08 November 2009

Arab Badwi kah kita?...


Alhamdulillah "Seminar Pemerkasaan Pas"berlangsung dengan baik dan boleh dikatakan berjaya mengakhiri rentetan kemelut yang melanda Pas sebelum ini. Saya secara peribadi melihat seminar itu sendiri telah menunjukkan "jiwa perkasa Pas". Jiwa hebat sebuah Parti terutamanya Presiden yang bersedia mendengar sebarang kritikan dari "orang luar" walaupun tanpa sebuah dalil yang dapat dibuktikan atas tuduhannya sebelum ini. Menjadi satu sejarah apabila sebuah Parti sanggup memberi ruang kepada "orang luar" mengkritik parti secara terbuka dalam sebuah seminar yang dibuka kepada umum termasuk wakil media. Seminar ini telah meletakkan Pas dipihak "menang" dan "orang yang menuduh" dipihak yang "kalah".

Kita berseminar bukan untuk mencari menang atau kalah. Tapi sekurang-kurangnya ahli Pas perlu ingat bahawa menuntut hujjah dan bukti dari sebuah "tuduhan" yang dilemparkan kepada kita bukan satu tindakan yang "primitif" seperti yang dinyatakan oleh Dr Abu Hassan, ketika membidas peserta seminar yang mendesak Aziz Bari datangkan bukti atas tuduhannya sebelum ini. Meminta "pihak yang menuduh" membawakan bukti atas tuduhannya adalah "ajaran Islam". Primitifkan kaedah Islam itu?. Adakah kerana kita hidup di "abad ke 21" maka kaedah Islam yang mengatakan; " Saksi atau Bukti atas orang yang mendakwa ( menuduh) dan Sumpah atas orang yang mengingkarinya ( tertuduh)" sudah tidak sesuai dengan "abad Informasi" ini?. Saya berterima kasih kepada Dr Abu Hassan kerana berusaha gigih membuat kajiselidik untuk Pas. Namun suka juga saya mengingatkan kita semua bahawa dimana era dan dekad sekalipun kita hidup, samaada abad ke 17 atau abad ke 21, Islam, asas-asas hukumnya dan adab-adabnya tetap raleven dan menjadi prinsip kehidupan.

Aziz Bari gagal membawakan bukti atas tuduhan terbukanya sebelum ini. Walaupun Dr Abu Hassan cuba mempertahankannya dengan hujjah bahawa tulisan Aziz Bari itu cuba satu "persepsi" yang kemudiannya terbentuk menjadi "informasi". Maka apakah kerana ia hanya sebuah "persepsi" maka kita tidak terikat dengan hukum Islam?..Jangan menghalalkan apa yang haram dengan hanya bersandarkan kepada hujjah "perubahan zaman dan era". Hukum tidak pernah berubah walau era apa sekalipun. Benarlah kata ulama; "Dihalalkan suatu yang haram setelah ditukar namanya". Riba dirasakan tidak haram kerana telah ditukar dengan nama Interest. "Tikam Judi" ditukar dengan nama "tikam toto". Lalu untuk menghalalkan "fitnah" ditukarkan ia dengan "persepsi". Persepsi masih dikira nutral jika ia hanya ada dalam tempurung kepala seseorang, tetapi apa apabila ia dilontarkan kepada khalayak ia telah berubah menjadi maklumat atau informasi atau pernyataan. Jika informasi itu benar ia adalah ilmu dan jika salah maka ia adalah "tuduhan". Prinsip pendakwaan dalam Islam menuntut "didatangkan bukti" atas mana-mana tuduhan. Firman Allah yang bermaksud: " Datangkan hujjah kamu jika kamu adalah orang yang benar". Tuntutan inilah yang gagal ditunaikan oleh Aziz Bari. Primitifkan peserta seminar yang mendesak Aziz Bari mengemukakan bukti terhadap tuduhan terbukannya ?.

Saya hadir keseminar tersebut dan mengambil tempat duduk dibahagian hadapan. Tujuannya agar saya tidak terlepas satu pun hujjah yang akan dilontarkan oleh Aziz Bari. Kerana beliau adalah seorang Ahli Akademik yang mahir dengan undang-undang perlembangaan. Saya tidak nafikan banyak "input" yang dapat dipungut dari ucapan beliau mahupun tulisan-tulisannya sebelum ini. Namun apa yang saya harapkan dari seorang sarjana yang galak menulis didada akhbar ternyata kecewa. Kecewa kerana ucapan beliau tidak setajam tulisannya. Semacam ada usaha melarikan diri dari apa yang beliau tulis terhadap presiden sebelum itu. Sampai ketahap itu, kadar kecewa saya masih rendah. Tetapi apabila beliau didesak agar membuktikan tuduhan yang beliau tulis, Aziz hanya menjawab; saya pun dapat maklumat dari beberapa orang dalam Pas yang memberitahu saya. Sampai kepada kalimah ini hati saya cukup sedih dan kecewa. Saya tidak kesah siapa yang melapurkan kepada Aziz. Siapa orang tersebut tidak penting. Kerana saya pun tidak setuju jika beliau didesak untuk menamakan siapa "pelapur" yang dikatakan oleh beliau itu. Kerana itu soal dalaman Pas yang tidak patut ditelanjangkan dikhalayak. Hal tersebut boleh diurus oleh Badan Displin Pas. Tetapi apa yang saya kesal ialah betapa seorang sarjana hebat boleh melontarkan tulisan ke Khalayak 26 juta rakyat Malaysia dari hanya "lapuran" beberapa orang. Bukankah Allah berfirman dalam surah Al-Hujrat ayat 6, maksudnya;

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq (membawa) berita, hendaklah kamu periksa kebenarannya. ( Takut) kalau-kalau kamu menzalimi satu kaum tanpa pengetahuan, lalu kelak kamu akan menyesal atas perbuatan kamu".

Para Ulama Mufassirin mengatakan, satu-satu berita itu dihukumkan fasiq jika;

1. Dibawa oleh orang yang tidak memiliki kepercayaan dan gugur sifat keadilan pada dirinya.

2. Berita yang dibawa tanpa dalil, saksi atau bukti.

Apabila diteliti apa yang dinyatakan oleh ulama' itu, ternyata tulisan Aziz Bari sebelum ini adalah tulisan yang mengandungi berita-berita fasiq. Berita tersebut hanya boleh disimpan dalam "kamus Dr Abu Hassan sebagai Persepsi" sahaja dan belum layak di "Informasikan kepada umum". Malangnya berita tersebut telah dibaca oleh jutaan pemerhati politik tanahair.

Saya percaya rata-rata Ahli Pas menghormati mana-mana keritikan daripada siapa pun. Sebelum ini pun Pas sudah biasa dikritik. Bahkan lebih pedas daripada kritikan Aziz Bari. Tetapi apabila Aziz Bari dalam siri-siri tulisannya secara konsisten menuduh Tuan Guru Presiden dan kemudian semacam melontarkan desakan agar Ahli Pas menghukum Presiden atas tuduhan itu, maka dengan kerana itulah saya rasa menyebabkan keadaan menjadi agak rimas. Tindakan Presiden "mengheret Aziz Bari" kemuka pengadilan umum Pas merupakan tindakan "tepat", supaya semua peserta seminar tahu "status" Informasi yang ditulis oleh Aziz sebelum itu. Sekarang kita semua sudah tahu bahawa berita yang ditulis oleh "sarjana" ini berstatus "Dhoif" jika dilihat dari displin ilmu hadis dan adab dalam Islam. Oleh itu tirai Seminar telah ditutup dengan satu kesimpulan bahawa kita berdiri teguh dibelakang pimpinan yang ada sekarang. Tidak lagi perlu ujud "kumpulan Dato' Seri Presiden" dan kumpulan "Aziz Bari".

Moral yang dapat kita pungut dari seminar tersebut pada pandangan saya ialah;

1. Jangan merombak wala' kepada pimpinan hanya kerana sebuah "informasi" Dhoif atau fasiq.

2.Ahli Pas perlu berlapang dada dengan apa-apa kritikan, tapi jangan sampai dada kita "ditikam".

3. Jangan diutamakan "pandangan pribadi individu" jika ianya bercanggah dengan keputusan mesyuarat.

4. Beradab dengan Pimpinan Jamaah. Memang benar Khalifah Abu Bakar dan Amirul Mukminin telah berlapang dada mendengar teguran kasar seorang Badwi. Kesah tersebut mengambarkan "kehebatan jiwa seorang pimpinan" supaya dicontohi oleh pimpinan gerakan Islam. Bukan mengajar kita sebagai ahli agar menjadi "Arab Badwi". Badwi kah kita?...

5. Jangan terheret dengan apa-apa ilmu atau kaedah yang menyebabkan kita terungkai dari kaedah-kaedah syara'.

6. Kita bukan hidup di "Abad Jahiliyyah" sehingga perlu meninggalkan Islam untuk menghalalkan apa yang haram kerana semata-mata mahu membina "persepsi".

Alhamdulillah..semua kita lega dengan berakhirnya seminar yang membuktikan "JIWA PERKASA" Pas itu.

06 November 2009

Ya Allah selamatkan Pas dari sentuhan tangan-tangan Syaitan..


AHLI PAS HARUS MENOLAK AZIZ BARI SEMACAM MEREKA MENOLAK "UG".
__________________________________

Aziz Bari dalam wawancaranya dengan Malaysiakini hari ini semakin menyerlahkan keanggkuhan dan kesombongannya, sekaligus terlondeh segala adab-adab dan harga diri "keserjanaan" yang dimilikinya selama ini. Kata-kata Ulama yang mengatakan "Ilmu seseorang itu dihormati kerana adab dan budinya" ternyata kini tidak dimiliki oleh "Penyebar perpecahan ini". Aziz yang menjadi jurucakap kepada sebuah konspirasi yang semakin hampir terbongkar ini rupanya semakin "galak" bermain dengan api fitnah. Kelembutan dan kesediaan Pas khususnya Presiden memberikan ruang untuk beliau berucap dalam seminar esok ( 7 Nov) rupanya gagal difahami oleh "sarjana" ini. Rupanya beliau semakin merasakan suaranya dihargai. Pemikiran " bernas"nya diterima oleh ahli Pas dan beliau merasakan beliau benar-benar "hero" yang akan memberikan "nyawa" kepada Pas yang konon pada pandangan beliau sedang "nazak".

Siapa beliau?..Aziz Bari bukan "ahli Pas". Aziz Bari bukan anak usrah Pas. Aziz Bari bukan pimpinan pas, hatta bukan pimpinan cawangan pun. Kita bukan sombong sehingga tidak mahu mendengar "suara" dari luar kelambu Pas. Namun tindakan Aziz Bari mendesak secara terang-terangan agar "isteri mintak cerai dengan suami, dan memburuk-burukkan suami dihadapan anak-anak" adalah suatu tindakan "jahat" yang melampau. Tindakan "biadap" yang memuntahkan segala nilai-nilai seorang ilmuan. Muntah hanyir itu kini sangat memualkan mereka yang selama ini menghormati beliau. Mungkin benar rumahtangga Pas ada kelemahan, namun hentaman Aziz Bari terhadap pimpinan Pas tidak lagi boleh dianggap "nasihat". Ianya adalah suara "khianat" yang terbit dari "kesumat" yang hanya Allah Yang Tahu sebesar mana kesumat itu dalam gumpalan urat jantung Aziz Bari.

Saya telah ikuti tulisan Aziz Bari dalam setiap keluaran sinar harian. Ternyata "segala komen dan ucapan belasahnya" terhadap Dato' Seri Presiden bukan kerana beliau "sayangkan Pas". Namun belasahnya itu adalah belasah orang yang beragenda. Belasah orang yang ada motif yang tersembunyi. Sekali lihat apabila beliau menyerang Tuan Guru Presiden semacam disebabkan kerana beliau sayangkan Tuan Guru Nik Aziz. Saya yakin bukan begitu. Sayang yang "dibuat-buat" terhadap Tuan Guru Nik Aziz itu hanya untuk menarik sokongan sebahagian ahli Pas agar bersama dengan agenda beliau untuk menjatuhkan Tuan Guru Presiden. Saya percaya jika sekiranya Tuan Guru Presiden berundur gara-gara kerja terancang Aziz ini, maka akan menyusul pula jadual baru Aziz mengundurkan Tuan Guru Mursyidul Am dengan berbagai analisa politik yang lain pula. Kerja Aziz hanya akan dikira selesai apabila "kumpulan Dedalu" berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan Pas, atau sekurang-kurangnya berjaya berada di Posisi yang penting dalam menentukan halatuju Pas. Selepas itu akan dibentuk satu wajah baru Pas, yang pastinya tidak lagi meletakkan agenda "Negara Islam" sebagai cita-cita Pas.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini ahli Pas telah pun perasan akan adanya gerakan "dedalu" ini. Dulu mereka berada diluar Pas. Waktu itu mereka cuba bersaing dengan Pas. Pas dijadikan sasaran keritikan dalam usrah mereka. Namun apabila kumpulan mereka berpecah ( kerana ada ura-ura sebahagian ahli akan menukar presiden) maka mereka berkelana sendirian. Waktu itu mereka melihat saham Pas berada dianak tangga pertama dalam carta politik Negara. Maka berhijrahlah mereka kepada Pas. Kononnya untuk berkongsi pengalaman dan cita-cita perjuangan. Pas sebagai sebuah gerakan Islam menerima "taubat" siapa sahaja. Asalkan dapat bersama-sama memacu perjuangan ini kegerbang jaya. Namun dedalu ini masih punya agenda tersendiri. Maka secara senyap-senyap mereka adakan "jamaah dalam jamaah, mesyauart dalam mesyuarat". Usaha-usaha menaikkan rakan-rakan semazhab mereka dilakukan secara licik dan tersusun. Mungkinkah mereka di belakang Aziz Bari? ...kita mohon kepada Allah agar mendedahkan kepada kita konspirasi ini.

Saya yakin..Ahli Pas akan berdiri teguh dibelakang barisan kepimpinan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden dan semua saf kepimpinan Pas Pusat, Negeri dan Kawasan. Apapun kelemahan kita, akan kita baiki bersama dalam "keluarga" kita. Tidak perlu "makhluk asing" yang datang mengajar kita siapa yang patut kita pilih sebagai pemimpin dan siapa yang patut kita singkirkan. Kita bukan baru sehari dua hidup bersama kedua-dua tokoh kesyangan kita ini. Sudah puluhan siri kuliah dan ceramah mereka berdua kita ikuti. Seminar dan kertas kerja usah diceritakan lagi. Qiamullail dan munajat yang dipimpin oleh mereka berdua telah ratus kali kita ikuti. Saat Pas berpapah bangun diawal-awal tahun 80an, siapa yang membimbing semangat perjuangan kita?...Aziz Bari?...dan dedalu yang satu kafilah dengannya?...

Ya Allah selamatkan jamaah ini dari sentuhan tangan-tangan syaitan....

04 November 2009

Mengapa masih tidak merasa puas hati?



JANGAN JADI JURUBICARA KEPADA SYAITAN. " SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU MUSUH KAMU, MAKA JADIKANLAH IA MUSUH".

--------------------------------------------------
Sebahagian kita Ahli dan Penyokong Pas merasa cukup lega, lapang dan tenang selepas tersimpulnya beberapa persetujuan dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pada malam khamis yang lepas. Kelegaan itu terpamir disetiap wajah mereka yang sayangkan Pas. Mereka yang tidak mahu melihat Pas terbelah dua apatah lagi berlakunya "perang saudara" sehingga yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang. Jelasnya mereka sangat inginkan kebulatan hati terbentuk daripada mesyuarat khas tersebut. Alhamdulillah... apa yang diharapkan oleh kebanyakan pencinta Pas itu telah dimakbulkan Allah. Allah telah menentukan takdirnya mengikut "kehendak Allah" bukannya mengikut kehandak makhluk. Manusia hanya boleh merancang, namun yang pasti berlaku ialah perancangan Allah. Jika Allah membiarkan manusia menentukan "takdir" mereka sendiri walau sekelip mata, maka sudah pasti akan binasalah manusia itu. Rata-rata ahli Pas yang telah dikuliahkan oleh pimpinan dengan berbagai tajuk Usuluddin dan Tasawwuf, pasrah dengan penuh akur apa yang telah diqada'kan Allah itu.

Namun malangnya ditengah-tengah kelegaan itu tetap ada mereka yang tak jemu-jemu berusaha "mempuak-puakan" Pas. Hati mereka belum puas dan sangat pedih rasanya melihat kemesraan dua orang Tok Guru yang disayangi oleh ahli Pas itu. Pedih itu menusuk jauh kedalam gaung hati mereka yang inginkan Pas ini berkecai. Tersiat-siat rasanya kepingan hati mereka mendengar keputusan resmi mesyuarat khas ialah "menutup issu UG dan EGM di ganti dengan Seminar Khas". Kalau boleh mereka mahu melihat "Puak TGHH terus memaki-maki puak TGHNA", manakala team TGHNA pula mengutuk dan menjerkah puask TGHH". Sepatutnya maki memaki itu diteruskan. Tidak kiralah samaada melalui tulisan di akhbar ke, blog ke atau pun buatlah apa cara sekalipun, asalkan jurang puak berpuak itu semakin melebar dan menjauh. Kalau boleh lebarnya jurang itu sehingga tidak mungkin lagi dibena jambatan penghubung dan ukhuwwah.

Usaha ini dapat kita lihat disusun rapi dalam tulisan-tulisan mereka. Mereka cuba terus membakar hati ahli-ahli Pas agar mewiridkan perasaan berpuak itu. Mereka yakinkan pencinta Pas bahawa " apa salahnya jika beberapa orang pimpinan Pas itu dicantas. Jangan takut Pas akan berkecai, kerana sejarah telah membuktikan Pas tidak akan berkecai. Sebelum ini pun keadaan yang sama berlaku, namun Pas tidak pun hancur". Inilah "kipas jahat" yang cuba menghidupkan semula issu yang telah ditutup rapat oleh barisan pimpinan menerusi mesyuarat khas tersebut. Bagi sebahagian besar ahli Pas mereka telah lama ditanamkan keyakinan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas ini pastinya akan tetap utuh walau apa badai sekalipun yang datang, samaada "badai luaran atau gelombang dalaman". Hal itu telah lama mereka yakini. Mereka telah khatamkan banyak kitab mengenai keyakinan tersebut. Mereka tidak memerlukan akhbar untuk menyakinkan mereka. Apatahlagi bakaran semangat dari "makhluk"yang berada diluar kandang Pas. Bagi mereka, sedikitpun tidak merasa takut Pas ini hancur. Sedikit pun mereka tidak heran untuk "berbalah" dan "bertetak". Namun yang mereka fikirkan ialah atas dasar apa mereka perlu berpuak?, atas dasar apa mereka perlu berbalah?, atas dasar apa mereka perlu bertetak dan berkapak?. Kalau berbalah dan bertetak itu "sah pada syarak" tak perlu ada siapa pun yang suruh, mereka pasti akan sanggup berbalah sebagaimana mereka sanggup berbalah dengan UMNO selama ini. Bagi mereka, kalau hukum kata boleh berpecah, mereka rela berpacah dan tak perlu tunjuk ajar dari "Aziz Bari". Tapi kalau Syara' kata tidak halal untuk berpecah dan berbalah, mereka tetap tidak akan berbalah walau disuruh oleh Tok Guru bertaraf wali sekalipun.
Apa tujuan penulis-penulis yang terus bertungkus lumus membangkitkan issu tersebut?. Sedangkan Mesyuarat Khas telah memutuskan seminar Khas Politik akan diadakan pada 7 Nov nanti di Taman Malewar. Tak boleh tunggu dan lihat ke apa yang terhasil daripada seminar tersebut. Kalau hati ikhlas..sabarlah seketika. Hormatilah keputusan mesyuarat. Jangan dibangunkan semula "api fitnah" dan "permusuhan" setelah ianya "ditidurkan" oleh Allah. Kalau pun ada agenda sendiri atau membantu agenda orang lain untuk memegang tampuk pimpinan, maka raihlah secara beradab, bersopan dan ikhlas kepada Allah. Bila Allah menyayangi seseorang Allah akan menyuruh para Malaikatnya menyayanginya. Bila makhluk dilangit menyayanginya nescaya makhluk dibumi akan turut menyayangi dan menyintainya. Ketika itu pastinya Allah wariskan bumi ini kepada hamba-hambaNya yang soleh.
Saya bersetuju dengan saranan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ustaz Nasaruddin Tantawi agar kita menanggani apa-apa isssu sekalipun hendaknya jangan hanya berkiblatkan "fikiran, dan kebijaksanaan" semata-mata. Kita ada Rabb, maka kepada Rabb itulah kita pautkan segala pengharapan dan pertolongan. Ahli Pas jangan terganggu oleh suara-suara orang luar. Ini bukan bermakna kita "syok sendiri" sehingga tidak mengendahkan teguran orang lain. Namun kita tentunya tahu membezakan antara sebuah teguran dan dakyah halus yang bertujuan menghancurkan keharmonian kita. Siapa pun tokoh itu, apabila ia berada diluar gelanggang, ia hanya tahu "bersorak, bertempik hatta melompat-lompat" sahaja, dan tidak lebih dari itu. Namun kita ahli Pas yang telah sekian lama berada dalam gelanggang ini seharusnya tahu membezakan antara nasihat yang membangun dan "nasihat" yang menghancurkan. Pohonlah kepada Allah, agar memberikan kita dan pimpinan kita hati yang tenang, teguh dan bertawakkal kepada Allah. Taatilah Allah dan berikan wala' kepada pimpinan jamaah.

01 November 2009

Perjalanan ke Seminar Siasah Syar'iyyah Dewan Ulama Pusat.

Saya bertolak dari Kota Bharu tepat jam 8 pagi ( jumaat 30.Oct) setelah Check-out di Kaunter Hotel Ansar, berhadapan dengan Bangunan Pas Kelantan. Ketika saya meninggalkan perkarangan hotel, petugas-petugas MPKBBRI telah selesai memasang Canopy dihadapan bangunan tersebut, sebagai persiapan majlis Ilmu yang akan disampaikan oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar pada jam 9 pagi nanti. Saya menjangkakan kehadiran ke majlis tersebut tentunya bertambah pagi ini, kerana sudah tentu mereka ingin mendengar sesuatu yang akan terkeluar dari Mulut Tok Guru yang mereka sayangi, mengenai mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat dua malam yang lepas. Saya pun jika tidak kerana mahu segera ke Alor Star, sudah tentu akan "menyelit" dicelah-celah mereka untuk bersama program ilmu tersebut.

Walaupun mesyuarat "Dewan Ulama Pas Pusat" dijadualkan akan bermula jam 8 malam, namun seperti kebiasaan apabila melakukan perjalanan kedestinasi yang terdapat ramai teman-teman lama, saya akan bertolak lebih awal. Ini adalah kerana saya akan cuba menziarahi seramai mungkin sahabat-sahabat yang terdapat dimana-mana sepanjang perjalanan itu. Ziarah dan diziarahi adalah "nikmat bersahabat". Nikmat yang lebih bermakna berbanding wang ringgit dan harta. Mengutip serpihan kenangan lama bersama, adalah sebuah kemanisan yang hanya dapat dimengerti oleh jiwa yang tahu erti persahabatan. Justeru itu, perjalanan saya kali ini disertai bersama oleh sahabat saya Ustaz Zaini Musthafa, mudir Sekolah Rendah Islam Pintar. Beliau adalah anak jati Pendang, tetapi telah menetap di Kelantan lebih 28 tahun.

Selesai bersarapan...kami meneruskan perjalanan. Sampai di Batu Gajah, Tanah Merah, saya meminta pemandu kami ( Pemandu An-Nuur) membeluk ke Madrasah Nurul Muttaqin di Kg Lepan Bola. Hasrat saya untuk bertemu Ustaz Tuan Mahmud, pengasas Pusat Pendidikan tersebut. Beliau adalah sahabat lama kami di Pasir Tumboh dan Makkah. Anak ketiga saya, Hasyimi Rafsanjani ( yang kini belajar di Surabaya) pernah belajar di Madrasah ini. Ketika kami sampai di perkampungan ini, kami diberitahu oleh pembantu beliau Ustaz Nuh, bahawa "Ayah Su" ( gelaran hormat) baru sahaja keluar. Disebabkan kami terpaksa berjimat masa, maka kami sekadar menitip "sebuah salam" untuk beliau, tanda kehadiran kami di Madrasah beliau.

Sebelum sampai di Pekan Grik, saya menghubungi Sdr Radhi, teman "setahanan" di Kemunting. Pesanan terakhir Radhi, sebelum perbualan kami tamat ialah "jangan makan dimana-mana dulu, nanti makan rumah ana". Mengingatkan pesanan dan "paksaan" Radhi, kami hanya minum-minum sahaja selepas solah Jumaat di Masjid Kg Kerunai.

Berada di Rumah baru Radhi yang baru siap sememangnya tidak menjemukan. Ini disebabkan beliau adalah seorang sahabat yang sangat menghormati teman dan tetamu. Saya dan keluarga sendiri sudah sangat kerap kali bermalam dan makan dirumah lama beliau di Kg Pahit ini. Hidangan tengah hari yang disulami dengan gurau senda Radhi, menjadikan kami agak lama berada dirumah beliau, sebelum meneruskan perjalanan.

Kami sampai di Alor Star jam 6 petang. Distinasi pertama kami ialah menziarahi keluarga "sahabat kami yang disayangi Allahyarham Ustaz Shukri Wahab" di Tanjung Bedil. Ketika memasuki lorong kerumah beliau, hati saya menjadi sebak. Gulungan kenangan lama kembali terhampar. Sebaris demi sebaris catatan persahabatan erat kami seolah-olah dideklimasikan semula. Dianjung rumah dua tingkat itulah tempat saya bermalam setiap kali datang berceramah di Kedah, dizaman bujang kami. Di bendang itulah, aruah mengajak saya melihat padi yang beliau tanam, sambil kami sama-sama mengait buah mempelam ditepi batas bendang. Di bangunan usang dua tingkat berhadapan rumah aruah inilah, saya diulit nyanyian nyaring suara anak-anak pasti. Hingga kini, lagu yang dialunkan mereka masih saya ingat.

Alhamdulillah, selepas 3 tahun aruah pergi menemui Khaliqnya, baru kini saya berkesempatan datang menziarahi keluarganya. Kehadiran kami disambut oleh anak kedua aruah, yang kini sedang belajar di Kolej Pertanian. Ibu aruah turut hadir dalam pertemuan kami petang itu. "Makcik dah uzur" kata beliau. Saya pun mendapati sudah banyak perubahan pada diri Makcik, Ibu aruah. Beliaulah dahulu, yang memasak untuk saya setiap kali saya bertamu beberapa hari dirumah beliau. Keadaan sekeliling rumah aruah tidak banyak bezanya dengan apa yang ada ketika aruah masih hidup. Aruah adalah seorang yang sangat bersederhana. Sebahagian besar masanya adalah untuk Pas kawasan Kuala Kedah dan Pas Kedah umumnya.

Sekeping gambar aruah di atas almari, membalut rasa pilu dihati saya. Sebelum pulang kami serahkan sebuah hamper dan sedikit duit buat keluarga beliau. Sesungguhnya nilai sebuah persahabatan tidak pernah dapat dibayar dengan dunia ini dan segala isinya. Al-Fatihah buat sahabat kami yang dirindui.

Selepas itu kami terus ke Kompleks Pas Kedah di Batu 9. Mesyuarat berlangsung mulai jam 8 malam hingga 1.40 pagi. Mesyuarat dimulai dengan taklimat mengenai kerajaan Kedah oleh YAB Dato' Azizan Abdul Razak. Selesai mesyuarat, kami terus ke rumah Sdr Subki, yang berkeras mahukan kami makan malam dirumah beliau. Ketika mesyuarat berjalan, beliau menghantar message kepada saya agar datang juga walau jam berapa pun selesai mesyuarat. Akhirnya kami sampai jugak dirumah beliau jam 2.15 pagi. Nasi berlaukkan ikan keli bakar cicah air asam, menjadikan makan malam ala bersahur itu sangat menyelerakan...

Kami meninggalkan rumah Subki jam 3.30 pagi. Distinasi berikutnya ialah bermalam di kampung Ustaz Zaini di Kg Tempoyak Pendang. Rumah beliau hanya didiami oleh Ibu beliau. Manakala Abang sulung beliau sudah berbelas tahun menetap diberunei. Abang kedua tinggal tidak jauh dari rumah ibu beliau. Manakala adik beliau pula bekerja di Langkawi. Bila menemui posisi yang sesuai, saya terus merebahkan badan dan seterusnya saya tidak tahu apa yang berlaku sehinggalah masuk waktu subuh.

Selesai solah subuh, Ibu Ustaz Zaini menghidangkan kami nasi lemak berlauk ayam dan tea-o suam. Walaupun jarak antara makan malam kami dengan sarapan hanya diselangi oleh waktu sejam dua sahaja, namun kami tetap berselera bersarapan.Selesai sarapan kami ke Alor Star menjemput sahabat-sahabat saya dari Dewan Ulama Pas Pahang yang datang dengan Bas dari Temerloh. Ustaz Nafiri Naib Ketua Dewan Ulama Pas Pahang ditemani oleh Ustaz Jauhari ( Bendahari Dewan) dan Ustaz Osman ( Ajk), manakala Che Zuhal Che Harun, Ahli Jawatankuasa Dewan pula datang berasingan. Program seminar pada pagi itu diresmikan oleh YAB Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah. Dalam kesempatan sejam sebelum perasmian, saya mengambil kesempatan bertanya khabar teman-teman lama. Antara mereka ialah Ustaz Musthafa Saari ( Tim. Pesuruhjaya Pas Perak. Beliau adalah teman Study Group saya ketika di Pondok Pasir Tumboh), Ustaz Asfawani ( Beliau adalah in-mate saya ketika dalam tahanan Kemunting), Ustaz Zainal Abidin (Teman dalam Persatuan pelajar ketika di Karachi, dan kini tinggal di Balik Pulau Pulau Pinang) dan ramai lagi teman-teman lama.Alhamdulillah.

Jam 12 tengah hari saya berjanji dengan Abang Halim ( Beliau adalah warder Kem Tahanan Kemunting yang masih kekal bersahabat dengan kami hingga sekarang). Beliau baru sahaja ditukarkan dari Penjara Sungai Buloh. Abang Halim yang pilihkan lokasi dan kedai makan untuk kami. Kehadiran Ustaz Nik Rahman ( juga bekas tahanan kemunting, yang kini menyambung pengajian di Kolej Insaniah) serta sdr Subki menjadikan waktu makan tengah hari kami bertambah rancak dengan perbualan. Selesai makan, saya memohon diri kerana saya terpaksa terus balik ke Kota Bharu untuk menziarahi keluarga Saudara Azmi ( Ajk Himpunan Keluarga Lambury) yang baru kematian anak perempuan kedua beliau.
Malam itu kami terus ke Kota Bharu. Sepanjang perjalanan saya mengambil peluang untuk melelapkan mata. Kerana sudah tiga hari dan tiga malam saya hanya berkesempatan untuk tidur hanya sejam dua sahaja. Alhamdulillah jam 12 mlm kami sampai di KB dan saya mengambil keputusan untuk bermalam di Sutera inn dan akan menziarahi keluarga Sdr Azmi keesokan harinya Insyallah...
--------------------------------
Gambar:
1. Atas kiri: Bersama Ustaz Asfawani
2. Atas kanan: Sdr Subki
3. Bawah: Bersama Abang Halim di hadapan restoran Sri Pungpong.