01 November 2009

Perjalanan ke Seminar Siasah Syar'iyyah Dewan Ulama Pusat.

Saya bertolak dari Kota Bharu tepat jam 8 pagi ( jumaat 30.Oct) setelah Check-out di Kaunter Hotel Ansar, berhadapan dengan Bangunan Pas Kelantan. Ketika saya meninggalkan perkarangan hotel, petugas-petugas MPKBBRI telah selesai memasang Canopy dihadapan bangunan tersebut, sebagai persiapan majlis Ilmu yang akan disampaikan oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar pada jam 9 pagi nanti. Saya menjangkakan kehadiran ke majlis tersebut tentunya bertambah pagi ini, kerana sudah tentu mereka ingin mendengar sesuatu yang akan terkeluar dari Mulut Tok Guru yang mereka sayangi, mengenai mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat dua malam yang lepas. Saya pun jika tidak kerana mahu segera ke Alor Star, sudah tentu akan "menyelit" dicelah-celah mereka untuk bersama program ilmu tersebut.

Walaupun mesyuarat "Dewan Ulama Pas Pusat" dijadualkan akan bermula jam 8 malam, namun seperti kebiasaan apabila melakukan perjalanan kedestinasi yang terdapat ramai teman-teman lama, saya akan bertolak lebih awal. Ini adalah kerana saya akan cuba menziarahi seramai mungkin sahabat-sahabat yang terdapat dimana-mana sepanjang perjalanan itu. Ziarah dan diziarahi adalah "nikmat bersahabat". Nikmat yang lebih bermakna berbanding wang ringgit dan harta. Mengutip serpihan kenangan lama bersama, adalah sebuah kemanisan yang hanya dapat dimengerti oleh jiwa yang tahu erti persahabatan. Justeru itu, perjalanan saya kali ini disertai bersama oleh sahabat saya Ustaz Zaini Musthafa, mudir Sekolah Rendah Islam Pintar. Beliau adalah anak jati Pendang, tetapi telah menetap di Kelantan lebih 28 tahun.

Selesai bersarapan...kami meneruskan perjalanan. Sampai di Batu Gajah, Tanah Merah, saya meminta pemandu kami ( Pemandu An-Nuur) membeluk ke Madrasah Nurul Muttaqin di Kg Lepan Bola. Hasrat saya untuk bertemu Ustaz Tuan Mahmud, pengasas Pusat Pendidikan tersebut. Beliau adalah sahabat lama kami di Pasir Tumboh dan Makkah. Anak ketiga saya, Hasyimi Rafsanjani ( yang kini belajar di Surabaya) pernah belajar di Madrasah ini. Ketika kami sampai di perkampungan ini, kami diberitahu oleh pembantu beliau Ustaz Nuh, bahawa "Ayah Su" ( gelaran hormat) baru sahaja keluar. Disebabkan kami terpaksa berjimat masa, maka kami sekadar menitip "sebuah salam" untuk beliau, tanda kehadiran kami di Madrasah beliau.

Sebelum sampai di Pekan Grik, saya menghubungi Sdr Radhi, teman "setahanan" di Kemunting. Pesanan terakhir Radhi, sebelum perbualan kami tamat ialah "jangan makan dimana-mana dulu, nanti makan rumah ana". Mengingatkan pesanan dan "paksaan" Radhi, kami hanya minum-minum sahaja selepas solah Jumaat di Masjid Kg Kerunai.

Berada di Rumah baru Radhi yang baru siap sememangnya tidak menjemukan. Ini disebabkan beliau adalah seorang sahabat yang sangat menghormati teman dan tetamu. Saya dan keluarga sendiri sudah sangat kerap kali bermalam dan makan dirumah lama beliau di Kg Pahit ini. Hidangan tengah hari yang disulami dengan gurau senda Radhi, menjadikan kami agak lama berada dirumah beliau, sebelum meneruskan perjalanan.

Kami sampai di Alor Star jam 6 petang. Distinasi pertama kami ialah menziarahi keluarga "sahabat kami yang disayangi Allahyarham Ustaz Shukri Wahab" di Tanjung Bedil. Ketika memasuki lorong kerumah beliau, hati saya menjadi sebak. Gulungan kenangan lama kembali terhampar. Sebaris demi sebaris catatan persahabatan erat kami seolah-olah dideklimasikan semula. Dianjung rumah dua tingkat itulah tempat saya bermalam setiap kali datang berceramah di Kedah, dizaman bujang kami. Di bendang itulah, aruah mengajak saya melihat padi yang beliau tanam, sambil kami sama-sama mengait buah mempelam ditepi batas bendang. Di bangunan usang dua tingkat berhadapan rumah aruah inilah, saya diulit nyanyian nyaring suara anak-anak pasti. Hingga kini, lagu yang dialunkan mereka masih saya ingat.

Alhamdulillah, selepas 3 tahun aruah pergi menemui Khaliqnya, baru kini saya berkesempatan datang menziarahi keluarganya. Kehadiran kami disambut oleh anak kedua aruah, yang kini sedang belajar di Kolej Pertanian. Ibu aruah turut hadir dalam pertemuan kami petang itu. "Makcik dah uzur" kata beliau. Saya pun mendapati sudah banyak perubahan pada diri Makcik, Ibu aruah. Beliaulah dahulu, yang memasak untuk saya setiap kali saya bertamu beberapa hari dirumah beliau. Keadaan sekeliling rumah aruah tidak banyak bezanya dengan apa yang ada ketika aruah masih hidup. Aruah adalah seorang yang sangat bersederhana. Sebahagian besar masanya adalah untuk Pas kawasan Kuala Kedah dan Pas Kedah umumnya.

Sekeping gambar aruah di atas almari, membalut rasa pilu dihati saya. Sebelum pulang kami serahkan sebuah hamper dan sedikit duit buat keluarga beliau. Sesungguhnya nilai sebuah persahabatan tidak pernah dapat dibayar dengan dunia ini dan segala isinya. Al-Fatihah buat sahabat kami yang dirindui.

Selepas itu kami terus ke Kompleks Pas Kedah di Batu 9. Mesyuarat berlangsung mulai jam 8 malam hingga 1.40 pagi. Mesyuarat dimulai dengan taklimat mengenai kerajaan Kedah oleh YAB Dato' Azizan Abdul Razak. Selesai mesyuarat, kami terus ke rumah Sdr Subki, yang berkeras mahukan kami makan malam dirumah beliau. Ketika mesyuarat berjalan, beliau menghantar message kepada saya agar datang juga walau jam berapa pun selesai mesyuarat. Akhirnya kami sampai jugak dirumah beliau jam 2.15 pagi. Nasi berlaukkan ikan keli bakar cicah air asam, menjadikan makan malam ala bersahur itu sangat menyelerakan...

Kami meninggalkan rumah Subki jam 3.30 pagi. Distinasi berikutnya ialah bermalam di kampung Ustaz Zaini di Kg Tempoyak Pendang. Rumah beliau hanya didiami oleh Ibu beliau. Manakala Abang sulung beliau sudah berbelas tahun menetap diberunei. Abang kedua tinggal tidak jauh dari rumah ibu beliau. Manakala adik beliau pula bekerja di Langkawi. Bila menemui posisi yang sesuai, saya terus merebahkan badan dan seterusnya saya tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah masuk waktu subuh.

Selesai solah subuh, Ibu Ustaz Zaini menghidangkan kami nasi lemak berlauk ayam dan tea-o suam. Walaupun jarak antara makan malam kami dengan sarapan hanya diselangi oleh waktu sejam dua sahaja, namun kami tetap berselera bersarapan.Selesai sarapan kami ke Alor Star menjemput sahabat-sahabat saya dari Dewan Ulama Pas Pahang yang datang dengan Bas dari Temerloh. Ustaz Nafiri Naib Ketua Dewan Ulama Pas Pahang ditemani oleh Ustaz Jauhari ( Bendahari Dewan) dan Ustaz Osman ( Ajk), manakala Che Zuhal Che Harun, Ahli Jawatankuasa Dewan pula datang berasingan. Program seminar pada pagi itu diresmikan oleh YAB Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah. Dalam kesempatan sejam sebelum perasmian, saya mengambil kesempatan bertanya khabar teman-teman lama. Antara mereka ialah Ustaz Musthafa Saari ( Tim. Pesuruhjaya Pas Perak. Beliau adalah teman Study Group saya ketika di Pondok Pasir Tumboh), Ustaz Asfawani ( Beliau adalah in-mate saya ketika dalam tahanan Kemunting), Ustaz Zainal Abidin (Teman dalam Persatuan pelajar ketika di Karachi, dan kini tinggal di Balik Pulau Pulau Pinang) dan ramai lagi teman-teman lama.Alhamdulillah.

Jam 12 tengah hari saya berjanji dengan Abang Halim ( Beliau adalah warder Kem Tahanan Kemunting yang masih kekal bersahabat dengan kami hingga sekarang). Beliau baru sahaja ditukarkan dari Penjara Sungai Buloh. Abang Halim yang pilihkan lokasi dan kedai makan untuk kami. Kehadiran Ustaz Nik Rahman ( juga bekas tahanan kemunting, yang kini menyambung pengajian di Kolej Insaniah) serta sdr Subki menjadikan waktu makan tengah hari kami bertambah rancak dengan perbualan. Selesai makan, saya memohon diri kerana saya terpaksa terus balik ke Kota Bharu untuk menziarahi keluarga Saudara Azmi ( Ajk Himpunan Keluarga Lambury) yang baru kematian anak perempuan kedua beliau.
Malam itu kami terus ke Kota Bharu. Sepanjang perjalanan saya mengambil peluang untuk melelapkan mata. Kerana sudah tiga hari dan tiga malam saya hanya berkesempatan untuk tidur hanya sejam dua sahaja. Alhamdulillah jam 12 mlm kami sampai di KB dan saya mengambil keputusan untuk bermalam di Sutera inn dan akan menziarahi keluarga Sdr Azmi keesokan harinya Insyallah...
--------------------------------
Gambar:
1. Atas kiri: Bersama Ustaz Asfawani
2. Atas kanan: Sdr Subki
3. Bawah: Bersama Abang Halim di hadapan restoran Sri Pungpong.

No comments: