11 October 2009

Ilmu Pemangkin kepada adab,idea dan segalanya..


Dalam melalui jadual harian yang agak padat, sempat saya meneroka beberapa blog teman-teman dan sahabat diserata dunia. Tulisan teman Bloger di Malaysia kebanyakannya berkisar berkaitan pilhanraya kecil di Bagan Pinang.Semua itu saya baca dengan penuh minat, kerana saya sendiri tidak berkesempatan untuk kesana. Cuma sekadar memberi bantuan dalam bentuk yang lain , dari hadir bersama teman-teman yang berkampung disana sejak selepas raya yang lalu. Dalam banyak-banyak laman yang saya jelajahi, saya agak tertarik dengan sebuah atikel yang menyebut "Ibrahim Ali lebih bijak"... Penulis menyorot berita mengenai desakan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan agar Ibrahim Ali melepaskan jawatan kerana ternyata "simulut celupar" itu sudah jelas tidak seiring dengan Pas. Penulis memberikan komen sebaiknya Tok Guru berdiam diri sahaja. Kerana kononnya jika Tok Guru terus membuat desakan, semacam mengembalikan ingatan umum yang kedudukan Ibrahim itu pun direstui oleh Tok Guru juga asalnya. Jadi penulis mahu menasihati Tok Guru agar jangan membuka pekung sendiri.

Yang kedua, penulis menyebut Ibrahim Ali lebih bijak dari semua orang Pas. Hujjahnya Ibrahim Ali berjaya menipu dan membohongi sikap sebenarnya dari pandangan pimpinan dan ahli-ahli Pas, termasuk semua pengundi Pas dalam kawasan Parlimen Pasir Mas. Selanjutnya Penulis mengemukakan semacam kesimpulan bahawa Pas tidak layak menerajui negara ini kerana pimpinannya mudah ditipu oleh musuh.

Beliau juga menyebut; "sesungguhnya pemimpin yang berpolitik menerusi Agama sangat beruntung, keberuntungan mereka adalah kerana, walaupun sudah melakukan kesalahan tetapi dengan memetik beberapa potong ayat Al-Qur'an dan Hadis, maka para penyokong akan mudah menerima penjelasan kenapa kesilapan itu perlu dimaafkan.Kalaulah kesilapan itu dilakukan oleh politikus biasa, kemunkinan besar tokoh tersebut terpaksa melepaskan jawatannya, sementelahan pula tokoh tersebut sudah lanjut usia serta sering diserang berbagai penyakit".

Dengan bahasa di atas, siapa pun dapat memahami maksud tersirat yang hendak diluahkan oleh penulis. Maksudnya Pas dan pimpinannya selama ini memperalatkan ayat-ayat Al-quraan untuk kepentingan parti, walaupun antara ayat dan perjuangan parti itu tidak sejajar dan sejalan.

Sebenarnya saya sangat kesal dengan tulisan ini. Pertama kerana kebenaran yang kononnya diperjuangankan oleh penulis tersebut tidak bertunjangkan kepada apa-apa nas selain akal dan pengamatan sendiri. Saya pasti penulisnya bukan seorang wartawan seperti Sdr Sayuti Omar yang tajam pengamatannya atau seorang politikus seperti mahfuz Omar yang petah berhujjah dan jauh sekali sebagai seorang ahli agama seperti Tuan Guru Nik Aziz yang sentiasa tenang dalam zikrullah. Pertama beliau menyebut Ibrahim Ali lebih
bijak. Apakah sebenarnya difinasi bijak pada perkiraan penulis?. Difinasi itu dirujuk kepada kamus "barat" atau kamus "islam" beserta takrifan para ulama"?. Atau sekadar dirujuk kepada perkataan "bijak" yang sering diguna oleh pertuturan orang kampung, yang sering menyebut; "pencuri yang mencuri malam tadi memang bijak, sebab tidak meninggalkan apa-apa kesan". Difinasi mana yang diguna pakai oleh penulis pun saya tidak pasti. Jika kepandaian Ibrahim Ali berlakon, menipu dan berpura-pura itu dianggap bijak, ternyata difinasi yang digunapakai oleh penulis adalah difinasi "orang kampung". Maka layakkah sebuah "kebenaran" di tegakkan diatas difinasi yang serapuh itu?. Bijak kah kerja-kerja menipu?.Bijak kah mengabaikan amanah dan kepercayaan?.


Penulis semacam merendahkan Tok Guru kerana mendesak Ibrahim Ali melepaskan jawatannya. Penulis menyarankan lebih baik Tok Guru berdiam diri daripada terus mendesak Ibrahim. Tahukah penulis bahawa Ibrahim Ali telah mencarik amanah. Ibrahim Ali diundi oleh pengundi Pasir Mas bukan kerana dia "Ibrahim Ali". Ini terbukti dalam pilihanraya kecil pengkalan Pasir, Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Bebas, tersungkur dibumi Pasir Mas dihadapan anak beranaknya. Ini bermakna amanah yang digalaskan atas bahu Ibrahim itu amanah Pas bukan amanah Ibrahim. Mencabul amanah adalah "kemungkaran". Ini bermakna Ibrahim menyandang sebuah jawatan yang mungkar dan haram. Lalu Tok Guru selaku Ulama, wajib menegur dan memperingatkan Ibrahim. Maka apakah penulis merasakan berdiam diri dari menegur sebuah kemungkaran itu lebih baik dari mencegahnya?. Hujjah agama apa yang dipakai oleh penulis?.

Seterusnya penulis semacam merendahkan pas dan Pimpinan, khususnya Tok Guru kerana mempercayai Ibrahim Ali dan mudah terpedaya dengan lakunannya. Justeru itu "bahaya" jika Pas menjadi Perdana Menteri. Inilah sifat "berlapang dada" yang ada kepada pimpinan Islam yang tidak ada kepada pimpinan Umno.Pas tidak pernah berdendam dengan siapa pun, apabila mereka telah kembali kepangkuan kebenaran. Berapa ramai pimpinan Semangat 46 dan PKR yang ketika berada dalam UMNO dahulu yang belasah Pas. Namun apabila mereka tersingkir dari UMNO dan datang kepada Pas dalam ikatan "tahalluf", Pas meraikan kehadiran mereka. Ini berbeza dengan UMNO. Apabila Tengku Ghazali Hamzah kembali kepada UMNO semula, apa layanan Mahathir kepada Tengku?.

Penulis pernahkah membaca sejarah pengkhianatan golongan Yahudi di Madinah?. Bukankah sebelum itu mereka mengadakan perjanjian dan persefahaman dengan Rasulullah saw. Sekali lagi saya ulangi, mereka mengadakan perjanjian damai dengan Rasulullah, bukan dengan Tok Guru Nik Aziz. Penulis pernahkan membaca kesah "Yaumul Raji'". Dimana beberapa orang para sahabat Rasulullah saw telah terbunuh termasuk Khubaib bin Adi kerana telah dikhianati oleh beberapa kabilah musuh yang memperdaya Rasulullah saw dan Para sahabat?. Saya kemukakan kesah ini bukan bermaksud kita harus merelakan diri diperdaya berulang kali. Namun sekadar untuk mengingatkan kita betapa pentingnya berhati-hati dengan sebuah pandangan dan idea. "Memang bagus tidak peduli apa orang kata' kalau kita benar-benar bediri dengan hujjah kebenaran yang kukuh. Tapi jika kita tidak punya apa-apa hujjah, kemudian tidak peduli apa orang kata adalah "keanggkuhan".


Terakhir, penulis blog tersebut menganggap Pas dan pimpinannya selama ini "bermain" dengan ayat-ayat Al-Quraan dan Hadis untuk kepentingan pimpinan dan parti. Saya kira sampai sahaja pada kalimah ini , ianya telah benar-benar menelanjangkan kedangkalan penulis terhadap kaedah penghujjahan di dalam Islam. Saya yakin penulis gagal memahami sistem pendalilan yang diprektikkan di dalam Islam. Saya yakin Penulis gagal memahami Tafsiran Al-Quraan dan Usul Fiqh serta Ulum Al-Hadis. Saya juga yakin Penulis tidak pernah berada dalam Pas dengan keberadaan yang sebenar. Penulis hanya membaca akhbar, blog dan berita TV kemudian berbincang dengan fikiran sendiri. Akhirnya saya meminta Penulis membuktikan ayat yang telah dimanipulasi oleh Pas untuk kepentingan hujjah mereka. Saya mohon satu sahaja bukti...


Wassalam. Subuh 11.Oct.2009

2 comments:

School Of Tots said...

InsyaAllah TGNA yg zuhud dan tinggi ilmunya itu tidak akan tenggelam dalam permainan dan tipu helah dunia. Berdebat dgn org yg dangkal ilmunya ibarat berhujah dgn batang pisang.

Pelita Di Dalam Kaca said...

Saya berpendapat pada waktu kini PAS perlu kembali kepada era 1980an dahulu. Hujah-hujah yang tegas dan keras dari segi kesempurnaan iman dan akedah perlu disuburkan kembali kerana di sinilah kehebatan PAS.
UMNO tetap terbelenggu untuk memahami makna iman dan akedah. PAS perlu menghuraikan dengan hujah yang kuat mengenai bagaimana seseorang itu jatuh kufur,murtad,munafik, fasik, zalim dsb. supaya orang-orang yang ikhlas untuk agama Allah dan RasulNya dapat melihat dengan jelas, bahawa perjuangan UMNO adalah perjuangan yang menghakis sisa iman di hati bagi sesiapa jua yang menyokongnya. Inilah hujah kehebatan Islam pada era 1980an tetapi kini nada tersebut begitu lesu sekali.Demikianlah ustaz pada waktu dahulu. Demikian juga Presiden.Hadiahnya ialah syahid di Memali.
Selama berjuang ustaz.