08 November 2009

Arab Badwi kah kita?...


Alhamdulillah "Seminar Pemerkasaan Pas"berlangsung dengan baik dan boleh dikatakan berjaya mengakhiri rentetan kemelut yang melanda Pas sebelum ini. Saya secara peribadi melihat seminar itu sendiri telah menunjukkan "jiwa perkasa Pas". Jiwa hebat sebuah Parti terutamanya Presiden yang bersedia mendengar sebarang kritikan dari "orang luar" walaupun tanpa sebuah dalil yang dapat dibuktikan atas tuduhannya sebelum ini. Menjadi satu sejarah apabila sebuah Parti sanggup memberi ruang kepada "orang luar" mengkritik parti secara terbuka dalam sebuah seminar yang dibuka kepada umum termasuk wakil media. Seminar ini telah meletakkan Pas dipihak "menang" dan "orang yang menuduh" dipihak yang "kalah".

Kita berseminar bukan untuk mencari menang atau kalah. Tapi sekurang-kurangnya ahli Pas perlu ingat bahawa menuntut hujjah dan bukti dari sebuah "tuduhan" yang dilemparkan kepada kita bukan satu tindakan yang "primitif" seperti yang dinyatakan oleh Dr Abu Hassan, ketika membidas peserta seminar yang mendesak Aziz Bari datangkan bukti atas tuduhannya sebelum ini. Meminta "pihak yang menuduh" membawakan bukti atas tuduhannya adalah "ajaran Islam". Primitifkan kaedah Islam itu?. Adakah kerana kita hidup di "abad ke 21" maka kaedah Islam yang mengatakan; " Saksi atau Bukti atas orang yang mendakwa ( menuduh) dan Sumpah atas orang yang mengingkarinya ( tertuduh)" sudah tidak sesuai dengan "abad Informasi" ini?. Saya berterima kasih kepada Dr Abu Hassan kerana berusaha gigih membuat kajiselidik untuk Pas. Namun suka juga saya mengingatkan kita semua bahawa dimana era dan dekad sekalipun kita hidup, samaada abad ke 17 atau abad ke 21, Islam, asas-asas hukumnya dan adab-adabnya tetap raleven dan menjadi prinsip kehidupan.

Aziz Bari gagal membawakan bukti atas tuduhan terbukanya sebelum ini. Walaupun Dr Abu Hassan cuba mempertahankannya dengan hujjah bahawa tulisan Aziz Bari itu cuba satu "persepsi" yang kemudiannya terbentuk menjadi "informasi". Maka apakah kerana ia hanya sebuah "persepsi" maka kita tidak terikat dengan hukum Islam?..Jangan menghalalkan apa yang haram dengan hanya bersandarkan kepada hujjah "perubahan zaman dan era". Hukum tidak pernah berubah walau era apa sekalipun. Benarlah kata ulama; "Dihalalkan suatu yang haram setelah ditukar namanya". Riba dirasakan tidak haram kerana telah ditukar dengan nama Interest. "Tikam Judi" ditukar dengan nama "tikam toto". Lalu untuk menghalalkan "fitnah" ditukarkan ia dengan "persepsi". Persepsi masih dikira nutral jika ia hanya ada dalam tempurung kepala seseorang, tetapi apa apabila ia dilontarkan kepada khalayak ia telah berubah menjadi maklumat atau informasi atau pernyataan. Jika informasi itu benar ia adalah ilmu dan jika salah maka ia adalah "tuduhan". Prinsip pendakwaan dalam Islam menuntut "didatangkan bukti" atas mana-mana tuduhan. Firman Allah yang bermaksud: " Datangkan hujjah kamu jika kamu adalah orang yang benar". Tuntutan inilah yang gagal ditunaikan oleh Aziz Bari. Primitifkan peserta seminar yang mendesak Aziz Bari mengemukakan bukti terhadap tuduhan terbukannya ?.

Saya hadir keseminar tersebut dan mengambil tempat duduk dibahagian hadapan. Tujuannya agar saya tidak terlepas satu pun hujjah yang akan dilontarkan oleh Aziz Bari. Kerana beliau adalah seorang Ahli Akademik yang mahir dengan undang-undang perlembangaan. Saya tidak nafikan banyak "input" yang dapat dipungut dari ucapan beliau mahupun tulisan-tulisannya sebelum ini. Namun apa yang saya harapkan dari seorang sarjana yang galak menulis didada akhbar ternyata kecewa. Kecewa kerana ucapan beliau tidak setajam tulisannya. Semacam ada usaha melarikan diri dari apa yang beliau tulis terhadap presiden sebelum itu. Sampai ketahap itu, kadar kecewa saya masih rendah. Tetapi apabila beliau didesak agar membuktikan tuduhan yang beliau tulis, Aziz hanya menjawab; saya pun dapat maklumat dari beberapa orang dalam Pas yang memberitahu saya. Sampai kepada kalimah ini hati saya cukup sedih dan kecewa. Saya tidak kesah siapa yang melapurkan kepada Aziz. Siapa orang tersebut tidak penting. Kerana saya pun tidak setuju jika beliau didesak untuk menamakan siapa "pelapur" yang dikatakan oleh beliau itu. Kerana itu soal dalaman Pas yang tidak patut ditelanjangkan dikhalayak. Hal tersebut boleh diurus oleh Badan Displin Pas. Tetapi apa yang saya kesal ialah betapa seorang sarjana hebat boleh melontarkan tulisan ke Khalayak 26 juta rakyat Malaysia dari hanya "lapuran" beberapa orang. Bukankah Allah berfirman dalam surah Al-Hujrat ayat 6, maksudnya;

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq (membawa) berita, hendaklah kamu periksa kebenarannya. ( Takut) kalau-kalau kamu menzalimi satu kaum tanpa pengetahuan, lalu kelak kamu akan menyesal atas perbuatan kamu".

Para Ulama Mufassirin mengatakan, satu-satu berita itu dihukumkan fasiq jika;

1. Dibawa oleh orang yang tidak memiliki kepercayaan dan gugur sifat keadilan pada dirinya.

2. Berita yang dibawa tanpa dalil, saksi atau bukti.

Apabila diteliti apa yang dinyatakan oleh ulama' itu, ternyata tulisan Aziz Bari sebelum ini adalah tulisan yang mengandungi berita-berita fasiq. Berita tersebut hanya boleh disimpan dalam "kamus Dr Abu Hassan sebagai Persepsi" sahaja dan belum layak di "Informasikan kepada umum". Malangnya berita tersebut telah dibaca oleh jutaan pemerhati politik tanahair.

Saya percaya rata-rata Ahli Pas menghormati mana-mana keritikan daripada siapa pun. Sebelum ini pun Pas sudah biasa dikritik. Bahkan lebih pedas daripada kritikan Aziz Bari. Tetapi apabila Aziz Bari dalam siri-siri tulisannya secara konsisten menuduh Tuan Guru Presiden dan kemudian semacam melontarkan desakan agar Ahli Pas menghukum Presiden atas tuduhan itu, maka dengan kerana itulah saya rasa menyebabkan keadaan menjadi agak rimas. Tindakan Presiden "mengheret Aziz Bari" kemuka pengadilan umum Pas merupakan tindakan "tepat", supaya semua peserta seminar tahu "status" Informasi yang ditulis oleh Aziz sebelum itu. Sekarang kita semua sudah tahu bahawa berita yang ditulis oleh "sarjana" ini berstatus "Dhoif" jika dilihat dari displin ilmu hadis dan adab dalam Islam. Oleh itu tirai Seminar telah ditutup dengan satu kesimpulan bahawa kita berdiri teguh dibelakang pimpinan yang ada sekarang. Tidak lagi perlu ujud "kumpulan Dato' Seri Presiden" dan kumpulan "Aziz Bari".

Moral yang dapat kita pungut dari seminar tersebut pada pandangan saya ialah;

1. Jangan merombak wala' kepada pimpinan hanya kerana sebuah "informasi" Dhoif atau fasiq.

2.Ahli Pas perlu berlapang dada dengan apa-apa kritikan, tapi jangan sampai dada kita "ditikam".

3. Jangan diutamakan "pandangan pribadi individu" jika ianya bercanggah dengan keputusan mesyuarat.

4. Beradab dengan Pimpinan Jamaah. Memang benar Khalifah Abu Bakar dan Amirul Mukminin telah berlapang dada mendengar teguran kasar seorang Badwi. Kesah tersebut mengambarkan "kehebatan jiwa seorang pimpinan" supaya dicontohi oleh pimpinan gerakan Islam. Bukan mengajar kita sebagai ahli agar menjadi "Arab Badwi". Badwi kah kita?...

5. Jangan terheret dengan apa-apa ilmu atau kaedah yang menyebabkan kita terungkai dari kaedah-kaedah syara'.

6. Kita bukan hidup di "Abad Jahiliyyah" sehingga perlu meninggalkan Islam untuk menghalalkan apa yang haram kerana semata-mata mahu membina "persepsi".

Alhamdulillah..semua kita lega dengan berakhirnya seminar yang membuktikan "JIWA PERKASA" Pas itu.

2 comments:

Mr Mutan said...

Assalamu'alaikum.terima kasih Ust di atas pencerahan.

amdang81 said...

ustaz, terPASTE dua kali nih.. jadi panjang plak bacaannya. Apapun baca 2X menambahkan kefahaman. :)