30 March 2009

Minggu yang berbagai warna

Dua minggu kebelakangan ini saya terpaksa melalui aktiviti harian yang agak kurang tersusun. Biasanya saya akan susun jadual dan aktiviti sebulan atau dua bulan sebelumnya. Dengan itu saya dapat membuat persediaan lebih awal bagi satu-satu program. Namun disebabkan dalam saat menunggu kelahiran "orang baru", menjadikan jadual saya agak kelam kabut. Program jauh-jauh terpaksa ditangguhnkan dan program dekat pula terpaksa disusun secara sepontan. Isteri saya sepatutnya melahirkan cahayamata kami yang ke 10 seminggu yang lalu, namun hingga kini hanya terdapat tanda-tanda kecil sahaja yang menunjukkan akan bersalin.


Anak ketiga kami,Hasyimi Rafsanjani ( gambar di atas) yang pada asalnya menangguhkan jadual kembali ke Pesantren Langitan di Surabaya kerana mahu menunggu kelahiran adik baru, akhirnya terpaksa juga kembali kerana sudah terlewat mengakhiri cuti. Sambil-sambil mengisi program kuliah di Masjid dan Pejabat-pejabat, baru-baru ini sempat jugak saya menghadiri kursus blog yang dikendalikan oleh bloger pahang "cucu Mat Kilau". Banyak perkara baru yang saya dapat daripada kursus santai yang dikendalikan oleh beliau. Alhamdulillah.

Minggu ini jugak saya cuba selesaikan urusan yang berkaitan dengan cyber cafe dan bilik Komputer An-Nuur, Projek Ikan dagangan An-Nuur bersama LKIM. Sambil-sambil itu menyelia pembinaan Chalet An-Nuur yang dah pun hampir siap dibina,keseluruhannya 29 pintu. Dalam pada itu membuat hantaran ( Pos Laju) tempahan telefon Al-Quraan digital. Dengan pemasaran Talifon Al-Quraan ini dapatlah saya dahulukan mana-mana perbelanjaan An-Nuur yang tersangkut. Tak perlulah tercari-cari sana-sini. Alhamdulillah.

Hati memang melonjak-lonjak untuk menyertai teman-teman di Bukit Gantang. Tapi memandangkan Isteri dah "over due" dan bila-bila masa akan bersalin maka terpaksalah saya dengar cerita Bukit Gantang dan Selembau dari jauh. Kalau nak tinggalkan isteri tu boleh jugak. Namun memandangkan 9 kali isteri bersalin sebelum ini, hanya baru sekali ( ketika melahirkan anak yang keempat, 14 tahun yang lalu) saya ada disamping beliau saat penentuan hidup dan mati itu. 8 kali isteri saya melahirkan baby ketika saya berceramah dan berkuliah diluar. Kini masuk kali yang kesepuluh, maka tidak sampai hati pula untuk saya meninggalkan beliau sendirian.


Memandangkan 4 April nanti saya akan berangkat menunaikan Umrah, maka dua hari lepas ( Sabtu) kami berbincang dengan pihak "Pusat Rawatan Keluarga Al-Farabi" untuk mengambil langkah kelahiran paksa. Lagipun isteri saya telah melepasi tempoh jangkaan. Alhamdulillah pagi tadi ( Isnin), awal-awal pagi lagi kami ke Al-Farabi. Jam 8.30 isteri saya mula dimasukkan ke bilik bersalin, dan Jam 1.31 Tengah hari isteri saya selamat melahirkan baby perempuan seberat 3.3 kg. Petangnya saya menjemput anak-anak yang lain untuk melawat adik baru mereka. Anak saya yang ke 9 ( Kiswah Syaheedah Az-Zahrah) kelihatan sangat gembira dengan kehadiran adik baru yang sekian lama ditunggu-tunggunya. Alhamdulillah...bertambah lagi rezki dan amanah Allah untuk kami. Itulah perjalanan kehidupan. Kesedihan dan kegembiraan silih berganti. Dalam perjalanan usia yang jauh itu, pastinya kita akan tersungkur dan rebah berkali-kali. Namun yang penting setiap kali kita rebah dan tergelincir, kita bangun dan meneruskan perjalanan dengan sabar dan istiqamah. Melakukan kesilapan dalam kehidupan adalah perkara lumrah. Tetapi yang penting setiap kali tersasar, kita segera kembali kepada landasannya. Beruntunglah mereka-mereka yang ada "guru" dan "Sahabat" yang dapat memapah mereka untuk bangun setiap kali mereka rebah tersungkur.

21 March 2009

Secarik doa disyahdu malam untuk kalian sekeluarga...




SAAT MENGHADAPI MUSIBAH DALAM HIDUP INI, PASTINYA KITA
MERASA PERIT. TETAPI JIKA DIKENANG SELEPAS ITU KITA AKAN RASAI SEBUAH KEMANISAN YANG TIDAK TERHINGGA. ITULAH MANISNYA SEBUAH KESABARAN.
-------------------------------------------------------------
Gambar disebelah kanan ini ialah gambar saudara Zul. Saya mulai mengenali beliau ialah sekembalinya saya dari tahanan ISA empat tahun yang lalu. Ketika itu beliau datang mendaftarkan anak-anaknya ke Pondok saya.

Perkara pertama yang menarik perhatian saya terhadap beliau ialah saat kereta Honda Odessynya memasuki perkarangan pondok saya. Segera mata saya terpandangkan nombor plat hadapannya yang bermula dengan huruf PAS xxx. "Tentu orang kuat Pas ni" bisik hati saya. Perkara kedua yang membuka salam perkenalan saya dengan beliau ialah "keramahan" beliau. Semacam telah lama saya mengenali beliau.

Hubungan beliau dengan Ustaz Fadli ( Mudir An-Nuur) menjadikan beliau sering mengunjungi Pondok, disamping menziarahi anak-anak beliau yang belajar di sini. Pernah satu ketika saya dijemput berceramah di Kampung beliau, Berenjut bersama Sdr Azmil ( bekas pelakon filem Ali Setan). Sebelum ketempat ceramah saya dipelawa untuk makan dirumah beliau. Seperti yang saya kata, kermahan beliau menjadikan tiada jurang antara saya dan beliau.

Dua tahun lepas beliau mempelawa saya dan guru-guru An-Nuur mengikut beliau mencandat sotong diperairan Kemaman. Program tersebut menjadi salah satu kenangan manis dalam dairi saya. Sesekali berada dilaut luas dengan diulit deburan ombak dan desiran angin sungguh menyegarkan. Itulah pertama kali saya belajar mencandat. Sotong-sotong segar yang dicandat dikerat dan terus digoreng, sungguh lazat dan menyelerakan. Cumanya yang agak malang pada hari itu ialah kami terlupa membawa serbuk teh. Justeru itu kami terpaksa minum air panas yang hanya dicampur gula sahaja. Sungguhpun begitu kira-kira okey la.

Beliau pernah mengadu kepada saya mengenai isteri beliau yang mengidap sejenis penyakit. Beberapa kali beliau meminta saya solah hajat dan buatkan air penawar. Selain itu beliau selalu berulang alik ke KMC (Kuantan Medical Centre) untuk mendapatkan rawatan penyakit tersebut. Saya dapat lihat ketabahan beliau yang terpaksa menjaga isteri yang sakit, anak-anak yang sedang belajar, kerja yang selalu menuntut beliau Offshore dan dalam pada masa yang sama beliau sentiasa mengikuti program-program parti termasuk Demonstrasi.

Hampir Hari Raya Kurban tahun lepas, beliau ingin menyertai saya dan Ustaz Fadli ke Kemboja dalam misi kebajikan An-Nuur. Namun dengan takdir Allah, sekali lagi beliau diuji Allah, bilamana anak beliau (Hassan) yang menuntut diPondok saya mengalami kemalangan jalan raya yang agak serius. Sehingga jari kakinya terpaksa dipotong. Terpaksalah beliau membatalkan program ke Kemboja. Mereka sekeluarga terpaksa berkampung diKuantan untuk silih berganti menemani Hassan. Beberapa hari sebelum ke Kemboja, saya sempat melawat anak beliau di Wad ICU Hospital Ampuan Hafzan. "Beliau memang tabah menghadapi ujian Allah"..itulah kata-kata yang mampu saya ucap jauh didasar hati bersama secebis doa agar beliau sekeluarga sentiasa dirahmati Allah. Semoga penderitaan hari ini (didunia)memberikan kebahagian yang berkekalan pada hari esoknya (Akhirat).

Tengah hari tadi (21.Mac.2009) saya terbuka blog anak beliau ( berenjut.blogspot.com). Tiba-tiba mata saya segera menatap sekeping gambar beliau yang sedang berdiri memegang pancing mencandat sotong. Teringat saya sewaktu kami sama-sama mencandat sotong dua tahun lepas. Dalam gambar itu terpamir senyuman sdr Zul. Hati saya berbisik, disebalik senyum itu siapa tahu, beliau terpaksa menanggung bebanan perasaan. Hanya Allah yang tahu.

Saya mengajak sahabat-sahabat yang mengunjungi blog ini, marilah kita doakan kebaikan untuk sahabat dan saudara kita ini. Biarlah kita sama-sama menangis saat saudara kita menangis, sebagaimana dahulunya kita sama-sama ketawa saat kita bahagia.

Aminn Ya Rabbal 'Alamin.

20 March 2009

KEMANA ULAMA UMNO SAAT NAFAS UMNO SEMAKIN LEMAH?


Degup jantung Umno semakin lemah. Ternyata ubat yang ditelan bukan lagi penawar, bahkan racun yang menjalar keurat nadi. Saat mata jasad umno hampir tertutup, kemana perginya para Ulama Umno yang sekian lama menompang mencari sesuap rezki dipinggir periuk Umno?.

_________________________________________________

Beberapa bulan lepas saya mengandaikan Umno dihinggapi "Ostioporosis" atau penyakit kereputan tulang daripada dalam. Sebab pada zahirnya Umno kelihatan sihat bahkan agak tembam kerana vitamin dan zat "rasuah" boleh didapati dimana-mana. Walaupun sesekali kelihatan PAS,PKR dan DAP membelasah Umno, namun semua itu sekadar menselsemakan Umno sahaja. Kerana Umno mempunyai daya anti body yang boleh dikira kuat lebih-lebih lagi jika digaul bersama gas pemedih mata dan dimandikan dengan air penawar dari water cannon. Tetapi bila diserang penyakit daripada dalam tubuh Umno sendiri, akhirnya hari demi hari Umno semakin lemah. Mata makin kelabu untuk membedakan benar dan salah. Telinga semakin tuli untuk mendengar rintihan dan kehendak rakyat. Sehingga kini Umno sudah tidak ada tempat lagi untuk menyembunyikan keuzurannya yang semakin parah. Sehingga pak dukun pun tersalah letak azimat kat bawah meja Pak Lah.

Semua rakyat berbagai bangsa dan taraf pendidikan dah tau bahawa Umno yang sedang dirawat dalam Wad ICU sedang terkapai-kapai mencari "talian hayat" untuk terus bernafas. Dalam keadaan kelam kabut begitu, tiba-tiba sampai pulak berita yang "panglima" Melaka tertikam keris Tamingsari buatan sendiri. Akhirnya hasrat untuk bertarung dengan Tyson hancur berkecai. Apa lagi nak direbut jawatan dalam Kapal yang sudah hampir pecah itu?... Dah lama Tok Guru MB Kelantan beritahu, selagi Umno tidak mengambil Islam sebagai jalan perjuangan nya selagi itulah Umno akan terus dilanda masaalah. Bukankah apa yang Tok Guru selalu cakap itu benar-benar dah berlaku.

Apa yang menghairankan saya ialah, saat Umno meronta-ronta dengan segala penyakit dalamannya itu, tidak ada seorang pun ulama Umno yang tanpil menawarkan diri untuk pimpin solah Hajat perdana, memohon kepada Allah agar Umno diselamatkan dari marabencana. Ulama Umno sebenarnya banyak menyumbang kearah kegelinciran Umno. Kalau dulu kamu tegur dan Nasihat Pimpinan Umno agar kembali kepada Islam, jangan amalkan budaya gengster ketika berdepan dengan suara rakyat, jangan guna ISA, kerana ISA itu haram menurut Islam, Jangan sekat Kelantan untuk melaksanakan hukum Allah, tutup semua pusat-pusat perjudian dan maksiat serta jangan amalkan budaya Rahsuah dalam pemilihan Umno dan Negara..kalau dulu kamu nasihati mereka, taklah mereka separah ini sekarang. Dulu kamu hanya tahu bertenggek dibirai kawah untuk menjilat kerak-kerak nasi Umno, sekarang bila Umno dah terlantar, kamu tinggalkan begitu sahaja. Sekurang-kurangnya bacalah "Yassin untuk selamatkan Umno". Atau jauh disudut hati kamu merasakan macam suatu yang tak kena kalau baca Yassin dan sembahayang Hajat untuk selamatkan parti rasuah?".

Fikir-fikirlah bersama wahai saudaraku Ulama dalam Umno.

19 March 2009

Dairi harian sambil menunggu kehadiran "Orang Baru".



Minggu ini saya tidak punya banyak waktu untuk up-date blog. Sekadar buka,tinjau-tinjau sebentar blog sahabat-sahabat, khususnya blog sahabat yang tersenarai dalam blog saya serta blog-blog politik. Itu pun sekadar untuk tidak ketinggalan mengikuti perkembangan politik tanahair khususnya politik Umno yang semakin kacaubilau dan tungganglanggang.

Minggu ini saya tidak dapat memenuhi jadual jauh seperti bulan-bulan sebelumnya. Ini adalah kerana saya terpaksa berada tidak jauh dari rumah. Sebenarnya kami sekeluarga sedang menunggu saat-saat kehadiran anggota baru dalam keluarga ini. Anggota yang ke Sepuluh..Alhamdulillah. Doktor di Klinik Farabi yang membuat pemeriksaan keatas Zaujah saya meramalkan kami akan menerima kehadiran baby baru minggu lepas. Sekarang tarikh ramalan itu dah lepas. Untuk tidak berada jauh dari Zaujah yang sudah sangat sarat, maka saya terpaksa membatalkan beberapa program bulanan di Kuala Lumpur dan adakalanya turut membatalkan program disekitar Pekan dan Kuantan bilamana Zaujah mengadu sakit. Maaf lah buat sahabat-sahabat yang mana program mereka terpaksa saya batalkan.

Malam esok ( Khamis malam Jumaat) sepatutnya saya berkuliah di Masjid Fatimah Az-Zahrah Ampang,Jumaat bertazkirah di KLCC dan malam Sabtu di Masjid Tabung Haji Kelana Jaya. Namun semuanya terpaksa dibatalkan. Walaupun begitu terpaksa jugak mengisi program yang dekat-dekat. Sekira-kira jika Zaujah call mengatakan sakit dan ada tanda-tanda akan bersalin, saya sempat untuk balik dengan segera. Dibawah ni antara program dekat-dekat yang sempat saya penuhi.

Ni gambar kat atas pentas ceramah Pas di Putra Balok (Pas Indramahkota). Bukan ceramah sangat, cuma teman-teman kan Sdr Hanifa dan Sdr Samsul (PKR). Kat Hujung belah kana tu YB Syed Muhammad ADUN Beserah.
Gambar ni gelap sikit. "Cucu Mat Kilau" yang ambil gambar ni. Beliau ialah Bloger yang dah banyak kali dipanggil polis pasal tulisan dalam blog beliau.



Ni gambar masa resmikan Mesyuarat Agong Dewan Pemuda Pas Temerloh di Pejabat Perhubungan. Pejabat Baru yang baru pertama kali saya masuk. Cantik pejabat ni, tak macam pejabat dan bangunan Umno kat tepi sempang tu...

Yang ini pulak gambar pelajar UIA Kuantan. Mereka jemput saya bentangkan kertas kerja "Amal Jamaei dan Ketaatan". Kena benar kertas kerja tersebut dalam keadaan sekarang. Saya tegaskan kepada mereka; "Kita boleh menerima dan meraikan adanya jamaah lain diluar daripada Pas yang sedang bekerja bersama Pas, Tetapi adanya jamaah lain dalam jamaah Pas tidak harus diraikan. Program ni kat Sekolah Irsyad Batu Tiga.


Yang ini pulak gambar pelajar-pelajar Muslimin kat Pondok saya yang sedang bersiap untuk perarakan "Maulidur Rasul". Saya Call ustaz Zuridan untuk sampaikan ceramah, Ustaz Zuridan pulak balik kampung di Jerantut. Ustaz Suffian pulak kat KL..last-last saya sendiri yang ceramah.


Tetamu menjamu selera di "Wakaf" dataran An-Nuur. Hari ni kami buat Nasi Arab sempena sambutan "Maulidur Rasul" peringkat sekolah. Sempat jugak saya menghabiskan 2 pinggan nasi Arab. Itu kira-kiranya sambil "jaga badan".

Ini pulak gambar bunga. Sejak memiliki kamera baru kira-kira dua bulan lepas, dah banyak koleksi gambar bunga yang saya rakam. Pokok bunga ini adalah pokok bunga yang saya tanam sendiri dalam menghiasi landskap An-Nuur. Selalu juga bila duduk-duduk sendirian kat wakaf, saya akan merenung setiap pokok yang saya pernah tanam. Pokok palma,Pokok Buluh,Pokok Pucuk Merah dan Pokok ini yang sekarang sedang berbunga. Terasa usia semakin tua bila tengok pokok yang kita tanam semakin tinggi dan membesar.

Sepanjang minggu ini sambil-sambil menunggu zaujah melahirkan cahayamata keSepuluh kami, saya cuba-cuba jugak memenuhi jadual kuliah. Sambil tu buat persiapan untuk menunaikan Umrah pada 4 April nanti. InsyaLlah...

Nota: Gambar atas kiri tu gambar diantara cahayamata kami. Yang paling kanan tu Umar Abdul Aziz, sedang belajar di Akademi Tahfiz Atiq, dua dari Kanan tu anak ketiga kami, Hasyimi Rafsanjani, sekarang sedang menuntut di Pesantren Langitan Surabaya. Nombor Tiga dari kanan tu Abdul Hadi, pelajar Pondok Pasir Tumboh Kelantan. Yang kecik sikit kat depan tu Hujjatul Islam, sekarang belajar kat Akademi Tahfiz , yang paling kiri tu pulak Mu'minatul Hasanah Pelajar Akademi Tahfiz Atiq dan Pelajar separuh masa Olympia College.Anak-anak yang tiada dalam gambar ialah Muslimatul Husna, Tenaga pengajar An-Nuur Islamic Preschool. Anak kedua, Muhammad Irfan pelajar Pondok Gelang Mas Pasir Mas Kelantan. Anak keLapan Imam Izzuddin Abdus Sallam dan anak yang kesembilan Kiswah Syaheedah Az-Zahrah, kedua-duanya pelajar ANIS (An-Nuur Islamic PreSchool).

Insyallah jumpa lagi.

09 March 2009

SEORANG "ISTERI" DENGAN 2 PANGGILAN.( Siri akhir )



Itu cerita setahun yang lalu. Selepas kutukan pedas itu saya tidak terima apa-apa panggilan lagi dari isteri pertama Haji. Dengan Haji pun dah jarang-jarang bertemu. Mungkin beliau sibuk..maklumlah orang yang terpaksa menguruskan dua pentadbiran.

Minggu lepas ( 3 mac 2009 ) sedang saya dalam bank ( Bank Islam) saya menerima satu panggilan. Menyedari saya sedang berada dalam kawasan zon larangan menggunakan Handset, maka saya messagekan kepada pemanggil bahawa saya sedang berurusan dalam Bank dan saya meminta call saya kembali petang nanti. Sebentar kemudian satu pesanan ringkas masuk ke telefon saya; " Sya Pn. S, isteri kepada Hj.K, yang pernah kutuk ustaz dulu.tpi x ini sya nk mnta mff .." . Bila pesanan itu saya terima, segera saya teringatkan peristiwa setahun lepas. Saya hanya tersenyum membaca message tersebut. Terselit jugak di hati saya untuk mengetahui cerita sebenar mengapa isteri Haji kembali berubah hati. Kalau dilihat kepada garangnya dia saat mengutuk saya dulu tidak mungkin hatinya akan lembut dalam tempoh yang begitu singkat.

Petang itu saya tertunggu-tunggu juga lah panggilan isteri pertama Haji, cuma sekadar ingin tahu al-kesahnya yang sebenar. Mana tau kalau-kalau dapat dijadikan pedoman bersama. Kalau perlu dapat dikongsikan bersama dengan tetamu blog saya.

Selesai solah Asar, ketika masih dalam bilik peribadi saya di Masjid Isteri Haji kembali call saya. Menunggu beberapa saat, lalu panggilan tersebut saya angkat. Berikut adalah perbualan saya dengan isteri pertama Haji;

Assalamualaikum Ustaz..
Waalaikumussalam.....
Saya ni, isteri Haji ... ustaz masih ingat kan?
Ye ye.. saya ingat..apa khabar Hj sekarang? lama saya tak jumpa dia.
Baik..Alhamdulillah..kami sekeluarga semua baik. Belah saya pun baik, belah sana pun baik..(Sambil ketawa halus bila menyebut perkataan "belah sana").
Begini sebenarnya ustaz..saya telefon Ustaz ni, nak minta maaf banyak-banyak dengan ustaz atas kesalahan saya yang kata kat ustaz macam-macam dulu...
Takpe..saya tahu masa tu Puan .. tertekan. Jadi saya tak kesah je... lagi pun mungkin ada silap saya juga..
( saya cuba buat macam orang bersalah, untuk melihat riaksi Puan .. samaada beliau masih menyalahkan saya atau tidak)
Tak tak tak..ustaz tak salah..saya yang salah sebenarnya. Maklumlah orang jahil ustaz.
Boleh saya tahu apa sebenarnya yang menyebabkan tergerak hati Puan untuk minta maaf dengan saya..itu pun kalau Puan.. tak kesah untuk beri tahu saya.
Boleh ustaz..saya ada dua orang kawan rapat kat pejabat saya. Kami betiga ni macam adik beradik jugak la kiranya. Masa suami saya nak kawin dua dulu, kat mereka berdualah saya luahkan perasaan saya. Mereka berdua jugaklah yang cadangkan saya minta cerai dengan suami saya. Macam-macam mereka cakap dan mempengaruhi saya. Saya ni jahil..orang suruh minta cerai saya mintak la. Selang beberapa lama suami kedua-dua kawan saya tu pulak yang buat hal. Mereka berdua tetap tak izinkan suami mereka kawin lagi. Macam-macam mereka buat. Lari rumah la,jumpa bomoh pun ada, mengadu kat pejabat kadi dan macam-macam lagi. Mereka berdua bekeras memberi kata dua kepada suami masing-masing. Kalau mahu jugak kawin lagi, ceraikan mereka. Mereka tak sanggup hidup bermadu.
Di pendekan cerita Ustaz..suami kawan saya yang pertama tu, bila isteri beliau berkeras minta cerai, lalu diceraikannya kawan saya. Suami yang seorang lagi tu pula mengambil keputusan tidak menceraikan ieteri beliau, tetapi sebaliknya meneruskan hubungannya dengan perempuan yang nak dikahwininya dulu. Hingga dua bulan lepas suami kawan saya tu ditangkap khalwat dengan pasangannya di Genting Highland. Sebuah pejabat dah tau, keluarga kedua-dua belah pehak pun kecoh. Hinggakan anak kawan saya tu tak mau kesekolah, kerana malu diejek oleh kawan-kawan kat sekolah. Kawan saya yang diceraikan dulu tu pulak terkontang konteng sorang-sorang diri.

Bila kedua-dua peristiwa tersebut berlaku depan mata saya. Lalu saya renung diri saya sendiri. Alhamdulillah..saya masih seorang isteri yang dijaga kehormatan saya oleh seorang suami. Saya pun tak rasa malu dengan kawan-kawan dan keluarga serta sanak saudara, kerana suami saya bukan buat maksiat. Akhirnya saya fikir..syukurlah dulu suami saya tak ceraikan saya, atau suami saya tak buat perkara maksiat hingga memalukan saya, anak-anak dan kaum keluarga. Suami saya pulak buat giliran yang adil. Nafkah kami tak ada yang kurangnya. C
uma sesekali rasa sepi tu biasalah Ustaz. Lama-lama okey je.

Terima kasihlah ustaz tunjukkan jalan yang sewajarnya kepada suami saya....
Puan ..mengakhiri ceritanya.
Alhamdulillah lah Puan..itu namanya hikmah syariat Allah. Saya pun masa nak tunaikan permintaan Haji dulu, banyak kali saya solah hajat dan istikharah minta petunjuk Allah.Mana tau apa yang saya rasa baik itu tidak baik pada Allah.

Okey la Puan..Boleh saya tuliskan pengalaman Puan ini dalam blog saya?
Silakan lah Ustaz (sambil ketawa)
kalau baik pada pandangan ustaz saya izinkan je..
Ok la Puan terima kasih...sampaikan salam saya pada Haji..
Assalamualaikum...

Itulah selingkar kesah yang dapat saya coretkan disini. Terpulanglah pada sahabat-sahabat semua, dari arah mana pengajaran yang boleh diambil dari cerita ini. Kepada Puan ... saya ucapkan berbanyak terima kasih kerana membenarkan kesah beliau dikongsikan disini.

Wallah hu 'Allam bis Sowab.

08 March 2009

SEORANG "ISTERI" DENGAN 2 PANGGILAN.(siri 2 )


Program "membina Masjid baru" hari itu berjalan dengan baik. Ayah si gadis kelihatan ceria, mungkin kerana telah terungkai sebuah bebanan yang selama ini terbelenggu dilehernya. Si pengantin perempuan juga demikian. Namun wajah "pengantin" lelaki (Hj) seolah-olah berbaur antara gembira dan sedih. Gembira mungkin kerana berjaya melepaskan diri dari kehendak Syaitan dan sedih mungkin kerana memikirkan keluarga dan isteri yang pertama. Itu hanya telahan hati saya. Namun hakikatnya saya tidak tahu. Apa yang saya harapkan hanyalah kebaikan buat semua.

Sampai di Kota Bharu, Haji meminta saya kebilik beliau di Hotel Ansar. Untuk tidak membiarkan tandatanya bergayut lebih lama dihati, saya segera kebilik beliau dengan meninggalkan teman haji yang sebilik dengan saya melayan tidurnya. Bila pintu bilik saya ketuk dan pintu sudah terbuka, saya dapati semua keluarga isteri baru Haji ada di dalam. Selepas bersalam saya pun dipersilakan duduk disebuah kerusi yang kosong dopenjuru bilik. "Begini... ustaz" ..Haji memulakan bicara sambil membetulkan duduknya dibirai katil disebelah bapa mertua barunya. "Sebenarnya saya dan isteri saya ni dah lama kawin, ayah ni lah yang jadi walinya" kata Haji sambil menepuk peha ayah mertuanya. "Tapi oleh kerana akad nikah tu hanya untuk sah pada syarak saja, maka sebab itu sekali lagi kami datang hari ini untuk dapatkan surat nikah resmi dari Thailand dan saya akan tukar kepada surat nikah malaysia"... Lancar sekali Hj bercakap semacam cuba melepaskan suatu bebanan dengan secepat mungkin. "saya tahu,mungkin ustaz ada dengar macam-macam tentang saya dan isteri saya ni sebelum ini. Saya taknak ustaz syak bukan-bukan, sebab itu saya ceritakan kat ustaz hari ni dengan saksi ayah saya ni"..ujar Haji dan sekali lagi menyentuh peha ayah mertuanya. Saya angguk saja. Apa lagi saya nak cakap selain bersyukur kepada Allah kerana menghalang lidah saya dari berkata apa-apa kepada beliau sebelum ini. "Baguslah kalau macam tu"...kata saya dengan perasaan syukur yang tidak terhingga kepada Allah atas perkara sebenar yang berlaku.

Seminggu selepas itu, disatu petang yang agak sibuk, kerana saya terpaksa bergegas ke Masjid Balok selepas melayan kehadiran tetamu dari Johor, tiba-tiba satu deringan dari handset saya. Baru saja saya tekan butang "menerima panggilan", tiba-tiba satu suara garang dari seorang perempuan berdesing menusuk telinga saya. "Ustaz ni, ustaz jenis apa ha!, pemecah rumahtangga orang. Ingatkan Ustaz ni semuanya baik, rupanya ada jugak yang jahat macam perompak, aku benci ustaz macam engkau ni", tempik suara yang saya dah jangka akan dapat saya dengar selepas upacara perkahwinan haji selesai. "Begini..." kata saya..tapi saya terhenti disitu saja apabila sekali lagi suara nyaring disana memaki saya semahu-mahunya. Mula-mula saya bercadang mahu letakkan saja telefon. Tapi bila saya teringat kata seorang ulama'; salah satu sumber ketenangan manusia ialah bila dapat meluahkan perasaannya, walaupun hanya kepada seorang kanak-kanak yang tidak boleh berbuat apa-apa. Justeru itu saya fikir mungkin dengan saya mendengar segala makiannya itu akan membuatkan perempuan tersebut reda dan tenang, maka saya dengar apa saja yang dia nak kata. Rupa-rupanya seronok jugak sesekali kena maki dan kutuk. Tak silap saya hampir sepuluh minit dia memaki saya tanpa henti. Ala pengulas bolasepak layaknya. Akhirnya suara itu reda. Bila saya merasakan perasaanya dah reda, maka saya pun ucap terima kasih dan sayapun tekan butang "mengakhiri panggilan". Panggilan petang itu saya diamkan saja dari pengetahuan sesiapa, termasuk haji yang baru kawin itu.


bersambung siri 3

04 March 2009

SEORANG "ISTERI" DENGAN 2 PANGGILAN.(siri 1 )


SETAHUN DULU DIA CALL DAN KUTUK2 SAYA SAMBIL MAKI SUAMI DIA. SEMALAM DIA CALL LAGI,SAMBIL UCAP TERIMAKASIH DAN PUJI-PUJI SUAMI DIA...
------------------------------------------------------------
Semalam ( 3.Mach.2009) sedang saya berurusan dengan Bank, satu deringan panggilan masuk menerjah handset saya. Oleh kerana sedang berada dalam Bank, zon larangan menggunakan telefon, maka saya hanya balas dengan satu pesanan ringkas memaklumkan saya dalam Bank dan bertanya siapa beliau. Sebentar kemudian satu isyarat pesanan ringkas masuk semula ke telefon saya. Sambil menunggu angka giliran yang masih berpuluh orang, saya mengambil kesempatan membuka inbox handset saya. Tiba-tiba tertera sebaris message " Sya Pn. S, isteri kepada Hj.K, yang pernah kutuk ustaz dulu.tpi x ini sya nk mnta mff .." Terbaca saja nama Puan S, segera ingatan saya terkenangkan panggilan beliau setahun lalu. Peristiwa itu berlaku beberapa minggu selepas saya dan dua orang teman menemani suami beliau ( Hj.K adalah kawan rapa kepada salah seorang teman saya tadi) ke "Seberang" untuk melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis Selangor. Gadis tersebut diiringi oleh Bapa (wali) dan kakak serta abang iparnya. Oleh kerana datang berserta wali, maka majlis tersebut berjalan dengan lancar. Dua orang teman saya menjadi saksi manakala saya diminta mengakhirkan upacara tersebut dengan doa. Doa agar kedua-duanya berjaya membina Baitul Muslim dan jauh disudut hati saya mendoakan agar teman kami itu diberi kekuatan mengharungi gelombang hidup yang pasti geloranya lebih besar. Lalu saya mohon Allah tabahkan beliau dan diberikan keupayaan berlaku adil terhadap kedua-dua orang isterinya.

Sebenarnya saya bukan nak sangat terlibat dalam soal-soal seumpama itu, kalau bukan kerana sebab-sebab yang wajar pada kehendak syarak. Sebelum itu pun dah berpuluh orang yang cuba minta tolong saya uruskan perkara yang sama. Mungkin kerana mereka diberitahu saya mempunyai ramai saudara mara terdekat yang jadi jurunikah di Kelantan dan di Selatan Thailand. Tapi Hj atau kawan yang saya bantu itu berlainan jalur ceritanya. Setahun sebelum itu beliau pernah datang bertemu saya bersama kawan rapatnya, menyatakan hasratnya dan meminta saya membantu beliau. Waktu itu saya menolak dengan banyak alasan. Kepada beliau saya minta berusaha memujuk isteri pertamanya. "Hj doa-doa la supaya hatinya lembut" kata saya mengakhiri usaha mengelak daripada terlibat dengan urusan rumahtangganya.

Namun selepas itu, maklumat yang saya terima beliau ( Hj) masih belum mendapat keizinan. Isteri beliau tetap berkeras. Sehingga satu hari beliau datang lagi kepada saya minta saya solah hajat agar hajatnya dimakbulkan Allah, kerana kebelakangan ini isterinya semakin kerap meminta cerai dan beliau semacam dah nak lafaz talak terhadap isterinya. Baiknya beliau tak gopoh dan masih ada masa untuk minta kawan-kawan doakan beliau sabar dan tabah. Kepada beliau saya nasihatkan agar, apa-apa pun yang berlaku, jangan beliau ceraikan isteri beliau. Saya katakan kepadanya sudah berbelas tahun isteri beliau berbakti dan berkhidmat kepada beliau. Sudah berbelas tahun siisteri itu melindungi beliau dari neraka Allah, lalu saya minta beliau teguhkan kesabaran dengan kesabaran yang baik. Nasihat saya diterimanya dengan baik, walau pun beliau jauh lebih tua dari saya, AlhamduliLlah.
Beberapa bulan sebelum upacara perkahwinan itu berlangsung, teman rapat beliau mendatangi saya. "Ustaz..Ustaz kena tolong Hj tu, macam-macam mana pun"..itu kalimah pertama teman beliau apabila menemui saya. Kenapa? tanya saya, antara nak cemas atau tak. Lalu diceritakan kepada saya bahawa hubungan Hj dengan gadis idamannya itu semakin intim. Selalu keluar bersama, kadang-kadang pernah outstation berdua berhari-hari ke Langkawi. Lanjut teman beliau lagi;"Baru-baru ni jiran tempat gadis tu menyewa bertanya kepada saya,Hj tu dah kawin ke dengan budak tu, sebab dua hari lepas kereta hj park kat rumah budak tu tak keluar-keluar sampai sehari semalam". "Kita kena tolong dia ustaz..sebelum apa-apa berlaku dan terjadi suatu yang lebih memalukan"..tegas teman tersebut. Saya terdiam sejenak. Adakah cerita ini direka untuk mendesak saya membantu haji tersebut? fikir hati saya. Kemudianya saya beristighfar dengan lintasan curiga tersebut. "Begini lah akhi, ana Istikharah dulu dan ana akan call anta nanti"..jawab saya kepada teman yang agak cemas itu. Sebenarnya saya ingin mengambil sedikit ruang menyelidik apakah cerita teman itu benar-benar berlaku dan disamping itu saya memerlukan petunjuk sebaiknya dari Allah...
Setelah seminggu masa berlalu. Saya pun telah mendapat cerita yang sebenar dan hati saya pun telah tenang untuk membantu beliau, maka saya nyatakan persetujuan saya untuk membantu Haji tersebut melalui teman beliau. Keputusan tersebut saya buat setelah memikirkan akibat yang lebih buruk yang akan menimpa beliau, isteri dan anak-anak beliau jika kejadian yang mengembirakan Syaitan berlaku antara Haji dan Gadis tersebut. Kepada Allah saya mohon keampunan jika tindakan saya itu khilaf...lalu berlangsunglah upacara dengan saya hanya menjadi juru baca khutbah nikah dan doa..
bersambung

01 March 2009

BILA PIMPINAN UMNO BERCAKAP PASAL MORAL...



MUAL TEKAK DAN MEMULAS RASANYA PERUT BILA MENDENGAR PIMPINAN UMNO BERCAKAP PASAL MORAL DAN RASUAH.

------------------------------------------------------------------

Sudah agak lama saya tidak sempat menulis, namun saya tetap mengikuti tulisan sahabat-sahabat blogers yang lain. Sekarang suasana politik tanahair semakin panas dan mengelegak. Mengelegak kerana dipanggang oleh Umno kemudian dikipas pula oleh agensi-agensi kerajaan yang sesekali nampak jelas lambang umno atas dahi mereka. Tak kurang jugak ada ulama yang bertaraf mufti yang jadi sama taraf pemikirannya dengan pengerusi SPRM. Itulah malangnya bila ulama tak tahu politik dan pegawai kerajaan yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab kepada rakyat tiba-tiba bertukar menjadi pekakas kepada pimpinan Umno.
Suatu yang sangat memualkan perut apabila Khir Toyo bercakap pasal membasmi rasuah, Muhammad Taib bercakap pasal moral dan akhlak. Nazri Aziz bercakap pasal perlunya membentuk anak-anak dan remaja yang berakhlak,Rafidah Aziz berpidato berapi-api memberikan komen terhadap Yb Eli dan perlunya wakil-wakil rakyat wanita menjaga tingkahlaku. Cuba kita renungkan sejenak jika Rosmah berbicara soal perlunya remaja-remaja menjaga pergaulan mereka dan jangan berkelakuan tidak senonoh dikhalayak ramai. Lebih memualkan lagi, sehingga memulas-mulas dalam perut bila Pak Lah dan Najib bercakap pasal perlunya menteri-menteri menegur isteri masing-masing agar sentiasa menutup aurat.

Itulah secebis apisod politik kartun akhir zaman yang dibintangi oleh pemimpin-pemimpin Umno. Yang hairannya ulama Umno sanggup menjadi penonton setia sehingga menitiskan air mata kerana melihat riwayat politik Umno dalam keadaan nazak. Sudah tentu akan termuntahlah kita bila terdapat ulama-ulama Umno ajak orang-orang kampung solah hajat untuk memohon dilanjutkan hayat Umno. Kerana kononya Umno lah tulang kering orang-orang Melayu. Jika Umno tumbang maka akan tumbanglah maruah Melayu dan Bahasa Melayu. Bila agaknya penonton derama Umno ini akan sedar mereka sedang diperbodohkan oleh pemimpin Umno atasan. Bila agaknya mereka akan sedar disebalik isu lembu korban itu terdapatnya cerita yang lebih menarik iaitu cerita Sukoi, Kapal Selam dan rasuah-rasuah mega yang terlipat rapi dalam Fail SPRM. Namun SPRM lebih minat kepada lembu daripada cerita-cerita Action yang menampilkan senjata-senjata perang yang canggih. Kesian pemimpin Umno dan lebih kesian lagi ahli-ahli Umno bawahan.