14 October 2009

Jawatan kosong!!..Ulama' Haraki dikehendaki...


4. Oct yang lalu, satu perjumpaan ulama'-ulama pelapis telah di adakan di Darul Amin Sungai Gau Temerloh. Program yang dianjurkan oleh Lajnah Jawatankuasa Ulama Pelapis, Dewan Ulama Pas Pahang ini telah dirasmikan oleh ketua Dewan Ulama Negeri, Ustaz Abu Kassim Manaf. Program yang julung-julung kali di adakan ini boleh disifatkan berjaya, apabila dihadiri oleh lebih 45 orang muda yang berpendidikan agama, lepasan dari berbagai institusi pengajian. Menurut ketua Lajnah, Ustaz Mohd Redha, sebahagian besarnya adalah lepasan Universiti Luar Negara.

Saya dan Ustaz Khairuddin At-Takiri ( Bendahari Dewan Ulama Pusat) telah diamanahkan untuk menyediakan kertas untuk perjumpaan ini. Beliau telah membentangkan tajuk "memperkasakan Ulama', sebagai lanjutan dan respon kepada Ucapan Dasar Presiden, Tuan Guru Haji Abdul Hadi. Manakala saya pula membentangkan kertas bertajuk "Ulama Pelapis, Harapan dan cabaran". Turut hadir dalam program pertama ini ialah Pengerusi Lajnah Ulama Pelapis Dewan Ulama Pusat, Ustaz Mutanazzar.

Saya sebenarnya cukup gembira apabila melihat kesungguhan anak-anak muda, khususnya mereka yang berpendidikan agama, bersedia memberikan komitmen mereka kepada Pas. Pas sebagai sebuah "gerakan Islam", sangat-sangat memerlukan tenaga, kebolehan dan pengaruh mereka untuk meneruskan dasar perjuangannya. Apabila Rasulullah saw wafat, tugas dakwah dan perjuangan telah diwariskan kepada pundak para Sahabat. Apabila para Sahabat meninggal dunia, bebanan perjuangan itu telah digalas pula oleh para Taabi'en. Apabila para Taabi'en meninggal,warisan perjuangan itu diamanahkan pula kepada Taabi'un Taabi'en. Seterusnya amanah kepimpinan dan perjuangan gerakan Islam itu di pindahkan pula kepada para Ulama dan mereka-mereka yang memiliki ilmu Islam dan dakwahnya. Ustaz Musthafa Mashyur mengatakan tidak ada orang yang paling layak menerajui perjuangan Islam ini kecuali mereka yang paling mirip dengan Rasulullah saw. Hal ini pernah disebut oleh Rasulullah saw, "Apabila diserahkan "amanah" kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kehancuran". Dari ulama' lah datangnya ilmu dan nasihat, manakala nasihat itu pula adalah "ruh" kepada agama.

Justeru itu saya sangat berbangga dengan kesedian mereka berkhidmat untuk "gerakan" ini. Pimpinan disemua peringkat perlu memberikan ruang,galakan dan dorongan kepada mereka untuk berperanan dalam jamaah. Kerana Pas yang bergerak semakin jauh ketengah gelombang perjuangan sangat memerlukan "generasi ulama yang kental" untuk mengnakhodainya. Ulama yang bukan hanya mahir dengan tafsir, hadis, usul fiqh, Balaghah dan ilmu-ilmu hujjah. Tetapi juga memiliki fikrah yang jelas dan memahami tabiat Pas sebagai "Gerakan Islam" yang mengambil pendekatan berpilihanraya. Disamping itu mereka juga perlu memiliki ruhani yang benar-benar taqarrub dengan Rabbnya.

Melihat kepada saranan Presiden dalam ucapan Dasarnya mengenai memperkasakan Ulama, Pas Negeri-negeri seharusnya serius menyusun agenda "pendidikan". Pendidikan adalah "tapak semaian", untuk melahirkan generasi ulama". Ulama' tidak akan lahir hanya melalui kuliah umum, khutbah dan ceramah umum. Pusat Tarbiyyah dan Perkadiran Pas perlu ada disetiap Negeri, (Tahniah kepada negeri yang telah ada Pusat pendidikannya sendiri) yang dikendalikan secara serius dan tersusun. Pusat yang dimaksudkan itu tidak perlu hebat dan gah ( cukuplah seadanya sahaja),tetapi yang penting mampu melahirkan produk yang berilmu dan bersedia mengisi perjuangan dalam jamaah Pas. Di pusat pendidikan ini mereka bukan sahaja di asuh menghafal Al-Quraan dan ilmu-ilmu agama, bahkan mereka juga dididik dengan ilmu-ilmu ruhani, Dakwah dan kecintaan kepada jihad. Saya tidak fikir jika masih ada pimpinan yang terlepas pandang dengan "program pendidikan", yang merupakan program yang begitu penting dalam agenda mana-mana gerakan Islam. Bahkan diwaktu peperangan, Allah masih mengingatkan para sahabat agar ada segolongan mereka yang menekuni ilmu agama, agar mereka faham dengan agamanya dan memberikan peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepada mereka.

Saya masih ingat ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika mengetuai Dewan Ulama Pas Pusat. Waktu itu beliau datang memberikan ucapan dalam "Tamrin Pas Pahang" yang diadakan di Balai Islam Darul Amin Sungai Gau. "Tuan-tuan...pagi ini kita berceramah, Alhamdulillah..mana-mana ceramah itu adalah ilmu. Kita boleh tahu ilmu-ilmu semasa dan perkembangan politik di negara kita. Tapi tuan-tuan..ceramah ini ibarat "goreng pisang"..Kita ni tak cukup dengan goreng pisang..kita perlu nasi, untuk kita benar-benar kenyang dan perut benar-benar kejap. Oleh itu...tuan-tuan yang mari dengar ceramah hari ni..perlu pulak balik, belajar pulak dimana-mana balaisah,surau baik, masjid baik atau mana-mana tempat orang menadah kitab, dengan cara tu kita akan lebih faham kehendak kertaskerja Tuhan, yang kita panggil Al-Quran dan kertas kerja Nabi yang kita panggil Hadis....".

"Program Muqaddimah" ulama Pelapis Pas Pahang yang dianjurkan oleh Lajnah Ulama Pelapis yang dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Redha itu diharapkan menjadi titik tolak untuk golongan Ulama disemua peringkat mengembelingkan tenaga demi perjuangan suci ini. Ulama' lah yang akan melahirkan ulama'. Jangan diharapkan "rama-rama itu lahir melalui kepongpong kupu-kupu".

Kepada semua ustaz-ustaz muda yang masih belum menyertai Lajnah Ulama Pelapis di mana-mana Negeri, sila segera menyertainya. Masih banyak jawatan kosong yang perlu di isi...

No comments: