18 September 2009

Terkenangkan raya dalam tahanan kemunting


Saban tahun, setiap kali menjelang raya, pastinya saya terkenangkan saat berhari raya dalam tahanan. Kenangan Enam kali saat menempuh raya dalam tahanan datang menerpa silih berganti. Berbaur antara kepiluan, kepasrahan dan kemanisan.

Sepanjang sebulan menempuh ramadhan dalam tahanan, biasanya kami dihiburkan dengan mimpi yang indah. Ramai antara kami yang mimpi didatangi RasuluLlah. Sebahagian yang lain pula bermimpi bertemu dengan para sahabat yang utama. Alhamdulillah, Maha Kaya Allah. Kehibaan hati hambaNya di belai dengan mimpi-mimpi yang barokah. Kata-kata para sahabat yang muncul lewat mimpi dimalam-malam barokah itu justeru memperkuatkan hati kami untuk menempuh laluan berliku dalam perjuangan ini. Sepakat kami hidupkan malam-malam Ramadhan sehingga menjelang fajar sodiq. Zikir dan Munajat kami dalam dakapan malam disulami dengan doa kepada Ilahi. Kami berdoa agar Allah pilih kami istiqomah diatas jalanNya. Lindungi keluarga kami, jadikan anak-anak kami Ulama-ulama yang soleh, serta kami mohon diberikan kemenangan kepada Islam dan pejuang-pejuangnya.


Pernah satu malam dipenghujung Ramadhan 2002 sedang saya berzikir tiba-tiba saya terlelap seketika. Sebelum itu saya berdo untuk semua pejuang-pejuang Islam diseluruh dunia. Di akhir doa saya mohon Allah sampaikan salam saya kepada RasuluLlah, para sahabat baginda dan kepada ruh para syuhada'. Saya mohon Allah sampaikan salam kasih saya kepada mereka. Dalam saat terlelap seketika dan dalam keadaan duduk itu saya melihat satu bala tentera berkuda yang cukup ramai. Mereka memenuhi padang rumput yang luas. Semuanya siap dengan senjata disandang dan pedang tersisip. Mereka bergerak melewati tempat saya duduk. Setiap yang lalu memberi salam kepada saya, dan setiap salam itu saya jawab. Tiba-tiba dalam ramai-ramai tentera yang berlalu itu, saya terpandang kearah sesosok lelaki yang menunggang kuda putih yang berbulu baldu ditengkoknya. Saya kenal lelaki itu, kerana sebelum itu telah acap kali saya bermimpi bertemu dengannya. Beliau adalah Sayyidina Umar. Wajahnya tanpan dan berseri. Sambil tersenyum manis beliau mengucapkan salam kepada saya. Kemudian beliau memberhentikan kudanya betul-betul dihadapan saya. Sambil duduk bersila itu saya pegang kaki kudanya dengan kedua-dua belah tangan saya..saat itu saya terbangun sambil tangan saya menghulur kehadapan dan saya memang benar-benar terasa tegapnya kaki kuda Sayyidina Umar.

MasyaLlah..mimpi itu menambahkan kekuatan saya. Sejak itu saya tidak pernah lupa memohon Allah menyampaikan salam kepada ruh mereka dipenghujung setiap malam. Apabila saya rasa sedikit gementar untuk mati dijalan Allah, maka saya akan mengulangi doa tersebut. Lalu Allah datangkan keyakinan dan kecintaan untuk syahid dijalanNya. Kerana sesungguhnya mati syahid itu semanis-manis perkara yang Allah jadikan di dunia ini.

Menjelang beberapa hari sebelum Hari Raya, kami sibuk menyiapkan sesuatu berupa chendramata untuk keluarga yang biasanya akan melawat pada hari kedua dan ketiga. Saya lebih gemar mengukir sabun mandi untuk dihadiahkan kepada Isteri tercinta. Untuk anak-anak saya akan tanpalkan gambar-gambar pada sekeping kad berserta tulisan yang jika mereka baca mereka akan tahu betapa saya menyayangi mereka. Bait-bait nasihat akan saya tuliskan lebih jelas, supaya mereka tahu saya sentiasa mengharapkan kebaikan untuk mereka. Saya bangga dengan ketabahan isteri dan anak-anak saya.

Saya tahu, isteri saya banyak menyembunyikan kepayahan dan kepiluannya daripada pengetahuan saya. Beliau tidak mahu jiwa saya tertekan. Namun saya tahu kepayahan yang dihadapinya. Pernah anak-anak saya terpaks ke kuala mengutip siput-siput dan kepah untuk dijadikan lauk. Kesekolah tanpa belanja. Baju raya yang tidak berganti. Walaupun kesempitan wang ,isteri saya tetap berusaha membawa anak-anak menziarahi saya setiap kali Hari Raya. Beliau tidak mahu saya rasa sepi dan kesunyian. Saat makan bersama keluarga diHari Raya dalam kem tahanan adalah saat yang cukup manis. Kemanisan yang wajib disyukuri. Syukur yang diterjemahkan dengan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepadaNya.

Anugerah Allah ada dimana-mana. Asalkan kita jujur dan ikhlas dalam mengabdikan diri kepada-Nya. Dimana-mana ada "hiburan Allah". Allah tidak pernah mengabaikan hamba-hambaNya yang sentiasa berusaha mendekatiNya.

Kini telah 6 tahun saya bebas dari Kem kekejaman ISA itu. Namun ingatan saya tetap erat dengan segala kenangannya. Wajah-wajah Polis yang menyoalsiasat saya masih saya ingat satu persatu. Wajah teman-teman yang sekian lama bersama menghirup segala kepahitannya tetap terpahat kukuh hingga kini. Kerana itu setiap kali ada ruang saya pasti hubungi mereka dan menziarahi mereka. Tengah hari tadi ketika hadir ke Masjid Lapangan Terbang Subang untuk menyampaikan Khutbah, Allah pertemukan saya dengan Cikgu Zainon rakan setahanan dari Memali. Alhamdulillah..

Kembara Tazkirah penghujung Ramadhan


Hari ini sudah masuk hari yang ke 28 Ramadhan. Masih ada dua program dalam siri "kembara Tazkirah" ini yang belum selesai, iaitu Khutbah esok di Masjid Subang Airport dan Tazkirah pada malamnya di Surau Muttaqin Taman Melati. Cadang saya selesai Tazkirah malam esok, kami akan terus balik ke Kuantan. Ahad lepas saya balik sebentar ke Kuantan untuk memenuhi program Kuliah Subuh di Surau Ikhwan, Taman LKNP Bukit Setongkol dan Kuliah Dhuha di Masjid Al-Fatah. Sejak petang Ahad itu saya belum balik ke Kuantan hinggalah kini.

Syukur kepada Allah..kembara Tazkirah Tahun ini mempertemukan saya dengan ramai kenalan lama dan menambahkan lagi kenalan baru. Jumaat lepas saya berkhutbah di Masjid Fatimah Az-Zahrah. Selepas solah saya terserempak dengan Yazid Shufaat, bekas tahanan Kemunting yang masih dalam tahanan terhad. Beliau bersama tiga orang lagi rakan bekas tahanan, yang semuanya saya kenali. Kami berbual agak panjang. Macam-macam topik yang kami bualkan. Cerita-cerita dan kenangan dalam tahanan pastinya menjadi tajuk manis yang kami ulangi. Kenangan dan kebersamaan itu menjadikan persahabatan kami sentiasa hangat. Apa tidaknya, entah berapa kali Raya kami sambut bersama disebalik dinding Kem Tahanan yang merakam sejuta kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan BN. Tidak ada orang yang keluar dari tahanan tanpa bicara itu yang tidak bencikan BN, kecuali orang gila yang benar-benar gila.Orang yang kemaruk dunia dan kedudukan.

Saya terkenangkan Lokman Nor Adam, yang kini menjawat jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia. Dulu beliau adalah orang tahanan seperti saya dan kami-kami semua. Lokman adalah seorang yang agrasif. Ramai jugak warden yang menjadi mangsa makian Lokman dan tak kurang jugak yang kena penangannya. Asalkan berbual, pasti terkeluar makian Lokman kepada Pimpinan UMNO. Saya boleh dikatakan rapat dengan beliau ketika dalam tahanan. Ketika penghuni kawasan saya T2 A dibenarkan beriadah bersama kumpulan Refomasi dalam kawasan T2 B, maka saya akan jadi regu permainan Badminton bersama Lokman menentang regu Ustaz Badrul Amin dan Sdr Saari Sungip (Pak Abu). Biasanya regu saya dengan Lokman akan kalah. Ini disebabkan dayatahan mentaln Lokman agak lemah. Kelemahan itu diambil peluang oleh Ustaz Badrul dan Pak Abu. Bila sudah tegang, lokman akan bertindak melulu dan agrsif tak tentu pasal. Tapi apabila saya beregu dengan orang tahanan yang lain menentang regu Ustaz Badrul dan Pak Abu, kami pulak yang akan menang. Jadi kesimpulannya kekalahan saya dan Lokman bukan kerana "saya tak pandai main" tetapi kerana kegelojohan dan kegopohan Lokman.

Saya dibebaskan pada petang Hari Raya 'Aidilfitri 2003, esoknya hari raya. Balik dari solah 'aidil fitri di Masjid Kg Kuala Penor, tiba-tiba Lokman telah sampai kerumah saya bersama bapanya. Mereka memang datang dari johor untuk menziarahi saya.Selepas itu saya tidak bertemu lagi dengan Lokman. Cuma beberapa bulan sebelum beliau kembali kepangkuan UMNO, saya ada menghubungi beliau. Saya tanyakan desas desus yang mengatakan beliau akan kembali "menjilat kahak" yang beliau ludahkan kemuka Umno. Beliau menafikan desas-desus itu sekeras-kerasnya. Namun seperti pimpinan UMNO yang lain, Lokman buat apa yang dinafikannya. Kini beliau adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO sebaris dengan mereka yang pernah mengurungnya tanpa bicara. Lokman bukan sahaja menjilat kembali kahak yang diludahkan kemuka UMNO bahkan terpaksa menelan sekali "Kahak pekat" yang diludah oleh UMNO kemukanya. Kasihan Lokman yang telah melalui sebuah denai perjuangan tanpa ilmu yang sebenar dan dasar yang kukuh yang ditunjagi nas agama. Tapi saya tidak hairan dengan perubahan Lokman itu, kerana Lokman bukan Ustaz atau Hafiz. Ustaz dan Hafiz lagikan merangkak dan terhegeh-hegeh mengemis simpati UMNO, inikan pula Lokman. Mungkin Lokman pernah berguru dengan Ustaz Firdaus Al-Hafiz...kerana kini mereka satu gelanggang.


Sebentar tadi ( 17.09.09) saya menyampaikan Tazkirah di Bangi. Dalam perjalanan pulang ke Sri Gombak, kami singgah sebentar di Rastoran Rausyah. Sebuah restoran Arab yang terkenal di Ampang. Di situ saya sempat bertemu dengan Ustaz Khairuddin At-Takiri, Ustaz Dato' Ismail Kamus yang baru-baru ini heboh mengatakan beliau meninggal dunia dan ramai lagi teman-teman. Ustaz Hadi Talhah mengatakan Dato' Ismail kelihatan agak "naik badan". Saya berseloroh mengatakan apa tidaknya, kerana berapa ramai orang yang bacakan Fatihah dan Tahlil untuk beliau baru-baru ini. Ustaz Ismail gelak, dan beliau mengatakan ada orang yang dah soalh Jenazah untuk beliau. Dengan Ustaz Khairuddin saya sempat berbincang sebentar tentang program "ulama Muda", anjuran jawatankuasa Ulama Muda, Dewan Ulama Pas Pahang yang akan diadakan pada 4. October nanti.

Indahnya penghujung Ramadhan. Walaupun Ibu Kota penuh sesak dengan kenderaan yang mula bergerak untuk pulang berhari raya, namun belaian dingin semilir Ramadhan tetap terasa sejuk dan syahdu. Entah tahun hadapan masihkah dapat bersama mu Ramadhan. Malam kian merangkak mencari tepian fajar. Sebentar lagi jamaah Surau Ubudiyyah akan datang menunaikan qiam 10 terakhir Ramadhan. Di Kabin kecil dibelakang Surau ini, saya panjatkan doa kepada Allah, agar melimpahkan "rahmatNya" kepada teman-teman yang sekian banyak telah membantu dan menolong liku-liku perjuangan saya. Kepada para dermawan yang tidak pernah sayang kepada harta mereka demi meraih redha Tuhan saya doakan selamatlah dirimu nanti dari Neraka dan Murka Allah. Dengan lafaz penuh mengharap, saya pohon Allah ampunkan semua dosa-dosa saya, kedua ibu Bapa, Abang dan Kakak, saudara mara,Guru-guru, teman-teman serta mereka-mereka yang pernah menyakiti saya.

Marilah kita hidupkan saat-saat akhir Ramadhan ini dengan bermanja-manja dengan Allah dan memohon keampunanNya.


Kepada semua tetamu Blog saya, saya ucapkan salam "Selamat 'Aidil Fitri"..maafkan diri ini.


16 September 2009

Lawak UMNO Johor di Penghujung Ramadhan..


Selepas solah subuh tadi, saya jenguk beberapa laman dan blog. Asalnya untuk meninjau berita lanjut mengenai pembebasan tahanan ISA petang semalam. Tiba-tiba saya terserempak dengan sebuah cerita lawak yang dibintangi oleh "Ghani Othman", orang yang diamanahkan menjaga negeri tempat UMNO dilahirkan. Ikuti berita tersebut disini;

Kerajaan Johor akan menempatkan seorang pakar tafsir Al-Quran masing-masing di setiap kawasan DUN di negeri itu untuk membolehkan umat Islam mendalami kandungan Al-Quran secara terperinci.Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri menghantar pelajar-pelajar mendalami ilmu tafsir Al-Quran di beberapa universiti di Timur Tengah.

Dengan penempatan itu, bererti kesemua 56 kawasan DUN di Johor akan mempunyai seorang pakar tafsir Al-Quran yang berkelayakan untuk memberi tafsiran yang tepat mengenai isi kandungan kitab suci itu kepada masyarakat, katanya pada majlis penyampaian bantuan hari raya kepada masyarakat miskin bagi kawasan parlimen Ledang semalam.

Abdul Ghani berkata penempatan pakar tafsir Al-Quran itu adalah sebagai lanjutan daripada program membudayakan Al-Quran yang diperkenalkan di setiap daerah di Johor."Sudah tiba masanya bagi umat Islam bukan sahaja memahami terjemahan Al-Quran tetapi mendalami huraian mendalam ayat-ayat Al-Quran," katanya. BERNAMA

Sekali lagi saya merasa kasihan sungguh kat pemimpin UMNO.

Yang Pertama: Setelah berpuluh tahun berkuasa, mereka baru sedar bahawa Al-Quraan itu perlu difahami secara mendalam, bukan mengetahui terjemahannya sahaja. Setelah berpuluh tahun Pas menengur UMNO yang tidak mahu kembali kepada Al-Quraan, baru kini Ghani Othman mula nak sedar akan pentingnya "memahami kehendak Al-Qur'an". Itu pun saya yakin, Quraan yang hendak difahami oleh Ghani dan pemimpin Umno itu masih berkisar dalam tempurung kepala sakular yang melatari ideologi UMNO. Al-Qur'an tidak akan tumbuh segar dalam iklim sakular Umno.

Tentunya Al-Qur'an akan menjadi mangsa UMNO jika cadangan itu dilaksanakan. Apa tidaknya,
Al-Qur'an akan dilapah, dipotong, dikerat dan dipeti aiskan mana-mana bahagian anggota yang tidak bersesuaian dengan perinsip perjuangan sakular Umno. Upacara menyembelih Al-Quraan pastinya berlaku selagi UMNO tidak mencabut tunjang Asobiyyahnya dan diganti dengan dasar-dasar Al-Qur'an sepenuhnya. Kerana dasar Sakularisme yang ditatang oleh UMNO tidak mungkin dapat duduk semeja dengan Al-Qur'an dan isi kandungnya.

Yang Kedua: Dua kemungkinan akan berlaku kepada pelajar-pelajar yang dikatakan akan menjadi "pakar tafsir" itu nanti. Samaada mereka akan kembali sebagai "guru " yang akan mengajar UMNO mengenai kehendak Al-Qur'an yang sebenar, kemudian mereka akan dipecat oleh UMNO, seterusnya mereka akan menyertai PAS. Atau pun mereka terpaksa menafsirkan Al-Qur'an mengikut telunjuk UMNO agar senafas dengan ideologi sakular UMNO. Kalau itu yang berlaku, maka tiada apa-apa hasil UMNO menghantar "bakal pakar tafsir" itu ke Timur Tengah. Kecuali kalau UMNO johor menghantar mereka untuk berguru dengan Ulama' Umno juga. Tapi...kira-kiranya tak tercapai juga hasrat "bakal pakar tafsir" itu untuk memahami kehendak sebenar Al-Qur'an..kerana tok guru yang mengajar mereka pun UMNO yang berjubah Ulama' tapi ber otakkan sakular.

Yang Ketiga: Firasat saya, akhirnya pelajar-pelajar yang dihantar itu akan menjadi pembangkang UMNO disetiap DUN yang Umno letakkan mereka. Itu pun kalau betul-betul mereka berguru dengan Ulama Tafsir yang sebenar di sana dan mereka pula betul-betul mahukan ilmu yang sebenar untuk memahami tafsiran Al-Quraan. Akhirnya jadilah Umno seperti raja yang menghantar seorang budak (ghulam) belajar kepada seorang tukang sihir, dalam kesah yang masyhur itu. Akhirnya "senjata makan tuan".

Kerja-kerja UMNO sejak akhir-akhir ini memang "kelakar". Bagaimana kamu mahu menjunjung Al-Quraan dalam keadaan kamu sebagai pendokong sakular tegar?.