31 August 2009

Melebarkan sayap persahabatan di bulan Ramadhan

Sejak 25 Ogos yang lalu saya berada di Kuala Lumpur sepenuhnya sehingga 18 Sept atau 28 Ramadhan. Program Tazkirah Ramadhan ini sebenarnya telah berlangsung sejak saya keluar dari tahanan pada tahun 2004 dahulu. Tujuannya selain daripada menyampaikan tazkirah dan kuliah, juga bertujuan merayu derma bagi pembinaan An-Nuur. Kebetulannya setiap tahun kami ( An-Nuur ) terpaksa menyiapkan satu bangunan atau lebih sebagai persediaan pengambilan pelajar pada tahun berikutnya. Tidak terkecuali pada tahun ini. Ramadhan kali ini kami sedang membangunkan bangunan Asrama Pelajar Muslimin seluas 60' x 60', yang dijangka dapat memuatkan seramai 100 orang pelajar. Nampakknya, bangunan ini adalah bangunan terakhir yang dapat kami bangunkan di atas tanah An-Nuur seluas 4.5 ekar. Kerana tiada lagi ruang untuk kami bangunkan bangunan besar selepas ini. Alhamdulillah, sumbangan yang kami terima amat menggalakkan.

Sejak awal penubuhan An-Nuur, kerja memungut derma memang kerja saya. Dulu saya buat kerja sorang-sorang. Namun Alhamdulillah sejak tahun lepas saya dibantu oleh anak saudara saya Ustaz Fadli Ibrahim, yang juga sebagai Mudir An-Nuur dan turut terlibat secara aktif sahabat saya Ustaz Saharuddin, pegawai zakat An-Nuur. Kami berkumpul di Sri Gombak dan Tazkirah kami berpecah di Masjid-masjid dan surau-surau sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Apa yang saya nak ceritakan disini ialah bukan pasal seronok dapat dana yang membolehkan kerja-kerja pembangunan An-Nuur berjalan dengan lancar, tetapi saya mahu menceritakan syukur hati saya kerana dengan adanya program ini setiap tahun saya dapat menghubungkan tali persahabatan dengan sahabat-sahabat lama dan dapat mengikat tali persahabatan dan perkenalan dengan teman-teman yang baru. Pertemuan mengeratkan lagi tali persahabatan. Kerana tali persahabatan itu adalah "rahmat" dari Allah yang sewajarnya dijaga dan dihangatkan sentiasa.

Hari pertama lagi saya di KL dalam program ini ( 25 ogos) saya telah bertazkirah di Bank Islam menara takaful dan keesokannya di Bank Islam Maju Junction. Di sana saya dapat bertemu dan bertanya khabar dengan sahabat lama saya Sdr Haji Awang Bakar, Sdr Shafie Osman serta ramai lagi kenalan-kenalan lama. Mereka dahulunya adalah tenaga yang menggerakkan kutipdan dana An-Nuur di Kuala Lumpur. Sumbangan tenaga dan idea mereka cukup melekat dalam ingatan saya. Hingga kini kami cukup mesra bila bertemu.

Dengan program ini, saya dapat bertemu kembali sahabat2 di Menara Maybank.Affin Bank, KLCC, Masjid-masjid seluruh KL, surau-surau dan sebagainya. Di samping itu saya dapat menambah sahabat setiap hari dalam jumlah yang ramai. Seronoknya hati dapat ramai kenalan dan sahabat. Semakin ramai teman bermakna semakin ramai orang yang akan mendoakan kebajikan dunia dan akhirat untuk kita. Kalau mampu, saya akan perkenalkan semua sahabat-sahabat saya kepada anak-anak saya. Biar mereka terus menghubungkan tali persahabatan kami selamanya.

Setiap pertemuan akan mengimbau kenangan. Setiap kenangan adalah kemanisan yang tak terceritakan. Kebersamaan dalam kenangan itu akan mempereratkan lagi persahabatan. Sejak kanak-kanak lagi saya bercita-cita mahu mempunyai ramai sahabat. Masih saya ingat ketika zaman kanak-kanak saya. Oleh kerana rumah saya diseberang sungai Pahang, maka rumah saya jauh terasing daripada kampung sebarang. Jiran saya hanya dua buah rumah. Itu pun jaraknya jauh antara satu sama lain. Bila ayah dan abang-abang ke seberang kerana menoreh getah dan kakak kesekolah, yang juga terletak dikampung seberang. Maka tinggallah saya dengan ibu. Justeru kesunyian saya akan berdiri dibawah pokok mencupu ditebing sungai dan merenung kekampung seberang. Riuh suara kanak-kanak mandi manda disebarang sana, sambil berlari-lari di dada pasir menarik perhatian saya. Saya sering berangan-angan, alangkah seronok jika ayah bawa kami pindah kesebarang. Tentunya saya akan punya ramai kawan dan teman.

Bagi menghilangkan kesunyian itu, saya mempunyai berbagai binatang peliharaan. Saya ada sekumpulan kambing yang saya dan kakak berikan nama-nama tertentu. Kabing jantan hitam kami namakannya Jusoh, Ibunya Mek Mah, anak kambing betina kami namakan Titik Puspa. Kucing pula kami namakan Maya. Tupai kesayangan kami, kami namakan Ketei. Anjing yang jaga kebun ubi ayah kami namakan Kolam. Abang pula ada landak sebagai binatang kesayangannya. Pendek kata teman setia saya, bila semua abang dan kakak keluar ialah binatang. Bila saya ke sungai dengan ibu, kolam akan ikut sama. Kolam akan berjalan dibelakang, kerana ayah ajar kolam jangan berjalan di hadapan, bimbang terkena tubuhnya dengan rumput-rumput yang basah. Bila balik kerumah maya dan ketei akan menyambut saya. Ketei suka jilat peluh. Kegemaran ketei ialah minum air tea. Jika lambat bancuh tea untuknya, ketei akan gigit jari kaki. Walaupun agak sakit, namun saya tetap sayang kan ketei. Bila saya tidur, tupai manja itu akan masuk dalam kain selimut. Hari-hari saya bercakap dengan binatang. Kadang-kadang saya akan bawa jusoh makan daun kayu jauh ditepi hutan. Anak-anak jusoh yang lincah penghibur hati sunyi saya. Saya tiada teman. Saat yang paling menyeronokkan saya dalam sehari ialah bila ayah, abang2 dan kakak balik kerumah dari seberang. Bila nampak mereka disebarang sana, saya dan kolam akan tunggu ditebing sungai dengan hati yang melonjak. Biasanya kakak akan bawa balik kueh yang kakak beli disekolah. Kekadang kakak tidak makan waktu rihat kerana mahu belikan kueh untuk saya. Di rumah, kakak juga tiada teman selain saya. Mungkin disebabkan lingkungan yang sunyi, menyebabkan tumbuh cita-cita dihati saya, ingin memiliki sahabat seramai mungkin satu hari nanti. Alhamdulillah Allah telah makbulkan cita-cita saya.
______________________
Keterangan Gambar:
1. Kanan atas: Tazkirah Ramadhan di Masjid Simpang 3 Gombak.
2. Kiri atas: Tazkirah Ramadhan di Pejabat Daerah Selayang
3. Kanan Bawah: Tazkirah di Masjid At-Taqwa Selayang
4. Kiri bawah: Tazkirah di Masjid Khairiyyah Sri Gombak.


26 August 2009

Di sini medan ku..

"Bila kita buka pondok bermakna kita sedang melahirkan beratus ulama, beratus khatib dan beratus-ratus tenaga pengajar"...T.G Hj Hasyim Pasir Tumboh.
_____________________


Semalam ( 25 Ogos)ketika sampai di bilik penginapan Surau Ubudiyyah Sri Gombak untuk memulakan siri Tazkirah Ramadhan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, saya telah dikunjungi oleh Ustaz Ismail Noh, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas. Selepas muktamar yang lalu, kami sama-sama berada dalam Dewan Ulama Pas Pusat. Ustaz Ismail juga bermukim di Sri Gombak untuk mengisi siri program Tazkirah Ramadhan.

Dalam perbualan yang tidak panjang itu, kami menyentuh topik pendidikan. Kebetulannya Ustaz Ismail Noh juga pengasas sebuah Pusat Tahfiz di Pasir Mas Kelantan. Kemudiannya Pusat Pendidikan tersebut ditutup, dan sekarang sedang giat untuk diaktifkan semula. Pendedahan pengalaman beliau sangat selari dengan apa yang sedang saya fikir dan rancang. Dalam kuliah Dhuha di Al-Fatah pada hari Ahad lepas, saya telah suarakan hasrat saya yang akan membatalkan banyak jadual Kuliah di Masjid-masjid dan surau di sekitar Kuantan kerana ingin memberikan penumpuan sepenuhnya kepada Pondok saya. Usia saya pun sudah menjenggah 45 tahun. Sudah terasa keletihan mengisi 42 siri kuliah sebulan. Jadual tazkirah di Kuala Lumpur tahun ini sahaja saya terpaksa mengisi 57 siri tazkirah. Kerana itu saya sudah mencongak-congak akan kembali "ke pengkalan" saya. Tiba sudah masanya saya memberikan penumpuan kepada pondok, selepas bertahun-tahun mencari dana untuk membangunkannya. Asas-asas ekonomi pondok juga telah saya asaskan. Insyallah ada la rezki dari Allah.

"Pondok ana mati ketika ana sibuk sebagai YB la ustaz..." kata ustaz Ismail penuh jujur. "Ana pernah suarakan perkara ini kepada Tok Guru, dan Tok Guru akur, kerana Tok Guru juga ada pengalaman dengan sekolah beliau di Pulau Melaka. Pondok ni ustaz, memerlukan kita beri tumpuan..ana tu, oleh sebab pondok dah pernah ditutup, bila kita nak bangunkan balik, masyaalah..susahnya nak tarik keyakin orang semula ustaz. Sebab tu baru ni, ana nak dilantik sebagai ketua guru halakat Kelantan, ana pergi jumpa Tok Guru, ana kata kepada tok Guru; cukup la rasanya Tok Guru, sebab ana nak bangunkan semula pondok ana..." tambah ustaz Ismail dengan nada penuh bertenaga.

Saya cukup tertarik dengan apa yang Ustaz Ismail luahkan. Indahnya bersahabat dengan ulama'. Tiada yang mereka fikirkan selain membangunkan kepentingan Islam dan Ummah. Saya teringat ketika mengunjungi Tuan Guru Haji Hasyim ( guru saya) di Pasir Tumboh 16 tahun yang lalu. Ketika saya ke Pasir Tumboh untuk memohon restu beliau untuk saya memulakan projek pembinaan An-Nuur. Sebagai seorang Guru dan Ayah, beliau nasihati saya agar, bila dah ada pondok tumpukan masa kepada mengajar dan mengajar. "Bila kita buka Pondok bermakna kita sedang melahirkan beratus ulama'. Kita sedang melahirkan beratus khatib, pendakwah dan beratus-ratus tenaga pengajar. Jadi kita tak boleh buat sambil lewa. Kalau anta sanggup tumpu masa, dan yakin sungguh rezki itu ditangan Allah, silakan..ana restu dan suka sangat jika anta teruskan cita-cita tu". Itulah kalimat yang keluar dari mulut Tuan Guru yang saya kasihi.

Tahun 1996 saat An-Nuur sedang dalam pembinaan dan akan memulakan pengambilan pelajar, tiba-tiba diistiharkan Pilihanraya Umum. Selaku YDP Kawasan Paya Besar, saya telah dicadangkan untuk menjadi calon Pas bagi DUN Penor. Segera saya teringat pesanan Tuan Guru saya. Kepada Ibu, saya minta nasihat dan pandangan. Saya rujuk Tuan Guru Haji Baqi selaku PJ ketika itu. Saya minta pandangan beliau sebagai tok guru, bukan atas kapasitinya sebagai PJ. Beliau berkias ; "Ustaz teruskanlah usaha ustaz sekarang, kerana tak ramai orang yang berada dalam usaha ini sekarang.."lapangan lain" ramai orang berminat melakukannya". Mengabungkan Nasihat Tuan Guru Haji Hasyim, Ibu saya dan Tuan Guru Haji Baqi, lalu cadangan itu saya tolak, sambil saya cadangkan nama Sdr Bahrin Muhammad bekas Ketua Pemuda Pas Pahang. Al-hamdulillah, saya dapat teruskan perencanaan An-Nuur tanpa banyak gangguan tugas yang lain. Seingat saya dua kali saya menerima surat daripada Pejabat Agong Pas yang meminta persetujuan saya samaada bersetuju menerima pencalunan AJK Pas Pusat. Dengan segera saya balas kembali surat-suarat tersebut dengan jawapan tidak bersetuju. Pertamanya saya merasa malu untuk menyetujukan diri bertanding diposisi yang begitu hebat. Keduanya kerana saya "sayangkan pondok ini".

Ketika Ustaz Ismail meminta diri untuk ke bilik beliau disebelah kabin penginapan saya, saya sudah hampir pasti memutuskan, selepas Ramadhan ini semua jadual saya akan banyak berubah. Saya akan kembali ke "Medan" saya semula. Saya perlu menyiapkan segera dan secepat mungkin bakal-bakal tenaga penceramah,khatib, ustaz dan pendakwah serta pejuang untuk jamaah ini, sebelum sisa usia yang ada ini kehabisan tenaganya. Kepada Allah say mohon kekuatan dan inayah.

Maaf kepada sahabat-sahabat yang mungkin saya terpaksa membatalkan beberapa kuliah di tempat mereka. Jika sahabat-sahabat ingin bersama, jom kita ke An-Nuur. Itulah pengkalan saya.

______________________
Keterangan Gambar:
1. Atas Kanan: Pelajar-pelajar Muslimin An-Nuur
2. Atas kiri: Pelajar Muslimat An-Nuur
3. Bawah kanan: Pelajar-pelajar ANIS ( An-Nuur Islamic PreSchool-pra tahfiz)

24 August 2009

Jangan "Melampau" ( Ghulu)...


Ya Akhi..Dalam dakwah kita tidak boleh bersifat Ghulu...

______________________________________

Dalam tahun-tahun 80an, saya dan rakan-rakan pimpinan pelajar "Pondok Pasir Tumboh" adalah anak-anak usrah Ustaz Yahya Othman. Biasanya kami berusrah dirumah Allahyarham Ustaz Daud ( bekas ADUN Pasir Tumboh). Kami cukup bertuah kerana mendapat bimbingan langsung dari "bapa Tarbiyyah Pas" ini. Gaya pentarbiyyahan beliau sangat mempengaruhi perjalanan kami seterusnya. Alhamdulillah. Mudah-mudahan Allah merahmati beliau..

Antara perkara yang melekat kukuh dalam ingatan saya ialah bilamana pada satu ketika beliau bercerita mengenai "Ghulu". "Ya Akhi...Dalam dakwah ini kita tidak boleh bersifat Ghulu. Kerana Nabi Bersabda; Gopoh itu dari Syaitan dan bertenang itu daripada Allah". Begitulah bait-bait kalimah yang keluar dari bibir Murabbi kami ini, lembut, tersusun dan penuh tegas sambil membelai perasaan kami. Sebagai contoh, beliau bercerita tentang satu peristiwa yang beliau alami. Suatu hari satu jamuan di adakan di Pondok Sungai Durian Kuala Krai, atau lebih dikenali dengan nama Pondok Haji Abdul Rahman. Bersama dalam hidangan Ustaz Yahya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Ustaz Ibrahim Mahmod ( Bekas Ahli Parlimen Kuala Krai), beberapa orang lagi, yang saya tidak ingat namanya dan seorang pimpinan pelajar. Apabila hidangan telah sampai, Tuan Guru mempersilakan semua makan dan beliau pun terus menjamah makanan. Tiba-tiba pimpinan pelajar tadi mengangkat tangan dan membaca doa makan, menyebabkan Tuan Guru yang telah hampir menyuap nasi, meletakkannya kembali dan menandah tangan.

Itulah antara sifat Ghulu yang tidak seharusnya ada kepada para dua'at ujar Murabi yang kami sayangi itu. Sepatutnya pelajar itu terus makan sahaja sambil membaca doa untuk dirinya sendiri di dalam hati. Kerana tindakan itu telah mengaibkan Tuan Guru yang bersama dalam hidangan itu. Sedangkan berdoa sebelum makan hanya sunnah yang disunatkan. Sedangkan menjaga air muka saudara muslim ( lebih-lebih lagi ulama') adalah perkara yang lebih utama.

Bertolak dari itu Ustaz Yahya mengingatkan kami tentang "Aulawiyyat" dalam berkomunikasi dengan Madu'. Saat itu saya dan teman-teman yang lain hanya memasang telinga dan menyemai nasihat ikhlas itu didalam hati masing-masing. Kami sendiri belum berhadapan dengan situasi yang seumpama itu di saat itu. Namun apabila saya sendiri terlibat dengan kerja-kerja dakwah diluar lingkungan alam pengajian, maka terserempaklah saya dengan apa yang dinasihatkan oleh Ustaz Yahya itu. Cukup banyak peristiwa-peristiwa yang saya temui. Benarlah celahan Allahyarham Ustaz Daud yang mengatakan; " biasanya orang yang laju itu akan tersungkur dan bebanannya akan menghempap kepalanya". Pesanan yang sama saya sampaikan kepada anak-anak usrah saya, pelajar-pelajar saya dan teman-teman yang seiring dalam perjalanan dakwah ini. Bersederhana adalah amalan RasuluLlah saw.

Saya pernah temui seseorang. Beliau cukup anti ustaz-ustaz yang mengajar mengambil saguhati. Beliau menggelarkan ustaz-ustaz seperti itu sebagai "Ustaz Sampul surat". Lalu dibacanya ayat dari surah Yassin yang menceritakan ucapan seorang Rasul kepada kaumnya bahawa dakwah yang dibawanya itu bukan untuk mendapatkan upah dari kaumnya. Ramai juga teman-teman beliau dikalangan ustaz-ustaz yang mempertahankan tenaga-tenaga pengajar yang mengambil saguhati itu. Dengan Hujjah bahawa tenaga pengajar itu juga perlukan "ma'iysyah" atau sara hidup yang membolehkan mereka meneruskan dakwah. Namun semua hujjah itu ditolak oleh beliau dengan alasan yang sama. Selang beberapa tahun, beliau berhenti dari makan gaji dengan kerajaan. Akhirnya beliau juga menerima saguhati atas kuliah yang disampaikan untuk menampung perbelanjaan minyak kenderaan dan kehidupan keluarganya. MasyaAllah.

Orang kedua yang saya temui ialah seorang pendakwah yang selalu mencemuh rakan-rakan daei yang memiliki rumah yang besar. Kepada rakan-rakan tersebut digelar pendakwah "cinta dunia". Setahu saya beliau akan mengelak daripada menziarahi atau mengunjungi teman-teman daei yang mempunyai rumah yang besar. Alasannya bimbang isteri dan anak-anaknya juga jatuh hati kepada dunia. Tidak berapa lama saya mendapat tahu beliau juga membina rumah yang agak besar kerana alasan, anak-anak semakin ramai ditambah pula setelah mendapat menantu dan cucu.

Pendakwah yang ketiga yang saya temui ialah pendakwah yang sering menghantar message kepada ahli-ahli pas dengan message yang berbunyi " sila hadir ke program ...... jika anda benar-benar pejuang yang cintakan jamaah". Bunyi message itu memang tegas, tetapi disitu terdapat unsur ghulu. Sepatutnya ditulis " Sahabat-sahabat dipelawa hadir ke program .... jika tidak mempunyai uzur syarie". Dengan message yang seumpama itu, bermakna kita meraikan keuzuran mereka. Kerana keuzuran itu boleh menimpa sesiapa. Mereka tidak datang bukan bermakna mereka tidak cintakan jamaah dan kita hadir tidak bermakna kita seorang sahaja yang cintakan jamaah. Selang tidak berapa lama, beliau pula yang selalu tidak hadir. Kerana keuzuran keluarga, atau kerana umrah atau berbagai lagi. Apakah ketika itu beliau tidak cintakan jamaah?.

Seorang lain yang saya temui ialah orang yang agak anti "poligami". Bila terdengar sahaja mana-mana teman-teman yang berpoligami, segera diberikan komen. "Tidak mengenang jasa isteri yang pertama ", tidak memikirkan kepentingan jamaah, dan macam-macam lagi komen beliau. Bila bercakap dengan teman-teman, beliau akan lebih banyak mengambarkan perasaan tidak senangnya dengan sesetengah teman yang berpoligami. Biasanya beliau akan memuji peranan isterinya sehingga menyebabkan beliau tidak terfikir pun soal-soal ingin berpoligami. Jika ada teman-teman yang bercakap mengenai poligami, segera ia berpaling dan bertukar kepada tajuk yang lain. Kerana beliau adalah suami mithali. Namun kemudian, selang beberapa lama, saya mendapat tahu dari teman-teman, beliau sudah pun berkahwin dua. Sehingga ramai teman-teman mengadu, mereka naik muak setiap kali bertemu dengan beliau. Kerana tiada soal lain yang dibualkan selain soal poligami.

Itulah antara contoh sifat Ghulu ( telajak) yang diberi peringatan agar kita mengambil jalan "Pertengahan". Meneliti situasi adalah sifat yang dipuji oleh Islam. Bertenang seketika akan meredakan kegelojohan dan kegopohan.

Tarik nafas dan berdoa kepada Allah agar kita diberi ketelitian dalam segenap hal adalah amalan yang sewajarnya. Jangan kelak apa yang kita kata kepada orang dengan "hukuman yang melampau" itu akhirnya kembali menghempap kepala kita sendiri. Jangan kita merasakan setiap apa yang kita lakukan itu benar. Ambillah teman yang boleh menasihati kita. Sebaiknya seorang guru yang dapat membimbing kita kepada kebaikan.


Wassalam...salam Ramadhan untuk semua.

21 August 2009

Syukur Ya Allah..


Pada subuh jumaat 21.Ogos.1964, 45 tahun yang lalu saya dilahirkan disebuah kampung pendalam yang bernama kampung Kok Tal dalam wilayah Narathiwat, Thailand. Kampung pendalaman yang dihuni oleh kebanyakannya orang-orang Kelantan yang berhijrah, keselatan Thai bagi mencari penghidupan seadanya. Rata-rata penduduknya bekerja menoreh getah. Begitulah juga dengan ayah dan Ibu saya.

Menurut cerita ibu, berhampiran dengan rumah kami terdapat sebuah surau. Disurau itulah penduduk kampung menunaikan solah dan menghadiri kuliah agama. Tidak terkecuali ayah dan ibu. Semangat beragama yang dibawa dari Kelantan, menyebabkan penduduk kampung Kok Tal dikenali sebagai kampung orang alim. Ibu mempunyai seorang kawan, namanya "mak nik Hawa". Ketika itu ibu sedang sarat mengandung kan saya dan maknik Hawa juga mengandungkan anak yang ke enam. Mereka berdua sangat rapat, walaupun jarak rumah antara rumah kami dengan rumah maknik Hawa agak jauh. Tetapi oleh kerana rumah kami berada di tengah-tengah perjalanan ke surau, maka setiap petang menjelang maghrib, maknik Hawa dan Paknik Seman ( suami maknik Hawa) akan singgah dirumah kami terlebih dahulu.

Ibu sangat berharap agar kandungannya itu seorang anak perempuan, kerana dalam keluarga kami hanya ada seorang anak perempuan iaitu kakak. Manakala maknik Hawa pula sangat mengharapkan anak lelaki, kerana beliau belum punya anak lelaki. Saban malam Ibu dan Maknik Hawa akan kesurau. Mereka belajar Tauhid,Fekah dan Al-Quraan. Berkat ilmu disurau inilah menyebabkan sehingga sekarang, dimana sahaja ibu tinggal, ibu akan jadi guru Al-Quraan.

Menjelang 21 ogos, pada pagi Jumaat Ibu selamat melahirkan saya. Walaupun hajat ibu mahukan anak perempuan tidak tercapai, namun ibu tetap syukur dengan anugerah Allah. Keesokkannya 22 Ogos,Maknik Hawa pula selamat melahirkan anak perempuan yang diberi nama Siti Hajar. Maknik Hawa juga tetap bersyukur kepada Ilahi walaupun hajatnya yang mahuan anak lelaki tidak tercapai.

Ketika usia saya setahun, keluarga kami berpindah kembali ke Kelantan. Maka terpisahlah kami dengan Maknik Hawa dan penduduk kampung Kok Tal. Ayah tidak sempat menziarahi kembali kampung tersebut sehinggalah Ayah meninggal. Tapi dari cerita Ayah, saya tahu ayah sangat-sangat merindui kawan-kawannya di Kok Tal. Kesusahan hidup menghalang ayah kembali menziarahi teman-temannya. Begitu juga ibu. Ibu sering bercerita tentang Kok Tal, Maknik Hawa dan teman-teman ibu yang lain. Bagi memenuhi kerinduan ayah, saya membuat keputusan menziarahi Kok Tal pada tahun 1982 ketika usia saya 18 tahun, 6 tahun selepas kematian ayah. Kemunculan saya dikampung tersebut selepas 17 tahun keluarga kami berpindah, menyebabkan saya disambut penuh mesra oleh teman-teman ayah. Lima hari saya di kampung Kok Tal, saya telah dijemput makan oleh teman-teman ayah. Sehinggakan hanya sehari saya sempat makan tengah hari dirumah Maknik Hawa. Masyallah..persahabatan ayah yang disimpulkan disurau dan diperkukuhkan dengan ikatan Islam, sangat-sangat membanggakan saya. Sehingga ketika akan balik semula ke Kelantan, mereka turut menghantar saya ke stesen kereta api "Sungai Padi". Lambaian tangan mereka saat kereta api mula bergerak masih terbayang dalam ingatan saya. Sekalung salam mereka kirimkan untuk ibu dan keluarga kami. Jika ayah ada saat itu, pastinya ayah sangat terharu menyaksikan bagaimana teman-temannya meraikan saya. Ayah telah membinanya, maka saya yang akan meneruskannya.

Kini telah jauh masa berlalu. Ibu telah tua dengan keuzuran yang menemaninya. Saya anak bongsu ayah juga telah jauh melangkah batas-batas usia. Entah berapa banyak lagi sisa usia yang dibekalkan oleh Allah. Sesungguhnya Allah jua tempat kita kembali dan RahmatNya jua yang kita dambakan...


17 August 2009

Jiwa kebapaan seorang Ayah


SELAMAT RAMADHAN AYAH. SAYA SIHAT, ANAK-ANAK SAYA JUGA SIHAT. IBU JUGA SIHAT, TAPI SELALU JUGAK SAKIT-SAKIT..AYAH,KAMI RINDUKAN AYAH.
___________________________________

Dalam perjalanan pulang kerumah pada minggu lepas, saya singgah sebentar disebuah gerai dipersisir pantai sepat. Di gerai tersebut sepasang suami isteri mempamirkan beranika jenis dan warna layang-layang disamping barang-barang permainan kanak-kanak.

Teringat akan janji saya dengan anak lelaki saya "Imam Izzuddin Abdus Salam" ( 5 tahun) bahawa saya akan belikannya sebuah layang-layang, menyebabkan tanpa banyak bersoal saya bayar harga layang-layang tersebut walaupun kemudiannya saya dapati harganya agak mahal. Dua buah layang-layang saya belikan untuk anak-anak lelaki saya. Sebuah berbentuk seekor burung helang dengan matanya dilukis agak garang. Layang-layang ini untuk Anak lelaki saya "Umar Abdul Aziz" ( 11 tahun ) dan adiknya "Hujjatul Islam" ( 9 tahun). Untuk "abang salam" ( gelaran bagi anak saya Imam Izzuddin Abdus Salam) saya belikan layang-layang berbentuk tiga segi bercorak warna warni. Ekornya berjerabu lebat disamping kepaknya juga berjerabu beranika warna.

Petang itu mereka cukup gembira menaikkan layang-layang tersebut diperkarangan masjid di Pondok saya. Abang Salam agak sukar untuk menaikkan layang-layangnya sehingga terpaksa dibantu oleh abangnya Hujjatul Islam. Terhibur hati saya melihat keseronokkan mereka bermain layang-layang yang saya belikan itu. Maha Besar Allah...yang menjadikan anak-anak penyejuk hati hamba-hambaNya. Segera hati saya dirundung sayu. Suatu hari, 38 tahun yang lalu bermain dalam lipatan nastolgia hati saya...

Sekali lagi musim cuti persekolahan bermula. Sebagaimana lazim, ayah dan ibu akan membawa saya dan kakak pulang ke kampung Datuk dan Nenek di Kelantan. Mungkin itu salah satu cara untuk ayah merapatkan hubungan kami dengan saudara mara sebelah ayah dan saudara mara sebelah ibu. Kebetulan musim menuai baru sahaja selesai. Sawah padi yang kering berubah menjadi padang permainan anak-anak kampung. Tidak terkecuali sawah diseberang taliair dihadapan rumah datuk. Berjam-jam lamanya setiap petang saya habiskan masa dibawah pohon keranji di tepi sawah, berdekatan taliair, melihat kanak-kanak yang kebanyakannya sebaya dengan saya bermain layang-layang. Bila mereka mula melabuhkan layang-layang masing-masing baru saya akan bangun dan beredar dari bawah pokok itu. Ketika meniti batas taliair untuk pulang, hati saya mula berkira-kira untuk meminta ayah buatkan saya sebuah layang-layang. Teringin benar rasanya memegang tali layang-layang yang sedang berlengok-lenggok dibuai angin.




Sesampai ke rumah, saya ajukan hasrat saya kepada ayah. Namun ayah hanya berdiam diri saja. Alasan ayah ialah tidak mahu saya bermain di tengah panas. Takut demam katanya. Datuk yang mendengar permintaan saya pun berdiam diri, sambil mengenakan serban, kemudian turun untuk ke surau. Petang esok sekali lagi saya ke sawah dan duduk dibawah pokok keranji yang rendang. Di tengah sawah yang kering itu, riuh kanak-kanak bermain layang-layang. Petang ini sudah ada orang dewasa yang turut bermain. Mereka menaikkan wau bulan yang jauh lebih besar. Nun tinggi sekali, berlenggok didada awan. Kembali dari sawah petang itu sekali lagi saya mengemukakan permintaan saya kepada ayah, namun jawapannya sama sebagaimana semalam. Petang esok pun begitu jugak jawapan ayah. Akhirnya saya buat kesimpulan sendiri, " ayah memang tidak mahu buatkan saya layang-layang itu". Hati kecil saya mula merajuk. Malam itu saya tidur lebih awal, dan saya bermimpi bermain layang-layang bersama kawan-kawan.

Pagi esoknya , selesai sarapan, saya kumpulkan kertas suarat khabar lama yang saya dapati dari rumah pak sepupu saya sebelah ibu. Beberapa batang lidi kelapa saya ambil dari seberkas penyapu nenek. Kemudian segenggam nasi lembik saya ambil didapur secara senyap-senyap. Tapa disedari sesiapa saya bawa semua bahan itu kebawah sepohon rambai disebelah rumah datuk. Selepas makan tengah hari, saya sambung lagi kerja-kerja saya menyiapkan sebuah layang-layang buatan sendiri. Hasilnya petang itu saya merasa cukup puas dapat menaikkan layang-layang sendiri walau hanya setinggi separuh pokok kelapa. itu pun jika saya berlari tanpa henti. Tanpa penat saya berlari ke hulu dan kehilir dengan layang-layang kertas surat khabar lama itu melayang di atas kepala saya. Saya tidak ke sawah, kerana segan dengan corak layang-layang saya yang tidak sama dengan corak layang-layang kanak-kanak lain. Rasanya lebih dari dua puluh kali saya berlari kehulu dan kehilir sepanjang taliair dihadapan rumah datuk. Walau pun penat, saya merasa cukup gembira kerana punya layang-layang sendiri.

Malam itu saya tertidur tanpa sempat makan malam. Letih sungguh rasanya. Layang-layang surat khabar itu saya sangkut di dinding disebelah timbunan lukah datuk yang sedang dianyam. Sepanjang malam itu, entah berapa episod mimpi mengenai layang-layang saya alami.

Suara riuh itik dan ayam nenek dibawah rumah membangunkan saya. Sebaris cahaya matahari pagi menyimbah masuk melalui jendela. bila tersedar dari tidur, segera mata saya menatap layang-layang saya di dinding. Selesai sarapan , dengan bangga layang-layang itu saya ambil dan dibawa kebawah pohon rambai. Ayah tidak kelihatan di kebun sayur datuk dibelakang rumah. Mungkin ayah ke kampung sebelah, kerumah nenek ( ibu ayah), bisik hati saya. Sebelum waktu makan tengah hari ayah belum balik.

Selesai makan tengah hari, kerana keletihan membaiki dan membuat tambahan keatas layang-layang saya sejak pagi, menyebabkan saya segera tertidur diberanda rumah datuk. Tiupan angin dari arah tengah sawah menjadikan tidur saya cukup nyenyak. Menjelang petang saya terbangun. disebabkan bunyi bising suara kanak-kanak bermain layang-layang diseberang taliair. Sebelum sempat saya membuka mata sepenuhnya, tiba-tiba tangan saya tersentuh sesuatu di tepi pagar beranda. Wawwww... cantiknya. Sebuah layang-layang merah dengan rambu ekor dan kepak yang berwarna warni tersandar dipagar beranda disisi tenpat saya tertidur. Ibu hanya tersenyum ketika melihat saya bawa layang-layang buatan ayah ke sawah petang itu. Ibu memberitahu sejak pagi ayah turun dari rumah kerana menyiapkan layang-layang untuk saya. Ayah terpaksa ke belukar kampung sebelah untuk dapatkan sebatang buluh duri. Buluh itu dibelah dan diraut halus-halus untuk dibuat kerangka layang-layang. Kemudian ayah ke rumpun sagu dihujung kampung untuk dapatkan pelepahnya yang bergetah. Dengan getah sagu itu ayah tanpal kertas minyak nipis yang ayah beli di kedai di tepi jalan besar masuk ke kampung kami. Tersentuh juga jiwa kebapaan ayah bila melihat saya bermain sendirian dengan layang-layang buatan sendiri semalam.


Kegembiraan yang tak terkata, bila saya berjaya menaikkan layang-layang saya setanding tingginya dengan layang-layang kawan-kawan yang lain. Ketika asyik bermain ditengah sawah saya terpandangkan ayah dibawah pokok keranji tempat saya duduk beberapa hari yang lalu. Tentu ayah gembira melihat saya gembira. Terima kasih ayah ku yang telah tiada..

"Abah...tali layang-layang alang kusut..."..rungutan anak saya Imam Izzuddin Abdus Salam mematikan lamunan saya. Segera saya sapu titisan airmata yang mengalir di pipi saya. Sedar kepada saya betapa pengorbanan ayah kepada saya. Sekadar untuk mengembirakan hati saya, ayah sanggup meredah belukar, berjalan pula kehujung kampung dan menapak pula ke kedai yang terletak hampir dua kilometer dari rumah datuk, semata-mata memenuhi tuntutan jiwa kebapaannya. Sedangkan saya, hanya singgah di tepi jalan dan membeli sebuah layang-layang yang telah siap untuk anak-anak saya.


Al-Fatihah untuk Ayah yang ku sayangi..Ayah tidak pernah meminta untuk dihargai, tetapi segalanya ayah lakukan kerana kasih dan sayang ayah kepada kami....

05 August 2009

Syabas Anggota Unit Amal seluruh Negara

JANJI ALLAH UNTUK MU DISEBALIK KEBUNAN SYURGA
____________________________________

Sejak dahulu, lebih-lebih lagi ketika perhimpunan bersih, perhimpunan membantah PPSMI dan yang terbaru perhimpunan memansuhkan ISA, saya merasa cukup terharu dan kagum dengan "unit amal". Kehebatan dan keberanian mereka mengatasi keberanian FRU yang mendepani mereka. Tanpa dibekalkan dengan sebarang senjata, mereka sanggup meredah asap dan pancutan water cannon, sambil melaungkan takbir dan kutukan terhadap undang-undang yang zalim. Saya yakin, kalau FRU hanya berbekalkan sepasang uniform seperti unit amal, sudah tentu mereka akan bertempiaran lari melihat betapa hebatnya gerombolan pembela kebenaran. Tak tentu gaya berterejunan lah mereka dalam sungai Kelang lantaran bingit telinga dengan bunyi takbir.

Itulah hasil dari sebuah semangat perjuangan yang benar. Perjuangan untuk mendaulatkan agama dan keadilan untuk ummat ini. Walau dibelasah dengan ganas dan zalim, namun "jiwa kebenaran" tetap akan meneruskannya. Sejarah telah membuktikan, setiap keanggkuhan dan kesombongan serta kezaliman tetap akan tersembam hina. Hanya masa sahaja yang belum menjelma. Namun janjinya telah termaktub dalam Al-Quraan. Janji itulah yang diyakini oleh "pemuda-pemuda unit amal ini". Mereka yakin, mereka sedang berjuang untuk mempastikan himpunan "yang tidak haram" itu berjalan dengan aman. Mereka bertugas untuk mempastikan pihak polis tidak menganggu keamanan perhimpunan itu. Namun perhimpunan nampaknya berjalan secara agak kurang aman kerana disirami dengan water cannon dan Gas pemedih mata yang sudah tentu bukan dilontar oleh anggota unit amal. Sebenarnya perarakan "Maulidur Rasul" yang diadakan saban tahun itu juga akan jadi tidak aman kalau dikacau dengan asap gas dan semburan air kimia. Tapi perarakan itu jadi aman kerana tiada siapa yang ganggu.

Apa pun ujiannya, ternyata Unit Amal telah berjaya mempamirkan jiwa perjuangan mereka. Mereka bukan budak jaga parking seperti yang diperlekeh oleh puak-puak Umno. Mereka adalah pemuda yang cintakan kebenaran. Pemuda yang bencikan kezaliman. Saya menyeru semua ahli Pas, pastikan anak-anak mereka jika lelaki sertailah unit amal, dan jika perempuan sertailah amal nisa'. Apa lagi yang dapat kita buktikan cinta kita kepada perjuangan ini kalau asyik lari daripada risiko perjuangan.

Syabas unit amal...nun janji Allah untuk kalian di sebalik kebunan syurga.

04 August 2009

Erti sebuah persahabatan ( Respon tulisan x-isa dalam c-box )


"Persahabatan" sebuah ungkapan yang sedap di dengar tetapi sangat sukar dihayati dengan sejujur-jujurnya. Persahabatan adalah "sebuah seni" yang sukar dimengerti. "Persahabatan" adalah lakaran abstrak yang sangat sedikit manusia yang berjaya memberikan tafsiran yang hakiki. "persahabatan" adalah sebuah corak kehidupan yang teradun dalam jutaan warna, "suci" dan "pengkhianatan". "Persahabatan" sebuah hubungan yang boleh jadi didampingi Malaikat dan mungkin juga disertai Syaitan.

60 hari dalam lokap, 3 tahun 4 bulan dalam tahanan Kemunting dan 10 bulan dalam tahanan terhad banyak mengajar saya erti sebuah persahabatan. Bila bersendiri sepi dalam lokap, saya bagaikan berada disatu sudut yang gelap dan sedang dipancarkan sebuah slide di screen yang besar. Slide yang memaparkan ulangan detik-detik pergaulan dengan teman yang bernama "sahabat". Dari putaran slide kehidupan itu dapat saya saksikan;

1. Ada sahabat yang mesra pergaulannya dengan kita. Namun hanya untuk waktu-waktu yang tertentu sahaja. Kerana saat itu ia tidak punya teman selain kita. Mungkin kerana dia baru bertukar sekolah ke sekolah kita atau bertukar kerja ketempat kita atau baru menyertai jamaah, dan belum ramai yang dikenalinya. Namun apabila dia mula mengenali teman-teman yang lain, lebih-lebih lagi jika ia berteman pula dengan seseorang yang dikira pimpinan,kita tidak penting lagi kepadanya. Atau dahulu dia hanya ahli biasa dalam jamaah, tapi kini dia ada sedikit jawatan dan mula dikenali orang, atau jawatannya sudah mengatasi kita, maka persahabatan dengan kita tidak semesra dahulu.

2. Ada sahabat yang bersahabat dengan kita waktu senang sahaja. Jika kita dilihatnya mendatangkan bebanan kepadanya maka dengan mudah pertalian persahabatan itu dileraikannya. Saya masih ingat beberapa orang teman yang menjadi pimpinan sebuah kumpulan seni bela diri, mereka kerap benar mengunjungi saya disatu waktu. Saya diminta menyampaikan ceramah untuk kumpulan mereka yang dahagakan ilmu dan bimbingan. Menyedari niat mereka baik, saya jalinkan persahabatan dengan mereka. Namun apabila saya ditahan kerana ceramah yang mereka minta itu, mereka pula entah dimana. Keluarga yang saya tinggalkan tidak pernah dikunjungi. Bahkan selepas saya dibebaskan, mereka tidak pula datang menziarahi saya, alasannya ialah bimbang pihak SB menuduh mereka mempunyai hubungan dengan saya. Yang lebih malangnya ada seorang dikalangan mereka yang lari ketika bertemu dengan saya di bandar. Kononya takut SB terlihat beliau bersama saya.

3. Ada sahabat yang kelihatan baik dengan kita kerana ingin menampakkan kepada musuhnya bahawa beliau ada ramai teman termasuk kita. Namun apabila dia kembali berdamai dengan musuhnya itu, kita pula dimusuhinya.

4. Ada sahabat yang kelihatan baik dengan kita kerana ingin mendapat tempat dikalangan orang-orang yang rapat dengan kita. Namun jika ada orang atau salah seorang teman-teman kita itu yang mengutuk kita, beliau tidak bersedia membela kita atas alasan ingin menjaga hubungan dengan semua orang. lebih malang lagi diambilnya kesempatan itu untuk turut memburukkan kita.

5. Ada teman yang sebenarnya benci terhadap kita dalam hatinya. Namun kerana tidak sanggup bermusuh dengan teman-teman rapat kita lalu dipaksanya bermanis muka dengan kita. Namun jika dilihatnya sedikit sahaja kesilapan kita lalu disebut-sebutnya dihadapan teman-teman kita yang lain. Tujuannya untuk melongarkan kesetiaan teman yang lain terhadap kita. Apabila dilihatnya teman yang lain mula berpehak kepadanya, barulah ia berani mengistiharkan perangnya terhadap kita.

6. Ada teman yang inginkan sesuatu dari kita. Seperti kewangan, atau sokongan moral untuk dia menghadapi musuh-musuhnya. Namun apabila kita tidak memberikannya pertolongan yang dikehendakinya itu, lalu kita dimusuhinya dalam diam-diam. Saya pernah ada seorang teman dari Indonesia. Pada satu ketika dia datang meminta bantuan saya untuk bekerja dengan An-Nuur. Saya tolak dengan baik dengan alasan beliau tidak mempunyai dokumen yang sah. Jika apa-apa berlaku An-Nuur akan menanggung risikonya. Sejak itu beliau memusuhi saya. Bukan beliau seorang sahaja,bahkan seluruh keluarga mertuanya menyalahkan saya.

7. Ada teman yang tiba-tiba hambar hubungannya dengan kita, kerana kita dianggapnya saingan yang mencabar kedudukannya pada mata masyarakat umum. Jika masyarakat memuji kita dia berdiam diri dengan hati yang sakit. Tetapi apabila ada seseorang memburukkan kita, gembira hatinya dan dipanjangkan lagi kepada orang lain. Jika orang lain tidak percaya disuruhnya agar orang ramai merujuk kepada teman yang memburukkan kita itu.

8. Ada teman yang akan memusuhi kita kerana kita tidak menerima idea atau pendapatnya. Dimaklumkan kepada kita bahawa "semua orang tidak senang" dengan idea kita. Semua orang sependapat dengannya. Namun apabila kita selidiki apa yang diakatakannya itu tidak benar. Seorang teman pernah menyarankan kepada saya jika mahu merawat anak saya yang sering sakit ( kerasuan), disuruhnya saya menambat seekor kambing hitam dalam masjid kemudian kambing itu lepaskan berkeliaran. Bila ada seorang teman lain mencelah; bukan kah itu syirik namanya. Lalu beliau berkata ; "tak mengapa la syirik pun sekejap je... Idea itu saya tolak. sejak itu jika ada orang menyentuh kelemahan An-Nuur, beliau cepat-cepat menokok tambah.

9. Ada teman mesra dan berhubung baik dengan kita. Namun jika ada musuh yang menyerang kita, ucapan musuh itu dijadikannya pula senjata untuk menyerang kita. Jauh sekali untuk dia membela kita. Bahkan dipanjang-panjangkannya ucapan musuh itu dimana-mana. Selesai memanjangkan perkataan musuh, dia akan berkata; "saya tak tahu, tapi itulah yang orang cakap".

Demikian saya paparkan sebahagian dari sekian banyak wajah sahabat-sahabat dalam kehidupan kita ini. Pembaca semua mungkin ada pengalaman yang lebih aneh dalam pergaulan ini. Apa yang ingin saya kongsikan ialah, jika sifat-sifat seumpama itu kita benci jika seorang sahabat lakukan kepada kita, maka jangan sekali-kali kita bersifat demikian terhadap sahabat-sahabat kita.

Jarang sekali ada sahabat yang jujur bersahabat dengan kita. Gembira jika kita dilimpahi nikmat, bersedih dengan sepenuh hatinya jika kita ditimpa malang. Membela kita jika kita dikhianati, memberikan dorongan agar kita terus maju. Memberikan nasihat dan motivasi jika dilihatnya kita lemah. Mengambil peluang menjalinkan kehangatan persahabatan dengan kita dengan selalu ziarah menziarahi. Hasilnya "sukar" benar mencari "sahabat" dalam ikatan dunia yang serapuh ini. Jika ada...jalinkan lah persahabatan itu sekukuhnya.

Alhamdulillah..Allah kurniakan saya sahabat-sahabat yang baik. Tenaga-tenaga pengajar yang setia dan tekun, Ajk Tabungan Amal yang sedia berkorban, Ajk KIAN yang tidak mengenal lelah membantu saya, Peserta Kuliah Hikam yang sentiasa menyokong dan menghulurkan bantuan, Teman-teman diserata tanahair yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan. Merekalah pendokong cita-cita saya, dan saya sentiasa mendokong cita-cita suci mereka. Berdoalah agar kita menjadi sahabat yang baik kepada sahabat-sahabat kita.

Alhamdulillah Ya Allah..eratkan persahabatan kami dan Berkatilah mereka semua Ya Allah.


02 August 2009

Saya tidak akan biar Syaitan bertepuk tangan

Sehari dua ini saya tidak berkesempatan langsung menatap mana-mana blog termasuk blog saya sendiri. Selepas berkuliah disurau Bt 3 Kuantan malam Jumaat,saya terus ke KL, Tazkirah dan Khutbah di Masjid Kota Damansara. Malamnya berkuliah di Surau An-Nur Bangi, atau lebih dikenali dengan nama surau Dr Harun Din. Subuh Sabtu pula saya berkuliah di Masjid Khairiah dan Dhuha berkuliah di kediaman Dato' Azman di Seri Kembangan. Selepas itu saya dan teman-teman terus menyertai Demo Mansuhkan Isa anjuran GMI. Sepatutnya saya tidak balik Kekuatan selepas Demo petang tadi, kerana esok saya masih perlu menghadiri Mesyuarat Lajnah Tarbiyyah Dewan Ulama Pusat di Pejabat Agung. Tetapi oleh kerana esok juga pada waktu yang sama saya menjadi tuan rumah Mesyuarat Dewan Ulama Negeri, maka saya terpaksa balik dan jam 1.30 am tadi saya sampai kerumah.Alhamdulillah.

Sampai saja kerumah, selepas mandi saya terus menatap blog demi blog, dan akhir sekali Blog saya sendiri. Perkara pertama yang saya berikan perhatian ialah komen sahabat-sahabat di C-box saya. Saya pasti akan baca setiap komen pengunjung di c-box saya. Di ruangan itu saya dapat berintraksi dengan sahabat2 yang mengunjungi blog saya. C-box mendekatkan saya dengan sahabat2. C-box adalah ruang untuk sahabat2 menasihati saya. Justeru itu jangan risau untuk menegur saya. Dengan teguran itu saya dapat membetulkan diri saya. Imam Ghazali mengariskan 4 perkara untuk kita mengenali 'Aib diri kita sendiri. Justeru itu kita dapat mengubatinya sebelum ia memusnahkan diri kita. Yang pertama: "Duduklah dihadapan seorang guru. Guru akan menyebut perkara2 aib atau buruk yang mungkin ada pada dirimu". Kedua: Bersahabatlah dengan orang yang soleh, supaya kamu dapat melihat kelebihannya, lantas tahulah kamu apa kekurangan dirimu". Ketiga: "Ambil perhatianlah terhadap kata-kata musuhmu terhadapmu, kerana disana mungkin ada kebenaran yang dapat engkau kenali kelemahanmu". Dan Keempat: "Bergaulah dengan manusia ramai. Dengar2lah apakah sifat2 buruk yang mereka tidak gemari. Mungkin sifat itu ada pada dirimu, maka perbetulkannlah". Malanglah orang yang menutup ruang untuk ia mengenali kelemahan dan aib dirinya.

Teguran "tak-ape" dalam c-box saya akan saya ambil perhatian sepenuhnya. Maaf, jika Sdr mengharapkan saya melenting dengan tulisan sdr itu. Syaitan memang mahu saya bertindak demikian. Namun saya tidak akan biarkan syaitan bertepuk tangan kemenangan. Kenapa kita harus jadi patung wayang kulit ? sedangkan syaitan menjadi Tok Dalangnya?. Bagus teguran sdr. Dengan tulisan sdr itu, saya sedar kelemahan saya, dan dapat saya tahu beberapa perkara yang belum difahami oleh orang diluar sana terhadap An-Nuur. Dan dapat juga saya tahu apa-apa yang pembaca tidak fahami dari setiap atikel yang saya tuliskan. Sebenarnya sengaja saya tulis apa-apa yang saya fikirkan kebaikan bersama. Dan saya bersedia mendengar komen pengunjung. Jika saya bencikan teguran saya tidak akan menulis perkara yang seumpama itu. Baik saya menulis cerita biasa, kesah para sahabat, maklumat tentang penemuan aneh atau sebagainya. Atau jika saya bencikan teguran, saya tutup sahaja ruang c-box tersebut. Tetapi adil kah saya jika begitu?. Saya jemput sahabat-sahabat semua membaca tulisan saya, kemudian saya menutup telinga dari mendengar percakap mereka?. Rugi lah saya jika saya tidak mendengar komen atau teguran sesiapa pun, kerana itulah saluran untuk saya mengenali kelemahan saya dan seterusnya saya ubati ia dengan kebaikan.

Buat pengetahuan sahabat semua. Atikel yang saya paparkan sebelum ini, adalah hasil perkongsian pengalaman dengan beberapa orang teman. Antara mereka itu ada Mudir sekolah Pas, Ada ketua jabatan, ada pengurus syarikat, Naqib Usrah dan sebagainya. Itulah luahan mereka. Lalu saya paparkan, supaya pekerja-pekerja Pas yang berkhidmat dengan sekolah Pas, Kilang milik orang pas, Syarikat milik orang Pas, organisasi Pas dan sebagainya, agar menekuni tugasan mereka dengan penuh amanah. Jangan dek kerana kita berkhidmat dengan majikan "orang kita" dan "sekolah kita", maka kita laksanakan tugasan itu sambil lewa, sedangkan bila berkhidmat dengan kerajaan, kita sangat tekun bekerja. Tidak boleh kah kita pindahkan ketekunan itu kedalam organisasi pas?. itu saja maksud saya.

Oleh kerana pengalaman saya dalam bidang pentadbiran sekolah, maka saya sentuh agak khusus kepada tugasan guru-guru. Saya hanya menegur guru-guru yang cuai sahaja. Guru-guru yang berkhidmat dengan penuh tekun dan amanah tidak perlu saya tegur lagi. Jumlah mereka lebih ramai daripada yang cuai itu. Mereka sanggup berkhidmat dengan tangga gaji yang kecil, datang ke sekolah tepat waktunya, masuk kekelas dengan persediaan mengajar yang kemas, semangat "murrabbi" yang tinggi. Cita-cita membangunkan sekolah milik jamaah dengan semangat yang berkobar-kobar. Namun terdapat jumlah kecil guru-guru yang berkerja sambil lewa. Bangun jam 11 pagi, masuk kelas sambil bermain mesej, sering cuti tanpa sebarang makluman kepada pihak pentadbiran dan sebagainya. Jumlah yang kecil inilah yang saya tegur lewat tulisan saya, agar kita selaku 'amilin pas dapat memperbetulkannya. Jika ditanya, apakah saya sendiri telah sempurna sebelum membuat teguran itu? jawapannya tentu tidak. Jika "kesempurnaan diri" menjadi syarat untuk menyampaikan teguran dan nasihat maka sudah tentu tiada ceramah yang layak didengar kecuali ceramah "Nabi Muhammad".

Sdr "tak-ape" membangkitkan soal ada projek An-Nuur yang terbengkalai dan tiba-tiba dirancang pula projek baru, kononnya untuk mendapat derma yang baru pula. Memang benar, An-Nuur ada projek terdahulu iaitu pembinaan Kolej An-Nuur ( KIAN) yang dijangka menelan belanja sebanyak 3.8 juta. Projek tersebut tidak terbengkalai. Sebenarnya ia "belum dimulakan". Bagaimana terbengkalai suatu yang belum dimulakan. Kami AJK KIAN sedang menunggu urusan pihak tuan tanah selesaikan urusan pengagihan hak penama tanah tersebut dengan kaum keluarganya. Projek kedua yang kita lancarkan baru ini ialah "pembinaan Asrama Putera". Betul.. memang kita dahulukan projek pembinaan asrama ini. Kerana asrama diperlukan untuk menampung kemasukan pelajar tahun 2010. Jika ditunggu siap projek Kolej, baru akan kita bangunkan asrama, bermakna kita terpaksa menangguhkan pengambilan pelajar untuk beberapa tahun yang akan datang. Benar kata sdr "tak-ape" bahawa kita memerlukan derma baru untuk pembinaan asrama tersebut. Kerana wang yang dipungut untuk pembinaan kolej tidak akan kami sentuh untuk pembinaan asrama ini. Projek Kolej ada pengerusinya sendiri, bendaharinya sendiri dan Ajknya sendiri. Oleh itu kos pembinaan asrama terpaksa kami buat pelancaran derma yang lain. apa salahnya pungutan itu dibuat? apa tak kenanya disitu yang saudara nampak?.

Sdr "tak-ape" mengatakan kami sibuk bisnes. Betul!..saudara tahu kenapa?. Beberapa unit perniagaan saya sendiri membentuknya. Saya sendiri yang mengeluarkan modalnya. Kami bangunkan An-Nuur Travel, An-Nuur Mart & Halal Food, An-Nuur Publication, An-Nuur Techonologies, dan An-Nuur Agro. Semua unit ini kami payungkan ia dibawa syarikat "MUSLIM TIJAARY" syarikat milik saya. Mengapa kami perlukan urusan perniagaan ini?. Ianya adalah untuk menampung gaji guru, bill eletrik, gaji tukang ( pekerja pembangunan sebanyak RM 350 sehari bagi lima orang), dan wang saku 7 orang pelajar asing (miskin). Dari Muslim Tijaary kami salurkan beribu sebulan untuk kelangsungan An-Nuur. Perniagaan itu bukan untuk saya. Yang saya fikirkan ialah guru-guru lain. Saya boleh berkuliah diluar. Dan memang saya berkuliah diluar. Saguhati dari 48 siri kuliah luar sebulan sudah cukup untuk saya dan keluarga yang tinggal dirumah yang tidak bersewa. Tetapi bagaimana dengan guru-guru yang tidak berkuliah diluar?. Maka saya harus fikirkan income tambahan mereka sementara mereka menumpukan perhatian dan masa kepada pendidikan. Sedangkan kuliah diluar saya pula bertujuan membina jambantan penghubung antara An-Nuur dengan Masyarakat luar. Justeru itu saya wujudkan unit-unit perniagaan itu.

Mungkin sdr ingin bertanya tentang "tabungan amal". Tabungan amal memang berjalan walaupun sering mengalami pasang surutnya. Tetapi kutipan tabungan amal lebih kepada perbelanjaan pembangunan dengan membeli bahan-bahan binaan. Sdr bangkitkan soal kualiti pelajar. Kerana memikirkan kuliti pelajar lah maka saya sentuh tentang kualiti guru. Saya tegur kecuaian guru ( jumlah yang kecil tadi) kerana kecuaian guru sangat berkait rapat dengan kualiti pelajar. "Bean" dan "pesan" berkias, kekalahan tentera kerana panglimanya atau peneraju bahtera. Saya tidak bermaksud menidakkan kelemahan panglima atau nakhoda bahtera. Tetapi apa yang saya sentuh itu ialah sikap, bukan pengurusan atau pentadbiran. Contohnya di An-Nuur sekarang. Mudirnya Ustaz Fadli..katakanlah ada guru-guru yang tak bangun subuh ( sedangkan berulangkali dinasihati oleh Mudir), tak masuk kelas, bermain mesej dalam kelas, tidak membuat persiapan sebelum kekelas...apakah itu perlu dipertanggungjawabkan kepada mudir? Sekali lagi saya tegaskan ialah soal "SIKAP". Sebab itu saya tak sentuh "PAS". walaupun pekerja itu orang pas. Pas sudah okey, dasarnya, tarbiyyahnya dan pengasuhan pimpinan kepada ahli..tapi yang ditegur ialah sikap sesetengah ahli itu.

Mungkin selepas ini sdr "tak-ape" nak komen pula soal saya mengajar kitab Tasauf ( HIKAM) tetapi saya sendiri Berkereta besar". Silakan kita bersahabat dan berjalan bersama selama seminggu. Kerana Saidina Omar berkata jika kamu belum bermusafir dengan seseorang itu beberapa masa, sebenarnya kamu belum mengenalinya dengan sebenar. Saya tidak sempurna sebagaimana orang lain. Justeru itu saya bersedia menerima ketidak sempurnaan teman-teman. Ketidaksempurnaan kita itu jangan menghalang kita daripada berdakwah dan menuju kepada yang lebih baik.