itu terdapat sebuah taman perumahan yang dikenali dengan nama Kg Jambu. Di situlah Ustaz Jailani menginap bersama keluarganya.

Esoknya awal-awal pagi selepas sarapan kami langsung mengunjungi beliau. Ketibaan kami disambut oleh anak murid dan juga menantu Ustaz Jailani iaitu Ustaz Zaki. Ketika melangkah keruang tamunya segera saya merasa sedih. Ustaz Jailaniter lantar diatas katilnya tanapa mampu bercakap dengan jelas. Matanya berkisar jernih merenung saya. Mungkin sedang mengingati sesuatu. Tangannya saya genggam agar memori antara saya dan beliau segera diingatinya. Ketika dalam halakat ilmu di Kem, saya yang duduk paling dekat dengan Ustaz. Selesai kuliah beliau akan menghulurkan "harakah" kepada saya. Ustaz ditimpa penyakit saraf..ujar Makcik ( isteri Ustaz)..udah 7 bulan begitu..sambung beliau. Sekali lagi saya merasa bersalah. Mengapa baru kini saya tahu ustaz di timpa sakit.Rupanya dalam dunia yang megah dengan segala alat komunikasi ini masih banyak lompangnya jika komunikasi ukhuwwah tidak dipelihara. Saya cukup sedar; "apalah ertinya telefon mahal sentiasa dalam genggaman jika tiada nilai ukhuwwah yang terpahat dihati". "Kalau ada benih Ukhuwwah, manusia sanggup berjalan kaki sekadar untuk menziarahi saudaranya". Itulah dunia...
sekembali dari Taiping saya mula sibuk dengan kuliah dan menguruskan jamaah Umrah yang akan berangkat pada 13 mac dan 17. Mac. Alhamdulillah segala urusan berjalan dengan baik. Disamping itu sempat juga saya meninjau perkembangan pembinaan Asrama Tahfiz. Alhamdulillah bergerak agak cepat.Dalam sehari dua bersama keluarga sebelum berangkat ke Tanah Suci, dapat saya rasakan indahnya "hidup bersama keluarga dan anak-anak". Dalam sehari dua itu sempat juga saya melihat gigi anak bongsu saya sudah bertambah. Anak-anak lain kian membesar, kucing kami ( coco dan kiki) kian lebat bulunya dan sempat saya menatap wajah isteri yang kian mendaki usia tapi makin cantik...itulah kehidupan..seligat mana pun rodanya berpusing, namun manusia tetap akan kembali ditempat mana ia bermula.

________________________
Keterangan Gambar:
1. Masjid Kg Jambu dilihat dari Lagend Hotel
2. Menziarahi Al-Fadhil Ustaz Jailani yang diserang penyakit saraf.
3. Pembinaan Asrama Tahfiz An-Nuur.
4. Sedang menunggu kaunter Check-in di KLIA. Umrah 17Mac.2010
5. Coco yang semakin manja dan comel.

1 comment:

Unknown said...

salam ust, x puas rasanya coretan ust..benarlah sabda nabi yang mafhumnya lebih kurang : orang ingin dipanjangkan umurnya hendaklah merapatkan hubungan sesama Islam.
( walaupun umur kita x tahu bila hujungnya, yang penting keberkatan dalam umur kita )